Pemain badminton muda setempat dan antarabangsa berhimpun bagi Kejohanan Antica Singapore International Challenge 2026: Badminton, Emerging Youth Talent and Inclusive Sport, yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$33,800 ($43,200) – yang tertinggi bagi Cabaran Antarabangsa tahun ini.

Kejohanan itu, yang berlangsung dari 18 hingga 23 Ogos, dianjurkan oleh badan tidak mengaut untung, Pembangunan Masyarakat dan Khidmat Antica (ACDS).

Badan itu menjalankan kegiatan amal serta usaha tertumpu kepada pembangunan belia, warga emas dan penyepaduan semula bekas pesalah.

Lebih 50 pemain badminton muda setempat menyertai edisi tahun ini, iaitu kontinjen pemain setempat yang terbesar setakat ini.

Barisan peserta itu merangkumi pemain badminton setempat seperti Jeslyn Hooi, Marcus Lau, Joel Koh serta bekas pasangan lelaki muda nombor satu dunia, Johann Prajogo dan Nge Joo Jie.

Kejohanan itu memberi peluang kepada atlet setempat untuk menguji kemampuan mereka menentang pesaing antarabangsa di tanah air sendiri, sekali gus menimba pengalaman bertaraf dunia.

Pemain elit bertaraf dunia – termasuk pemain acara individu lelaki Indonesia, Chico Wardoyo, serta beregu lelaki Korea Selatan, Kim Sa-rang dan Kim Gi-jung – juga bakal beraksi dalam kejohanan tersebut.

Dalam satu catatan Facebook pada 18 Ogos, Presiden ACDS, Dr Mohd Maliki Osman, berkata kejohanan itu mencerminkan komitmen Antica terhadap pembangunan belia menerusi sukan.

“Diiktiraf oleh Badminton Asia dan Persekutuan Badminton Dunia, kejohanan ini memberi peluang kepada para pemain setempat kita menguji keupayaan dengan lawan yang lebih gagah, sekali gus menimba pengalaman berharga bertanding di peringkat antarabangsa di tanah air sendiri.

“Kami mahu mewujudkan lebih banyak peluang bagi atlet muda mendapatkan pendedahan, membina keyakinan diri dan melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” kata Dr Maliki.

Kejohanan itu, yang turut disokong oleh Persatuan Badminton Singapura, berlangsung di WYSE Active Hall di Jurong East.

Ia juga menyediakan suasana persaingan bertaraf dunia, termasuk Sistem Penilaian Segera (IRS).

Selain persaingan bertaraf antarabangsa, kejohanan itu bakal menyaksikan pemain muda setempat, belia yang beraksi dalam kategori mengikut umur serta atlet berkeperluan khas menerusi acara badminton inklusif.

Berikut adalah beberapa acara sampingan untuk memacu badminton bersifat inklusif:

  1. Atlet daripada Olimpik Istimewa Singapura dan Kelab Badminton Autisme (Team ABC) akan beraksi dalam Persembahan Badminton Inklusif.
  2. Pemain muda setempat dan antarabangsa juga boleh menimba pengalaman bermakna semasa Siri Kumpulan Usia Genk Capital.
  3. Acara Kejohanan Jemputan VIP akan disertai wakil kedutaan kanan dari Malaysia dan Indonesia.