Sepanjang 60 tahun selepas kemerdekaan Singapura pada 1965, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) telah mengalami pelbagai perubahan.
Meskipun format perbarisan mungkin berbeza, inti patinya tetap sama – menyambut ulang tahun negara kita.
Bermula pada 9 pagi di Padang, NDP pertama pada 9 Ogos 1966 itu disertai seramai 23,000 peserta daripada pelbagai pertubuhan.
Antara mereka termasuk anggota kumpulan berseragam, guru, kanak-kanak, kumpulan kebudayaan dan ahli kesatuan sekerja.
Di luar Padang, ramai rakyat Singapura membanjiri sekitar kawasan City Hall semasa perbarisan tersebut dan melihat peserta berkawad melalui St Andrew’s Road.
Para peserta perbarisan kemudian meneruskan perjalanan merentasi kawasan Singapura lain seperti North Bridge Road, South Bridge Road dan Tanjong Pagar Road.
Tidak terkecuali daripada perbarisan tersebut adalah anggota kabinet Singapura ketika itu, termasuk Presiden pertama Singapura, Allahyarham Yusof Ishak.
Beliau yang berpakaian seragam, menabik hormat semasa lagu kebangsaan dimainkan, diiringi anggota kabinet lain yang dipimpin oleh Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Menteri Ehwal Kebajikan Masyarakat, Allahyarham Haji Othman Wok, merupakan salah seorang daripada empat menteri yang menyarung seragam dan turut serta berkawad bersama Pasukan Pertahanan Rakyat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg