Sebelum dunia dilanda pandemik Covid-19, rakyat Singapura pernah menghadapi satu lagi wabak kesihatan besar, iaitu wabak Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars) pada 2003.
Penularan wabak Sars merangkumi jumlah keseluruhan sebanyak 238 kes dan 33 kematian, dengan 40.8 peratus daripada kes melibatkan petugas kesihatan.
Bagi membendung penularan wabak itu, pelbagai langkah ketat telah dilaksanakan seperti kuarantin di rumah, penutupan sekolah dan pemeriksaan menyeluruh terhadap pelancong yang masuk ke Singapura.
Langkah kawalan jangkitan yang dipertingkatkan seperti penggunaan alat pelindung diri untuk kakitangan kesihatan dan pemeriksaan suhu harian turut dilaksanakan bagi mengurangkan penularan selanjutnya di hospital.
Sebagai tanda penghargaan, kira-kira 240 petugas kesihatan telah diberi penghormatan istimewa semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2003.
Mereka tampil di atas pentas sambil memegang kertas berbentuk hati yang bercahaya.
Ia merupakan simbol keberanian, pengorbanan dan semangat juang mereka.
Pada Rapat Hari Kebangsaan yang berlangsung pada 17 Ogos 2003, Perdana Menteri ketika itu, Encik Goh Chok Tong, turut menyampaikan penghormatan kepada petugas kesihatan.
Beliau mengiktiraf keberanian dan dedikasi luar biasa mereka yang tetap berkhidmat di barisan hadapan meskipun berdepan risiko jangkitan yang tinggi.
Penghormatan tersebut kekal sebagai kenangan yang menyentuh hati, menunjukkan negara ini menghargai petugas kesihatan yang berani semasa krisis Sars.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg