Penganjur Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 kini membenarkan penonton membawa kamera profesional dan melakukan penstriman ‘live’ atau secara langsung perbarisan di Stadium Negara.

Dalam hantaran terkini di Instagram dan Facebook pada 4 Julai, akaun rasmi NDP, NDPeeps, memaklumkan bahawa senarai barangan larangan di Kallang telah disemak semula, menjelang perbarisan yang bakal diadakan semula di Stadium Negara selepas penantian 10 tahun.

“Kami telah mengemas kini garis panduan,” menurut hantaran itu. “Terima kasih atas pertanyaan yang dikemukakan. Kami telah menyemak semula senarai barangan larangan bagi memudahkan persiapan pengunjung.”

Kamera profesional, yang sebelum ini dilarang, telah dikeluarkan daripada senarai tersebut, begitu juga larangan terhadap menyiarkan perbarisan secara langsung.

Bagaimanapun, larangan ke atas gimbal (alat memantap kamera), batang swafoto, tripod dan monopod masih kekal.

Senarai asal barangan larangan dikongsi di Facebook NDPeeps pada 3 Julai, 9.25 malam.

Ia menyusuli notis asal di laman web rasmi NDP pada 2 Julai yang menetapkan syarat kemasukan ke Stadium Negara, termasuk larangan membawa kamera foto atau video profesional, batang swafoto, gimbal, tripod dan monopod, serta siaran langsung acara.

Peraturan tersebut diumumkan sebagai sebahagian daripada langkah keselamatan. Barangan lain yang dilarang termasuk senjata, peralatan perlindungan, barangan dalam tin, botol air berisi cecair dan dron.

Jurugambar landskap Encik Darren Soh mempersoalkan larangan itu menerusi hantaran Facebook pada malam 3 Julai.

“Sejak bila pengunjung NDP tidak dibenarkan membawa peralatan fotografi profesional?” katanya.

Encik Soh berkata larangan peralatan profesional di Stadium Negara biasanya dikenakan bagi acara komersial untuk menghalang penjualan semula gambar artis seperti Taylor Swift atau Ronaldo, tetapi NDP ialah acara negara.

Peminat NDP Encik Kenneth Chiang, 30 tahun, menyifatkan semakan itu “jauh lebih munasabah” dan berterima kasih kepada penganjur kerana mendengar maklum balas orang ramai.

Beliau berkata NDP ialah acara masyarakat, bukannya konsert komersial, dan larangan kamera profesional tidak pernah dikenakan pada edisi terdahulu di platform terapung Marina Bay atau Padang.

“Larangan kamera profesional juga boleh mewujudkan jurang besar dalam memori sosial apabila acara ini kembali ke tapak bersejarah selepas sekian lama,” kata jurugambar itu, yang telah menghadiri perbarisan setiap tahun sejak 2009.

“Amat menyedihkan jika 10 atau 20 tahun dari sekarang, orang ramai hanya dapat melihat kembali gambar telefon bimbit atau video Instagram tanpa rakaman bermutu tinggi.”

Beliau turut berharap peraturan di Hab Sukan menjadi lebih mesra masyarakat.

Perbarisan 2026 dijangka menarik kira-kira 42,000 penonton ke stadium berkeupayaan 55,000 orang.