Topik diikuti
Pergi ke BHkuNDP 2026 satukan keluarga tiga generasi atas pentas
Persembahan bersama The People’s Choir beri peluang eratkan silaturahim keluarga selain teruskan minat karaoke
Sebelum ini, Cik Noriza Mohamed Salleh, 67 tahun, hanya akan berjumpa anak dan cucu beliau sekali-sekala kerana jadual masing-masing yang begitu sibuk.
Namun, sejak mereka menyertai persembahan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026, hal itu telah berubah dan mereka berjumpa hampir setiap minggu untuk latihan dan raptai persembahan yang telah bermula sejak Mac.
Cik Noriza bersama anaknya, Cik Shirin Hushairi Taylor, 43 tahun, serta cucunya, Ariana Maya Taylor, 11 tahun, dan Ezra Alba Taylor, 9 tahun, tidak menyangka bahawa mereka berempat akan lulus uji bakat video dan terpilih untuk menyertai The People’s Choir.
“Saya berasa sangat teruja dapat membuat persembahan dengan anak dan cucu-cucu saya. Bila lagi nak dapat peluang macam ni?
“Saya juga gembira melihat mereka berkongsi minat yang sama dengan saya (untuk bernyanyi) kerana kami dapat melakukannya bersama-sama,” kongsi Cik Noriza.
Ini merupakan kali pertama mereka berempat akan membuat persembahan nyanyian bersama.
“Kami suka bernyanyi tapi selalunya, kami hanya akan menyanyi karaoke semasa Hari Raya.
“Justeru, ini merupakan peluang yang baik untuk kami meluangkan masa sambil melakukan kegiatan kegemaran kami,” kata Cik Shirin yang juga terharu melihat anak-anak dan ibunya berlatih rutin tarian bersama-sama.
Mereka berempat merupakan sebahagian daripada 61 peserta The People’s Choir, yang melambangkan ulang tahun ke-61 Singapura.
Koir tersebut merangkumi peserta daripada pelbagai bangsa, latar belakang, dan umur.
Ezra merupakan antara peserta paling muda dalam koir itu.
Selain merapatkan silaturahim keluarga, peluang keemasan untuk menyertai persembahan NDP 2026 juga telah membuat mereka lebih rapat dengan anggota lain dalam kumpulan koir tersebut.
“Dalam sebuah koir, kami perlu memastikan kami menyanyi dengan harmoni jadi kami perlu saling menjaga dan membantu antara satu sama lain, seperti sebuah keluarga besar,” kongsi Cik Shirin.
Bagi Cik Shirin, ia penting untuk saling membantu dan mengingati peserta lain kerana persembahan itu merupakan hasil kerjasama antara semua anggota koir.
The People’s Choir akan membuat persembahan mereka di Stadium Negara dalam babak terakhir persembahan NDP 2026 di mana mereka akan mendendangkan lagu Giants nyanyian Iman Fandi dan Sparkle oleh Gareth Fernandez.
Dalam mengangkat tema ‘Go Beyond’ menerusi semangat kesukanan, babak tersebut juga akan menampilkan empat kisah jurulatih sukan yang penuh inspirasi dalam satu tayangan dokumentari.
Babak tersebut bakal diakhiri dengan lagu kebangsaan, Majulah Singapura, yang akan dipimpin beberapa kanak-kanak termasuk Ariana dan Ezra.
“Saya rasa bangga dan gembira dapat memimpin lagu kebangsaan, dalam bahasa ibunda saya, di depan seluruh Singapura,” kata Ariana, yang merupakan pelajar Sekolah Rendah Punggol View.
“
“Kami suka bernyanyi tapi selalunya, kami hanya akan menyanyi karaoke semasa Hari Raya. Justeru, ini merupakan peluang yang baik untuk kami meluangkan masa sambil melakukan kegiatan kegemaran kami.”SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026

