Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu di bangku penonton, kini Hafidz pengacara NDP 2026 bersama Gurmit
Dulu di bangku penonton, kini Hafidz pengacara NDP 2026 bersama Gurmit
Dulu di bangku penonton, kini Hafidz pengacara NDP 2026 bersama Gurmit
Personaliti setempat, Hafidz Rahman, pernah menonton Pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) pada 1999 beberapa minggu sebelum Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), yang menampilkan ikon televisyen, Gurmit Singh, sebagai pengacara.
Genap 27 tahun kemudian, Hafidz, 37 tahun, rasa bertuah dan teruja dapat berkongsi pentas bersama Gurmit sebagai pengacara untuk NDP 2026 di tempat yang sama, Stadium Negara.
Stadium itu mampu menampung sekitar 42,000 penonton.
Mereka akan bergandingan dengan penyampai radio Joakim Gomez, serta pelakon Udaya Soundari dan Xixi Lim bagi mengendalikan segmen persembahan NDP 2026.
Bagi Hafidz, peluang mengacarakan NDP merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan bagi dirinya.
“Saya rasa teruja kerana diberi satu tugasan iaitu pengiktirafan untuk menjadi salah seorang pengacara bagi sebuah persembahan yang paling ikonik di Singapura,” katanya, yang bakal tampil sebagai pengacara persembahan NDP buat kali pertama.
Ketika ditemui Berita Harian (BH) di D’Marquee, Downtown East dalam satu acara media pada 2 Julai, Hafidz turut berkongsi cabaran mengacarakan NDP 2026.
“NDP kali ini memerlukan ketepatan masa yang baik dan banyak unsur persembahan perlu diselaras dengan tepat.
“Sebagai seorang pengacara, tugas saya menjadi lebih teknikal dan saya perlu sentiasa peka kerana banyak unsur yang digabungkan dalam persembahan ini seperti dron,” kongsi beliau.
Persembahan NDP 2026 dirancang untuk membawa lebih kesan pada deria penonton demi penghayatan mendalam, dengan pertunjukan 300 dron, menara persembahan LED setinggi 8.5 meter, dan sistem gelang tangan LED untuk penonton yang bakal menampilkan grafik dan mesej semasa persembahan berlangsung.
Di samping itu, pentas NDP 2026 juga akan menggunakan ruang menegak untuk pemasangan struktur di udara yang mempunyai keluasan lebih besar daripada empat skrin IMAX untuk pertunjukan grafik.
Namun, Hafidz berharap latihan yang dijalankan untuk menyelaras kesemua unsur itu bakal berbaloi dan memberikan pengalaman yang bakal meresap dan memukau penonton.
Selain penyelarasan yang tepat, skala NDP juga merupakan antara perbezaan ketara daripada pengalaman pengacaraan beliau yang lalu.
“Secara jujur, perbezaan yang ketara adalah keperluan umemiliki stamina yang baik.
“Di stadium, pentasnya besar dan saya perlu ke hulu ke hilir serta menjaga pernafasan saya,” kata Hafidz, yang akan mengacara di pentas sepanjang 162 meter dan selebar 74 meter itu.
Selain mengacara, hos program realiti, Berani Nyanyi dan Berani Lakon itu juga akan menari semasa lagu tema rancangan kanak-kanak, Aksi Mat Yoyo, dalam babak keempat persembahan NDP.
Babak tersebut bakal mengetengahkan kempen dan program televisyen yang pernah disiarkan di Singapura sejak 1965.
“Saya rasa amat bertuah dapat mengimbau kembali pengacaraan televisyen saya dalam Berani Nyanyi di skrin besar Stadium Negara serta rancangan, Aksi Mat Yoyo, yang saya tonton sewaktu kanak-kanak,” tambahnya.
SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.

