Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2027 akan kembali ke Padang bagi memperingati 60 tahun Perkhidmatan Negara (NS), kata Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, pada 25 Ogos.

“Tahun depan (2027) akan menjadi tahun istimewa bagi kita,” katanya, sambil menambah bahawa jawatankuasa penganjur akan merancang sesuatu yang istimewa untuk semua rakyat Singapura, khususnya mereka yang telah menjaga keselamatan negara sepanjang lebih 60 tahun lalu.

Walaupun Padang merupakan tapak yang sudah biasa digunakan, Encik Chan berkata setiap NDP perlu istimewa dan meneroka sesuatu yang baharu bagi menunjukkan kemampuan Singapura kepada dunia.

“Tidak mengapa mencuba walaupun hasilnya tidak sempurna. Keberanian mencuba dan terus memperbaiki sesuatu merupakan semangat setiap NDP,” katanya.

Sejak bertahun-tahun lalu, NDP diadakan di Padang sempena sambutan penting, daripada perbarisan pertama pada 1966 hingga jubli emas Singapura pada 2015 dan peringatan dua abad pada 2019.

Padang boleh menampung hampir 27,000 penonton.

Encik Chan berkata demikian pada majlis penghargaan di D’Marquee, Downtown East, di mana beliau turut menyampaikan anugerah kepada 27 penerima anugerah emas dan 109 rakan kongsi utama atas sumbangan mereka kepada NDP 2026.

Penerima anugerah emas termasuk pengarah kreatif, Encik Brian Gothong Tan, pengerusi jawatankuasa persembahan, Encik Wong Zeng Yu, dan pengerusi jawatankuasa eksekutif, Encik Lim Han Yong.

Rakan kongsi utama pula termasuk Sekolah Reka Bentuk dan Media, Politeknik Nanyang (NYP), kumpulan sukarelawan Heartwarmers dan Kolektif Pertahanan Singapura (DCS).

Panglima Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng, turut menyampaikan 396 anugerah lain.

Encik Chan, yang juga Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam, berkata NDP 2026 mencabar kerana ia diadakan di Stadium Negara selepas 10 tahun.

“Dari beberapa sudut, ia pengalaman baharu bagi ramai kerana hanya segelintir anggota pasukan penganjur yang terkini pernah menganjurkan NDP di stadium,” katanya.

Antara cabarannya adalah menampung lebih ramai penonton, saiz pentas yang kira-kira 30 peratus lebih besar berbanding di Padang, serta usaha memenuhi jangkaan penonton.

Walaupun stadium itu boleh menampung hampir dua kali ganda jumlah penonton berbanding Padang, tiada perarakan kenderaan tentera, terjunan payung Red Lions dan pertunjukan udara kerana “pertimbangan keselamatan dan operasi”.

Namun, Encik Chan berkata mereka yang terlibat telah menjadikan NDP 2026 istimewa menerusi persembahan cemerlang, kesediaan mencuba perkara baharu dan usaha berterusan untuk memperbaiki persembahan.

Lebih 10,000 petugas di belakang tabir telah memastikan 42,000 penonton menikmati persembahan dengan lancar, termasuk mereka yang menguruskan makanan, logistik dan orang ramai.

“Tempat acara tidak menentukan pengalaman kita. Mereka yang terlibat dan proses di sebalik penganjuran itulah yang menentukannya,” katanya.

“NDP menjadi istimewa bukan sekadar hasil idea baharu, tetapi hasil peranan setiap seorang daripada anda yang menjadikan sesuatu yang biasa itu, istimewa.”