Sebuah video TikTok yang memaparkan kemeriahan perlawanan bola sepak Singapura di Stadium Negara pada 2007 mengimbau nostalgia warga setempat terhadap zaman kegemilangan ‘Kallang Roar’.

Daripada gegaran lantai stadium akibat puluhan ribu penyokong melompat serentak hingga ‘Kallang Wave’ yang mengelilingi tempat duduk penonton, video yang dikongsi di media sosial itu membuat ramai terkenang suasana menyaksikan skuad Singa beraksi hampir dua dekad lalu.

Menurut senikata video tersebut, ia dirakam ketika Singapura menewaskan Thailand 2-1 dalam perlawanan pertama final Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) 2007 di Stadium Negara pada 31 Januari 2007, sebelum skuad Singa muncul juara kejohanan tersebut.

“Generasi muda Singapura tidak dan mungkin tidak akan dapat merasakan zaman ketika 55,000 rakyat Singapura bersorak bersama-sama dan lantai stadium bergegar kerana semua melompat-lompat,” tulis pengguna ‘MeeSua4Ever’.

Komen itu meraih lebih 130 tanda suka setakat 25 Ogos, dengan beberapa pengguna lain turut menyuarakan kerinduan terhadap suasana di Stadium Negara lama.

Video tersebut, yang dimuat naik pengguna ‘poppy’, disertakan kapsyen berikut:

“POV: Anda berada pada 2007, menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Negara lama.”

Video itu, yang mempunyai lebih 1,500 tanda suka, memaparkan suasana penyokong berpakaian merah bersorak dan meraikan kemenangan Singapura 2-1, selain aksi di tengah padang.

Namun, apa yang paling mencuri perhatian pengguna media sosial bukan sekadar keputusan perlawanan itu, tetapi suasana di stadium yang pernah menjadi ‘rumah’ skuad Singa.

Pengguna ‘Hejusk lejs’ menyifatkan Stadium Negara lama sebagai tempat lahirnya sorakan ikonik ‘Kallang Roar’.

“Stadium lama itulah ‘Kallang Roar’ yang sebenar. Sorakan itu bermula dari stadium lama. Ketika itu, sorakannya benar-benar seperti ngauman singa Kallang,” tulisnya.

Pengguna ‘Nawerahs.dm’ pula berkata beliau sendiri pernah berada dalam kalangan ribuan penyokong yang memenuhi stadium itu.

“Saya berada di sana, menyaksikan dan merasakan sendiri suasana kira-kira 55,000 penyokong. Suasananya menakjubkan!

“‘Kallang Wave’, lantai yang bergegar, dan sorakan ‘Ole’... suasananya berbeza dengan Stadium Negara yang baru,” katanya.

Sorakan puluhan ribu penyokong, ‘Kallang Wave’, dan gegaran stadium antara kenangan yang dikongsi warganet mengenai suasana perlawanan di Stadium Negara lama.
Sorakan puluhan ribu penyokong, ‘Kallang Wave’, dan gegaran stadium antara kenangan yang dikongsi warganet mengenai suasana perlawanan di Stadium Negara lama. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK POPPY.NATION

Kenangan terhadap Stadium Negara lama juga melangkaui apa yang berlaku sepanjang 90 minit perlawanan.

Bagi sesetengah penyokong, perjalanan menuju ke stadium, makanan yang dijual di sekitarnya, dan lautan manusia yang menuju ke Stadium Negara bersama-sama turut menjadi sebahagian daripada pengalaman menyaksikan bola sepak tempatan ketika itu.

Pengguna ‘Tendare’ misalnya terkenang perarakan penyokong dari stesen MRT Kallang ke stadium, selain kunjungannya ke kedai sukan David Lee di Kompleks Joo Chiat pada hujung minggu.

Seorang lagi pengguna, ‘SZ’, berkata beliau bersyukur sempat merasakan sendiri ‘gempa Kallang’, ‘Kallang Roar’ dan ‘Kallang Wave’, selain menikmati minuman, karipap, dan popiah.

Bagi pengguna ‘Vijay Anand’ pula, antara kenangan yang masih terpahat dalam ingatannya ialah apabila penyokong menghentakkan kaki secara serentak sehingga mencetuskan suasana gemuruh di stadium.

“Apabila kami, para penyokong, menghentakkan kaki bersama-sama, meniup wisel dan melaungkan ‘referee kayu’... Stadium Negara menjadi lengkap.

“55,000 penonton melakukan ‘Kallang Roar’ dan ‘Kallang Wave’... ia benar-benar nostalgia,” kongsinya.

Selain nostalgia, video itu turut mencetuskan perbandingan antara suasana bola sepak Singapura dahulu dengan hari ini.

“Saya rindukan zaman itu. Ia seronok ketika itu. Sekarang tiada apa yang dapat dilihat dan dirasakan,” tulis pengguna ‘Jumani Ramin’.

Pengguna ‘Wayne’ pula merumuskan kerinduannya dengan ringkas:

“Sudah berlalu zaman semangat Singapura.”

Namun, beberapa pengguna berpandangan suasana sedemikian masih boleh dihidupkan kembali sekiranya penyokong kembali memberikan sokongan padu kepada skuad negara.

Pengguna ‘tokitoyo’ berkata kumpulan penyokong SingaBrigade sedang berusaha mengembalikan budaya sorakan itu, sementara pengguna ‘footstepfinds’ berpandangan peminat hari ini mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap prestasi pemain.

Stadium Negara lama menjadi pentas kepada pelbagai detik bersejarah bola sepak Singapura sebelum ia ditutup pada 2007 dan kemudian memberi laluan kepada pembangunan Hab Sukan Singapura.

Hampir dua dekad berlalu, namun kenangan malam 31 Januari 2007 itu masih segar dalam ingatan sebahagian penyokong, yang mengimbas bukan sahaja kemenangan skuad Singa, malah suasana puluhan ribu penyokong yang memenuhi Stadium Negara lama.