Topik diikuti
Pergi ke BHkuNEA: Jumlah lubang tikus ditemui berkurang pada suku pertama 2026
NEA: Jumlah lubang tikus ditemui berkurang pada suku pertama 2026
Sebanyak 2,900 lubang tikus direkod pada awal 2026, berbanding 4,900 pada 2025
NEA: Jumlah lubang tikus ditemui berkurang pada suku pertama 2026
Bilangan lubang tikus yang dikesan di Singapura berkurang pada suku pertama 2026, seiring usaha penguatkuasaan yang giat dijalankan pihak berkuasa.
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) merekodkan kira-kira 2,900 lubang tikus semasa kitaran pengawasan pada awal 2026, susut ketara daripada 4,900 lubang pada 2025.
Sarang perosak itu kebanyakannya ditemui di kawasan perumahan awam, rumput di tepi jalan, serta kawasan perindustrian, tambah agensi tersebut.
Kunci kepada masalah itu terletak pada usaha menghapuskan punca makanan tikus.
Antara Januari dengan Mac, NEA dan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengambil tindakan ke atas kira-kira 260 pemilik premis kerana kecuaian berkaitan isu tikus.
Daripada jumlah tersebut, sekitar 150 kes berpunca daripada pengurusan sisa yang tidak teratur.
Dalam nasihat media yang dikeluarkan pada 23 Jun, agensi itu memberi contoh amalan pengurusan tikus yang baik oleh pemilik premis yang telah membawa perubahan.
AMK Hub, misalnya, bebas daripada gangguan tikus yang berterusan sejak penghujung 2023, hasil langkah proaktif seperti melatih kakitangan mengesan ancaman awal, mengasingkan unit makanan, serta menetapkan protokol tindakan pantas.
NEA turut melaporkan peningkatan ketara dalam pengurusan sisa di dua lokasi utama hasil kerjasama erat di lapangan.
Di Chai Chee Road, kejadian berkaitan sampah merosot daripada 23 kes pada November 2025 kepada hanya 10 pada akhir Februari, dipacu oleh pendidikan pengurusan sisa, kerjasama majlis bandaran, serta pemantauan kamera pengawasan.
Kes serupa di Serangoon Avenue 2 dan 3 pula menjunam sebanyak 52 peratus, susulan arahan penyediaan tong sampah tambahan serta pembersihan barang besar yang sering menjadi sarang tikus.
Bagi memastikan kepatuhan, NEA mengambil tindakan penguatkuasaan sebanyak 12 kali, termasuk dua kes di bawah Akta Pengawalan Serangga dan Racun Perosak 1998 yang menyaksikan denda sebanyak $6,000 dikenakan.
Memberikan laporan suku tahunannya, NEA berkata dalam tempoh tiga bulan pertama 2026, ia mengeluarkan sekitar 3,000 denda bagi kesalahan membuang sampah sembarangan di seluruh negara.
Ia turut menjalankan 66 operasi penguatkuasaan di tempat yang sering berlaku kesalahan (hotspots), dengan mengerahkan rondaan, petugas berjaga-jaga dan kamera pengawasan, serta menjalankan operasi di lapangan untuk mencegah pembuangan sampah sembarangan di kawasan tersebut.
Dalam tempoh yang sama, pihak berkuasa mengeluarkan lebih 150 Perintah Kerja Pembetulan (CWO).
Pada 15 Mei, pesalah berulang, Tang Bo Xiang, 43, disabitkan atas kesalahan membuang puntung rokok di tempat awam.
Dia dikenakan denda sebanyak $2,500 dan hukuman CWO selama 12 jam, menandakan “sabitan ke-13 nya kerana membuang sampah sembarangan sejak 2000”.
Di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar, kesalahan membuang sampah boleh membawa denda sehingga $2,000 bagi kesalahan pertama, $4,000 bagi kesalahan kedua, dan $10,000 bagi sabitan ketiga serta seterusnya.
Pesalah juga boleh diarah menjalani CWO, iaitu “pembersihan kawasan awam sehingga 12 jam”.
NEA menegaskan komitmen untuk “meneruskan pendekatan pelbagai serampang” yang menggabungkan penguatkuasaan, inovasi dan penglibatan masyarakat demi memelihara piawaian kebersihan negara.
