Topik diikuti
Pergi ke BHkuRobot pembersihan berautonomi diuji untuk tingkat kebersihan estet
Robot pembersihan berautonomi diuji untuk tingkat kebersihan estet
Antara inisiatif Majlis Bandaran Marine Parade-Braddell Heights untuk tingkat penyelenggaraan estet
Robot pembersihan berautonomi diuji untuk tingkat kebersihan estet
Penduduk di Blok 37C Eunos Road 2 boleh berkongsi perjalanan lif mereka dengan ‘rakan’ yang tidak dijangka mulai 22 Mei – sebuah robot pembersihan berautonomi yang menjalankan tugas di kawasan umum estet perumahan tersebut.
Dilengkapi dengan penderia dan disepadukan dengan sistem lif, robot berkenaan mampu naik turun lif untuk membersihkan koridor di semua tingkat di blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tersebut.
Robot sedemikian, yang sedang diuji Majlis Bandaran Marine Parade-Braddell Heights (MPBHTC), merupakan sebahagian usaha lebih luas untuk meningkatkan penyelenggaraan estet melalui automasi, perancangan berasaskan data, serta sistem tindak balas lebih pantas.
Berkongsi sedemikian dalam taklimat media di MPBHTC di di Marine Terrace pada 22 Mei, Pengerusi MPBHTC, Cik Tin Pei Ling, berkongsi bahawa sejak setahun lalu, majlis bandaran tersebut telah mengambil pendekatan lebih “sistematik” dan berasaskan data untuk mengenal pasti serta menangani isu perbandaran di seluruh estet itu dengan lebih berkesan.
“Kami memutuskan untuk menggunakan lebih banyak data supaya kami dapat memperoleh gambaran lebih baik tentang prestasi kami dalam bidang kritikal yang penting kepada mandat majlis bandaran.
“Daripada e-mel, panggilan dan aplikasi OneService merentasi pelbagai saluran, kami membangunkan satu papan pemuka kecil supaya kami dapat melihat prestasi kami dari semasa ke semasa.
“Ini membantu kami mengenal pasti bidang yang lebih kritikal untuk kami tumpukan perhatian bagi menyasarkan usaha kami,” ujar Cik Tin yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Turut hadir dalam sesi taklimat itu ialah AP SMC Mountbatten, Cik Gho Sze Kee; dan AP GRC Marine Parade-Braddell Heights lain iaitu Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming; dan Cik Diana Pang.
Seorang lagi AP, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang juga Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), tidak hadir kerana sedang memimpin delegasi Singapura bagi mengerjakan ibadah haji 2026 di Arab Saudi.
Pasukan AP di GRC tersebut merupakan satu-satunya pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menang tanpa bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025.
Menerangkan lebih lanjut, Cik Tin berkata penganjuran taklimat media itu menonjolkan usaha majlis bandaran itu untuk berkongsi secara terbuka perkembangan dan kemajuan yang dicapai sepanjang setahun lalu.
Ia juga bagi menunjukkan komitmen mereka untuk terus melaksanakan tanggungjawab bagi penduduk yang telah memberikan sokongan padu, tambahnya.
Robot pembersihan tersebut merupakan antara dua inisiatif baru yang diperkenalkan MPBHTC.
Ini selain sistem pelaporan berasaskan kod QR yang membolehkan penduduk memaklumkan kepada pekerja pembersihan apabila tong sampah sudah penuh, dengan mengimbas kod yang dilekatkan pada tong sampah tersebut.
Penduduk kini boleh mengimbas kod QR pada 71 tong sampah di seluruh kawasan Marine Parade-Braddell Heights.
Mengulas, Penolong Pengurus Hartanah MPBHTC, Encik Abdul Rauf Abdul Majeed, berkata idea tersebut tercetus selepas pihaknya mendapati penduduk kadangkala mengalami kelewatan atau kesulitan melaporkan tong sampah yang penuh, khususnya semasa hujung minggu yang panjang.
Antaranya, ini memudahkan dan mempercepatkan proses bagi penduduk membuat maklum balas tanpa perlu melalui langkah pelaporan yang rumit.
“Ia mungkin kelihatan seperti perubahan kecil, tetapi dengan memudahkan proses pelaporan, ia membantu kami bertindak balas dengan lebih pantas dan memastikan estet sentiasa lebih bersih buat penduduk,” katanya.
Selain inisiatif tersebut, MPBHTC turut memperkenalkan set indeks prestasi bagi memantau bidang seperti kawalan makhluk perosak, pengurusan halangan, keselamatan kebakaran, serta risiko denggi.
Menurut majlis bandaran tersebut, secara purata, maklum balas merentasi kawasan Marine Parade-Braddell Heights yang berkaitan kebersihan telah menurun sebanyak 10 peratus dalam tempoh enam bulan (Oktober 2025 hingga Mac 2026).
Dalam tempoh sama, maklum balas berkaitan tikus berkurangan sebanyak 17 peratus, diikuti isu burung merpati sebanyak 16 peratus, manakala kes barangan berlebihan dan menimbulkan halangan laluan menurun sebanyak 11 peratus.
Sementara itu, MPBHTC menyatakan mereka telah melaksanakan 57 projek penambahbaikan di seluruh estet bagi meningkatkan prasarana serta ruang berkongsi sepanjang 2025.
Antara yang dilaksanakan termasuk pembinaan 22 laluan berbumbung baru dan naik taraf 18 taman permainan dan sudut kecergasan.
Mengulas tentang inisiatif robot pembersihan itu, Encik Goh berkata pihaknya perlu memantau pelaksanaannya dengan teliti sebelum ia diperluaskan.
“Kami perlu melihat di mana ia berkesan dan di mana terdapat kekurangan. Melihat bagaimana penduduk memberikan tindak balas terhadap robot tersebut juga sesuatu yang menarik.
“Jika anda mendengar ia dilaksanakan di lebih banyak blok, itu menandakan keyakinan dan kemajuan,” ujarnya.
