Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NEA kesan dua kes Zika di Woodlands

Jun 19, 2025 | 3:45 PM
Setakat 12 Jun, sebanyak tujuh kes Zika tempatan telah dilaporkan pada 2025.
Setakat 12 Jun, sebanyak tujuh kes Zika tempatan telah dilaporkan pada 2025. - Foto fail

Dua kes Zika tempatan telah disahkan di Woodlands Street 11 dan Street 32, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam satu hantaran di Facebook pada 19 Jun.

Susulan setiap laporan kes, NEA akan memulakan langkah pemantauan air sisa dan nyamuk di sekitar kawasan perumahan tersebut.

Menurut agensi itu, langkah pemantauan yang dipertingkat oleh NEA menunjukkan bahawa virus Zika masih dikesan secara berterusan di kawasan berkenaan, sekali gus menandakan kemungkinan berlakunya penularan di sana.

Pemantauan ini merupakan usaha berkala oleh NEA untuk mengurangkan penularan penyakit yang berpunca daripada serangga di Singapura, lapor The Straits Times (ST).

Ia lazimnya dijalankan menerusi penggunaan alat gravitrap (penangkap nyamuk) yang ditempatkan di kawasan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi menangkap nyamuk Aedes aegypti – iaitu spesies yang menyebarkan virus Zika dan denggi – yang hidup di kawasan bandar dan menggigit pada waktu siang.

Semakan di laman web NEA mendapati sebanyak tiga kes Zika telah dilaporkan di Singapura sejak 25 Mei, dengan kes terbaru disahkan pada 11 Jun.

Setakat 12 Jun, sebanyak tujuh kes Zika telah dilaporkan pada 2025, manakala sebanyak 13 kes dilaporkan pada 2024.

NEA menasihati orang ramai yang menunjukkan tanda-tanda yang dikaitkan dengan jangkitan Zika supaya mendapatkan rawatan doktor dengan segera. 

Menurut laman web CDA, antara tanda jangkitan Zika termasuk ruam, demam, sakit mata, sakit otot, sakit sendi dan sakit kepala.

Tiada rawatan khusus untuk mengubati jangkitan Zika, namun pesakit yang sedang hamil disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada pakar perbidanan mereka untuk tindakan lanjut, kata CDA.

Zika boleh menyebabkan kecacatan pada bayi yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti virus tersebut, termasuk masalah pada sistem saraf atau mikrosefali, iaitu keadaan apabila saiz kepala bayi lebih kecil daripada normal.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes Zika, orang ramai boleh melayari laman go.gov.sg/zikaclusters

Maklumat tentang gejala Zika, langkah pencegahan dan pilihan rawatan bagi jangkitan tersebut pula boleh diperolehi menerusi laman web CDA di go.gov.sg/zika.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg