Jumlah kes denggi yang dirakamkan dari Januari hingga Mei 2025 turun 74 peratus berbanding tempoh sama pada 2024, dengan hampir 2,000 kes dicatatkan setakat ini.
Demikian berdasarkan angka daripada Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Jumlah itu juga “jauh lebih rendah” berbanding tempoh yang sama pada 2023, apabila lebih 3,000 kes dilaporkan dalam separuh pertama 2023.
Bagi separuh pertama 2024 pula, kira-kira 10,000 kes denggi telah dicatat.
Terdapat dua kematian akibat jangkitan denggi tempatan setakat 15 Mei, kata NEA dalam satu kenyataan pada 25 Mei.
Walaupun Singapura berjaya mengelak wabak besar pada 2023 dan 2024, NEA memberi amaran bahawa imuniti penduduk yang masih rendah, serta peningkatan kes denggi di peringkat sejagat, boleh menyebabkan peningkatan kes denggi tempatan.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 13 juta kes denggi dicatatkan di seluruh dunia pada 2024 – lebih dua kali ganda berbanding 6.5 juta kes yang dirakamkan pada 2023.
Menurut NEA, kewaspadaan masyarakat yang berterusan dalam membanteras pembiakan nyamuk, serta inovasi seperti Projek Wolbachia untuk mengawal jumlah nyamuk Aedes pembawa virus denggi melalui pelepasan nyamuk yang diternak di makmal, telah membantu negara mengelak wabak besar.
Peningkatan kes denggi pada 2023 dan 2024 berjaya dikawal walaupun bilangan kes kekal tinggi secara asasnya, jelas agensi tersebut.
Lebih 13,600 kes denggi telah dilaporkan di Singapura pada 2024, manakala 9,949 kes direkodkan pada 2023, lapor The Straits Times (ST).
Kajian menunjukkan bahawa risiko dijangkiti denggi berkurang sekitar 75 peratus di kawasan pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes dan risiko itu turun sekitar 45 peratus di kawasan berhampiran.
Menjelang akhir 2026, Projek Wolbachia akan diperluas untuk merangkumi 800,000 isi rumah, atau sekitar separuh daripada keseluruhan isi rumah di Singapura.
NEA juga akan melaksanakan langkah percubaan pelepasan nyamuk Wolbachia-Aedes di kawasan kelompok denggi, bagi menyokong kaedah lain dalam membendung pertumbuhan kelompok tersebut.
“Bulan panas dari Mei hingga Oktober biasanya mencatat penularan denggi yang lebih tinggi di Singapura.
“Ini disebabkan oleh perkembangan nyamuk Aedes yang lebih cepat dan pembiakan virus denggi yang lebih pantas dalam kalangan nyamuk,” kata kenyataan NEA.
Orang ramai diingatkan agar mengambil langkah mencegah pembiakan nyamuk seperti mengosongkan baldi dan menukar air dalam pasu bunga.
Mereka yang tinggal di kawasan kelompok denggi, disahkan atau mengesyaki dijangkiti denggi atau Zika, digalakkan menyemburkan racun serangga di sudut gelap rumah dan menyapukan ubat penghalau serangga secara berkala bagi mengelak digigit nyamuk.
Pada 25 Mei, NEA turut melancarkan Kempen Pencegahan Denggi Kebangsaan 2025 di Pusat Sukan Pasir Ris.
Majlis pelancaran itu dihadiri Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, yang memberi amaran tentang bahaya nyamuk Aedes.
“Nyamuk ini juga membawa virus Zika, dan kami ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan orang ramai bahawa walaupun kempen ini tertumpu kepada denggi, ia juga berkait dengan pelbagai penyakit lain,” katanya, sambil menekankan bahawa jangkitan Zika boleh memberi “kesan lebih serius” terhadap wanita hamil.
Beliau turut menggesa rakyat Singapura supaya memainkan peranan dalam membanteras pembiakan nyamuk Aedes.
Turut hadir di acara itu ialah Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Pasir Ris-Changi.
Sebanyak 13 kes Zika dilaporkan di Singapura pada 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg