Tidak kira hujan atau panas, ia bukan satu alasan untuk membuang sampah sebarangan, atau merokok di tempat yang dilarang.
Demikian dilihat Berita Harian (BH) apabila diundang mengikut beberapa pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) melaksanakan kerja penguatkuasaan di Woodlands baru-baru ini.
Mereka dilengkapkan dengan kamera yang dipasang pada tubuh badan bagi merakam semasa mendekati penduduk.
Para pegawai itu juga mahir semasa berbicara dengan orang ramai yang dihampiri.
Mereka juga dilengkapi telefon bimbit yang berupaya memantau secara langsung kamera penguatkuasaan di kawasan ‘hot spot’ atau titik panas.
Yang pasti para pegawai itu dilihat terus meninjau perbuatan orang ramai yang melanggar peraturan seperti merokok di kawasan tertutup dan membuang sampah secara sebarangan.
Dalam satu operasi penguatkuasaan selama tiga hari – antara 3 dengan 6 Mei lalu – NEA telah mengeluarkan sebanyak 125 tiket penguatkuasaan bagi beberapa kesalahan seperti membuang sampah sebarangan, merokok di kawasan terlarang dan meludah di tempat umum, kata NEA dalam satu kenyataan pada 6 Mei.
Bilangan operasi penguatkuasaan tersebut juga telah dipertingkatkan.
Daripada 21 operasi yang dijalankan pada 2023, ia meningkat kepada lebih 100 operasi pada 2024, kata Timbalan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan NEA, Divisyen Sanitasi dan Pematuhan, Encik Mulyadi Ahmad.
Ini adalah sebahagian langkah yang dipertingkat agensi itu dirancang bagi 2024, selepas Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) menetapkan 2024 sebagai ‘Tahun Kebersihan Awam’.
Ketika BH meninjau operasi penguatkuasaan itu di pusat beli-belah Causeway Point pada lewat petang 3 Mei lalu, pegawai dilihat meronda dalam kumpulan sekitar lapan orang dan memakai tanda lengan berwarna hijau.
Mereka dilihat meneliti perbuatan orang ramai di kawasan tertentu yang ramai perokok, seperti kawasan tertutup bersebelahan dengan ruang terbuka.
Hujan gerimis mengiringi operasi tersebut.
Seramai dua perokok, kelihatan diberi tiket oleh para pegawai kerana merokok di kawasan tertutup.
Ada yang dilihat cuba merayu kepada pegawai berkenaan namun akhirnya mereka terpaksa akur dengan kesalahan mereka sendiri.
BH tidak melihat tiket yang diberi bagi kesalahan membuang sampah sebarangan ketika mengikuti operasi itu.
Bercakap kepada media semasa operasi berlangsung, Encik Mulyadi berkata operasi penguatkuasaan seperti yang dilihat BH itu berlangsung antara lima dengan enam jam lamanya.
Matlamat operasi itu adalah untuk menunjukkan akan kehadiran para pegawai yang meronda di kawasan tersebut.
Sambil rondaan berlangsung, para pegawai yang terlibat juga mampu meneliti kamera litar tertutup NEA yang dipasang di kawasan titik panas atau tempat yang kerap menghadapi masalah pembuangan sampah secara sebarangan secara langsung, menerusi telefon bimbit mereka.
NEA berkata lebih banyak kamera sedemikian akan dipasang di kawasan berkenaan – daripada sebanyak 250 setiap tahun kepada 1,000 kamera setiap tahun.
Sepanduk juga akan disediakan di tempat-tempat tersebut bagi mengingatkan orang awam bahawa kawasan itu dipantau dan berapa ramai individu yang telah dikenakan saman di lokasi itu.
Encik Mulyadi berkata, kawasan titik panas seperti di Causeway Point itu, ditetapkan berdasarkan maklum balas orang ramai dan pegawai bertugas dan di mana isu membuang sampah sebarangan sering berlaku.
Perintah Kerja Pemulihan (CWO), yang melibatkan pesalah yang telah melakukan kesalahan membuang sampah sebarangan, juga akan diadakan di kawasan titik panas itu, katanya lagi.
CWO memerlukan pesalah untuk membersihkan tempat umum sekurang-kurangnya selama tiga jam.
“Kami berharap dengan dengan kehadiran penguatkuasaan ini, kami akan dapat mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan berkait kesihatan orang umum,” kata Encik Mulyadi
“Majoriti warga Singapura, membuang sampah mereka secara bertanggungjawab, namun sebilangan kecil, masih kerap membuang sampah secara sebarangan dan oleh itu, ia penting bagi kami mengambil tindakan.
“Ini agar kami dapat menyebarkan mesej bahawa pembuangan sampah secara sebarangan tidak boleh diterima.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg