Topik diikuti
Pergi ke BHkuNEA: Risiko jerebu rentas sempadan di S’pura kian reda dek musim monsun
NEA: Risiko jerebu rentas sempadan di S’pura kian reda dek musim monsun
Perubahan arah angin susulan peralihan ke fasa monsun di Singapura dijangka mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan, menurut agensi meteorologi pada 29 Oktober.
“Dengan perubahan daripada tiupan angin tenggara atau barat daya yang berterusan kepada angin lemah dan berubah-ubah di rantau sekitarnya, kemungkinan asap jerebu daripada kebakaran dibawa ke Singapura adalah lebih rendah,” kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS).
Selain keadaan cuaca lebih lembap di Singapura dan kawasan sekitarnya, keadaan jerebu di negara ini dijangka bertambah baik, tambah MSS dalam ramalan cuaca dua mingguannya.
Dalam tempoh dua minggu pertama November, hujan petir sederhana hingga lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Singapura pada waktu petang pada kebanyakan hari, kata MSS.
Hujan mungkin berlarutan hingga ke waktu malam pada beberapa hari. Jumlah hujan bagi tempoh dua minggu akan datang diramalkan melebihi purata jangka panjang di kebanyakan kawasan Singapura.
Cuaca pula dijangka kekal panas dengan suhu maksimum harian antara 33 hingga 35 darjah Celsius pada kebanyakan hari. Suhu mungkin melebihi 35 darjah Celsius pada beberapa hari.
Sejak 26 Oktober, Singapura menikmati keadaan langit yang lebih cerah dengan Indeks Pencemaran Udara (PSI) bagi tempoh 24 jam berada dalam julat baik hingga sederhana di semua kawasan negara ini.
Setakat 4 petang pada 29 Oktober, bacaan PSI kekal dalam julat baik hingga sederhana, manakala paras PM2.5 – bahan pencemar utama yang menyumbang kepada jerebu – sebahagian besarnya kekal dalam julat normal.
Walaupun keadaan angin mungkin memihak kepada Singapura, kebakaran di Indonesia masih berterusan. Namun ia telah berkurangan sejak beberapa hari lalu berikutan hujan yang dinanti-nantikan.
