Bilangan lubang tikus di serata Singapura telah berkurang dengan ketara.
Ini berikutan langkah pihak berkuasa menggunakan teknologi pemantauan di samping penguatkuasaan yang dipertingkat bagi memastikan kebersihan.
Menurut satu kenyataan bersama Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Agensi Makanan Singapura (SFA), terdapat sekitar 2,700 lubang tikus dikesan daripada pemeriksaan dua bulan pada separuh pertama 2024.
Bilangan tersebut menunjukkan pengurangan berbanding 5,200 lubang tikus yang dikesan pada 2023.
Dapatan tersebut diketengahkan semasa satu lawatan ke tapak di Toa Payoh Central yang dihadiri Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, pada petang 24 September.
Semasa lawatan ke tapak itu, Encik Baey menyaksikan sendiri penggunaan teknologi yang digunakan NEA, seperti kamera inframerah pasif yang dipasang di longkang dan juga kamera pengesanan terma bagi mengenal pasti struktur yang digunakan tikus.
Beliau turut berkunjung ke kedai kopi, Kim San Leng, untuk mengedarkan risalah tentang amalan baik dalam mengurus dan mencegah kegiatan tikus di premis jualan makanan kepada pegerai di sana.
Dalam satu laporan Berita Harian (BH) pada April 2024, NEA berkata ia akan melancarkan teknologi pengesanan terma yang boleh memantau tikus dalam gelap dan akan menjalankan ujian selama empat bulan.
Menurut kenyataan bersama NEA dan SFA, kawasan ‘titik panas’ pembiakan tikus yang ditinjau kamera pengesanan terma pada suku kedua 2024 adalah di Buffalo Road dan Telok Ayer Street.
“Tinjauan menunjukkan bahawa kamera pengesanan terma mampu merakam kegiatan tikus dan laluan yang digunakan haiwan itu untuk mengakses sumber makanan yang mungkin terkumpul di kawasan tertentu.
“Sebanyak 13 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemilik premis kerana lalai memastikan kebersihan awam dan mengakibatkan keadaan yang menggalakkan penyebaran vektor,” kata kededua NEA dan SFA.
Dalam pada itu, sekitar 380 tindakan penguatkuasaan diambil NEA dan SFA terhadap pemilik premis kerana kelalaian berkaitan tikus pada separuh pertama 2024.
Sebanyak 105 daripadanya adalah kerana tidak mengurus sampah dengan baik.
Ini berbeza dengan kira-kira 670 tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap pemilik premis kerana kelalaian berkaitan tikus pada 2023, dengan 80 daripadanya adalah kerana amalan pengurusan sampah yang buruk.
Meskipun jumlah kes telah berkurang, Encik Baey menekankan kepentingan usaha memupuk tanggungjawab kolektif yang berterusan dalam mencegah kebangkitan semula populasi tikus.
“Kami memandang serius usaha menangani masalah tikus ini kerana ia mampu menyebarkan penyakit. Jika keadaannya sesuai, tikus ini dapat membiak dengan begitu cepat.
“Oleh itu, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa dalam menangani masalah tikus ini.
“Saya menggesa semua pihak berkepentingan supaya meneruskan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg