Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Biskut beracun di Terengganu: Mangsa ‘bernasib baik’ tidak telan biskut

Jul 16, 2024 | 2:29 PM
Biskut mengandungi racun tikus yang digantung di sebuah kebun pisang di Kemaman, Terengganu, menyebabkan seorang remaja nyaris maut selepas termakan biskut itu pada 12 Julai.
Biskut mengandungi racun tikus yang digantung di sebuah kebun pisang di Kemaman, Terengganu, menyebabkan seorang remaja nyaris maut selepas termakan biskut itu pada 12 Julai. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

CHUKAI (Terengganu): Remaja Mohd Daynail Haikal Alias, 13 tahun, yang pengsan selepas makan biskut beracun diletakkan di sebuah kebun pisang di Kemaman, Terengganu, bernasib baik kerana tidak menelan biskut yang dicampur racun tikus itu.

Bapa mangsa, Encik Alias Saras, 57 tahun, berkata anaknya rebah dan menggelupur sebaik ‘menjamah’ biskut itu dalam kejadian pada 12 Julai.

“Mujur dia tidak telan biskut itu, kalau tidak saya tak tahu apa nasib anak saya,” katanya menceritakan detik cemas selepas anaknya termakan biskut beracun di kawasan sebuah kebun di Kampung Dadong, Air Puteh, Kemaman.

Encik Alias berkata Mohd Daynail yang menerima rawatan di Hospital Kemaman sejak hari kejadian kini semakin pulih.

Menurutnya sebelum kejadian, beliau menghantar anak keempat daripada lima beradik itu ke sekolah kerana Mohd Daynail ada latihan memanah.

“Mohd Daynial kemudian mengikut seorang kawannya memancing di sebuah parit kecil di tepi kebun terbabit.

“Banyak biskut yang dicampur racun mungkin untuk menghalau monyet, diletakkan di sepanjang pagar dalam kebun itu dan dia mengambil satu biskut yang digantung di situ.

“Mohd Haiqal sudah gigit biskut itu, namun meludahnya semula selepas merasa masam. Lima minit selepas itu Mohd Daynail tiba-tiba rebah dan menggelupur sebelum rakannya itu bergegas pulang meminta bantuan ayahnya,” katanya, lapor Harian Metro.

Encik Alias berkata anaknya dikejarkan ke klinik kesihatan berhampiran oleh bapa rakan anaknya itu dan ketika itu Mohd Daynail tidak sedarkan diri selain beberapa kali diserang sawan ketika diberi rawatan.

“Dia kemudian dihantar ke Hospital Kemaman dan selama sehari berada di Unit Rawatan Rapi (ICU). Tak sangka kejadian meragut nyawa dua beradik di Kedah akibat termakan keropok beracun tikus turut terjadi pada anak saya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan, berkata polis selesai mengambil keterangan pekebun yang dipercayai menggunakan biskut beracun untuk mengumpan kera yang menceroboh tanaman sehingga menyebabkan seorang pelajar nyaris maut selepas termakan biskut terbabit.

Beliau berkata sebaik selesai mengambil keterangan, warga emas berusia 75 tahun itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, pada 15 Julai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg