NEA tingkat usaha banteras buang sampah dari tempat tinggi
NEA tingkat usaha banteras buang sampah dari tempat tinggi
29,000 kes disiasat, 2,500 kamera dipasang setahun antara 2021 hingga 2023
NEA tingkat usaha banteras buang sampah dari tempat tinggi
Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), pada 18 Mei, berkata ia telah mempertingkat usaha penguatkuasaan untuk menangani isu pembuangan sampah dari tempat tinggi.
Ia telah menyiasat sekitar 29,000 kes berdasarkan maklum balas yang diterima berhubung pembuangan sampah dari tempat tinggi, dari 2021 hingga 2023.
Dalam tempoh yang sama, agensi itu juga telah memasang purata 2,500 kamera setahun dan melaksanakan 1,100 tindakan penguatkuasaan ke atas individu yang ditangkap berbuat demikian.
Tindakan penguatkuasaan sedemikian melibatkan individu yang disyaki membuang sampah dari tempat tinggi. Individu yang disyaki akan dihadapkan ke mahkamah. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda atau dihukum melakukan Perintah Kerja Pemulihan (CWO).
“Membuang sampah dari flat adalah kesalahan serius kerana ia membahayakan orang awam, mengotorkan sekitaran dan mengancam kebersihan awam kita,” kata NEA, yang menambah bahawa tindakan lebih tegas perlu diambil ke atas perbuatan sedemikian.
Merujuk pada kes pembuangan sampah dari tempat tinggi di Blok 4 Lorong Lew Lian, NEA berkata ia mula menyiasat kes itu selepas menerima laporan mengenai isu sedemikian di blok tersebut. Dalam tempoh seminggu, NEA mengenal pasti satu perbuatan sedemikian dan memberikan notis kepada pemilik flat.
Demi mencegah pembuangan sampah dari tempat tinggi, NEA telah memasang standee atau papan maklumat yang menunjukkan informasi mengenai operasi pemantauan yang sedang dijalankan atau perangkaan mengenai pesalah yang ditangkap di estet perumahan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) yang berterusan menerima maklum balas pembuangan sampah dari tempat tinggi sejak 2020.
Majlis Bandaran juga menunjukkan poster yang dihasilkan bersama Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MCO) di blok-blok HDB, yang menekankan tentang kesan membuang sampah merata.
Sejak Julai 2023, pemilik flat yang didapati membuang sampah dari rumah mereka, akan didapati bersalah jika mereka tidak dapat membuktikan mereka tidak berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan.
Langkah itu diambil untuk memperkukuh undang-undang yang ada dengan meletakkan tanggungjawab lebih berat ke atas pemilik flat dan penghuni rumah demi mencegah perbuatan begitu.
Mereka yang didapati bersalah membuang sampah dari flat rumah boleh didenda sehingga $2,000 bagi kesalahan pertama, $4,000 untuk kesalahan kedua dan $10,000 untuk kesalahan ketiga dan selanjutnya.
Mereka juga boleh dikenakan CWO, melakukan pembersihan di tempat awam sehingga 12 jam.

