Sedang enjin kereta lumba mula mengaum di Litar Jalanan Marina Bay apabila Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Singapura berlangsung dari 20 hingga 22 September, sebuah kawasan tidak jauh dari litar, sudah pun rancak menjelang perlumbaan itu.
GP Singapura dijangka menarik 250,000 peminat sepanjang tiga hari itu, sama dengan bilangan pada 2023.
Namun, beberapa peniaga di kawasan Kampong Gelam berkata bilangan pengunjung, terutama pelancong, ke kedai mereka, dan penjualan sudah pun bertambah menjelang perlumbaan itu.
Restoran di Village Hotel Bugis di Victoria Street, umpamanya, menyaksikan bilangan pelanggannya meningkat lebih 20 peratus sepanjang tempoh F1.
Di restoran bufetnya, The Landmark, bilangan pelanggan bertambah 20 peratus, manakala Tarboush, restoran masakan Timur Tengah dan Mediterranean di hotel itu, menyambut tambahan 35 peratus pelanggan hujung minggu lalu.
Kebanyakan pelanggan mereka adalah pelancong yang tinggal di Village Hotel, kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Hospitality Group, Encik Ali Abbas.
Menurut beliau, bilangan pelanggan tempatan kekal stabil tetapi angka pengunjung dari luar negara semakin meningkat berbanding beberapa tahun lalu.
Ini mungkin disebabkan sekatan perjalanan semasa pandemik Covid-19, yang membuat bilangan pengunjung berkurang, ujarnya.
“Sekarang kita dapat melihat bilangan orang kembali ke tahap normal. Jadi, jumlah pengunjung tahun ini akan lebih tinggi berbanding dua atau tiga tahun lalu,” kata Encik Ali.
Village Hotel menyediakan promosi khas sepanjang tempoh F1 ini, seperti diskaun 20 peratus di Tarboush dan beli satu percuma satu di The Landmark.
Selain itu, kakitangan hotel menggayakan pakaian seragam bertemakan F1 untuk menghidupkan suasana perlumbaan.
Di Arab Street, kafe All Things Delicious juga menyaksikan lebih ramai pelancong menjamu hidangannya.
Pengasas kafe itu, Cik Dewi Imelda Wadhwa, berkongsi bahawa jualannya meningkat kira-kira 15 peratus semasa F1, dengan 50 peratus pelanggannya adalah pelancong. Ini berbanding pada hari-hari biasa apabila sebahagian besarnya adalah pelanggan tempatan.
Meskipun kafenya tidak membuat persiapan khusus untuk F1, Cik Dewi berkata kebanyakan pelancong itu adalah pelanggan berulang yang datang ke Singapura pada tahun sebelumnya atau yang menginap berdekatan dan datang berkali-kali ketika berada di sini.
“Harapan kami sentiasa ialah mendapat pelanggan berulang yang datang pada tahun sebelumnya semasa F1 dan juga membina hubungan dengan pelanggan baru yang datang ke sini,” tambahnya.
Kerancakan perniagaan itu didorong juga oleh satu pesta bertemakan F1 – Pesta Litar Glam – yang diadakan di Kampong Gelam selama 10 hari hingga 22 September.
Edisi 2024 diadakan pada skala lebih besar di tiga kawasan Kampong Gelam – Baghdad Street, Sultan Gate Park dan tempat letak kereta Aliwal Street.
Pada 2023 ia diadakan di tempat letak kereta Aliwal Street sahaja.
Pesta anjuran One Kampong Gelam (OKG) itu menampilkan pelbagai kegiatan berkaitan sukan pemotoran, seperti mencuba simulator kereta lumba dan persembahan muzik oleh artis tempatan. Lebih 80 gerai makanan, minuman dan barangan turut disediakan.
Menurut pengerusi OKG, Encik Zaki Maarof, hingga 239,000 pengunjung dijangka memeriahkan acara tahunan itu.
“Kami ingin membawa sajian aktiviti lebih besar kepada pengunjung, seperti pesta muzik dan pilihan gerai yang pelbagai. Pesta ini disediakan untuk semua lapisan masyarakat, baik yang muda mahupun tua. Kami melihat ramai keluarga datang ke sini,” katanya.
Dengan acara sebegitu, lebih ramai orang dijangka datang ke Kampong Gelam dan membawa kesan limpahan kepada perniagaan di kawasan itu.
Namun, pengurus besar Black Hole Group, Encik Afiq Sulaiman, berkata syarikatnya tidak melihat peningkatan ketara bilangan pelanggan di ketiga-tiga tempat makannya di Kampung Gelam – Afterwit, Ela dan Tipo Pasta Bar.
“Bagaimanapun, kami melihat jualan stabil dengan peningkatan kecil, mungkin didorong kumpulan pelanggan setia dan permintaan konsisten bagi hidangan kami,” kata beliau.
Namun, Encik Afiq tetap yakin acara seperti Pesta Litar Glam dapat mendorong jumlah pengunjung dan menjadikan kawasan Kampong Gelam lebih meriah dan bertenaga semasa F1.
Bagaimanapun, ada juga perniagaan yang terjejas dek penutupan jalan raya bagi perlumbaan F1, kerana ia mendatangkan kesulitan kepada pengunjung.
Kafe dan bistro hidangan Sweden, Fika, di Arab Street, memilih untuk tutup semasa tempoh F1. Pemilik Fika, Cik Tasneem Noor, berkata penutupan jalan raya menjejas perniagaannya.
Kali ini, beliau memendekkan waktu operasi kafenya dari 11 pagi hingga 5 petang pada 18 September dan menutupnya sehari pada 19 September bagi satu acara penghargaan buat staf dan pembersihan kafenya. Kafe itu dibuka semula pada 20 September.
Waktu operasi biasa Fika ialah 11 pagi hingga 9 malam dari Ahad hingga Khamis, dan ia ditutup sejam lebih lama pada Jumaat dan Sabtu.
“Biasanya apabila ada bazar di kawasan Kampong Gelam, ia tidak memberi manfaat kepada kami. Sebaliknya, ia sebenarnya menjejas hasil jualan kami kerana orang ramai lebih mendapatkan makanan mereka di sana,” kata Cik Tasneem.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg