Seorang lelaki dari Singapura mendedahkan pernikahan rahsia dengan seorang wanita di Batam, sebelum wabak Covid-19 melanda kini menghadapi cabaran besar setelah rahsianya terbongkar dan diketahui isteri pertamanya di Singapura.
Proses perceraian dengan isteri pertamanya kini sedang diuruskan dan ‘Din’ (bukan nama sebenar) menegaskan bahawa niatnya bukanlah untuk membohongi isterinya tetapi isterinya tidak dapat menerima untuk hidup berpoligami.
‘Din’, yang berusia pertengahan 30-an, membayar 3 juta rupiah atau sekitar $250 untuk majlis nikah tersebut yang dijalankan di kawasan Batu Ampar, Batam.
“Perkahwinan ini bukan sesuatu yang dirancang.,. terus terang saya telah jatuh cinta dengan wanita itu di Batam.
“Ada yang kata saya telah terkena ilmu hitam, disihir wanita itu. Tetapi saya tahu hati saya ingin mengahwininya,” kata Din, ketika dihubungi Berita Minggu (BM) mengenai keputusannya untuk berkahwin secara nikah ‘sirri’ atau secara rahsia di Batam.
Menurutnya, pernikahan pada 2019 itu berlaku setelah beliau menemui wanita berusia awal 20-an tahun itu ketika terlibat dalam kegiatan amal di sebuah pesantren di Batam.
Wanita tersebut telah kematian kedua ibu bapanya dan tinggal dengan abangnya.
“Dalam perjalanan kerja amal saya di Batam, saya bertemu dengan seseorang yang memberi saya cahaya baru dalam hidup saya. Kami berdua berasa bahawa perkahwinan adalah langkah yang tepat untuk kami berdua.
“Tetapi untuk mendaftar perkahwinan saya di Singapura adalah mustahil untuk dilakukan.
“Semua urusan nikah diatur oleh pihak isteri saya untuk mendapatkan kadi kerana saya tidak tahu wujudnya nikah ‘sirri’ di Batam,” ujar Din lagi.
Majlis akad nikah berlangsung dengan bantuan seorang kadi yang mengakui dirinya sebagai ustaz dan pakej tersebut termasuk menyediakan dua orang saksi.
Din hanya membawa cincin emas sebagai mas kahwin dan mengakui bahawa berkahwin dengan izin daripada wali abang wanita yang dikahwininya.
Menurutnya, pernikahan itu berlaku hanya 10 minit hingga 20 minit dan berlangsung begitu cepat.
Seminggu kemudian mereka diberi sijil pernikahan.
Din mengakui bahawa beliau terpaksa berbohong kepada isteri pertamanya di Singapura dengan alasan kerap ke Batam untuk melakukan kerja amal di Batam.
“Memang saya ada melakukan kerja amal ini dengan sekumpulan kecil warga Singapura untuk bersedekah ke pesantren setempat. Salah satu sebab utama berkahwin di Batam adalah kos yang lebih rendah. Saya membelanjakan sekitar $1,000 sebulan untuk keperluan harian dan belanja di sana. Belanja sebanyak ini sudah dianggap mewah untuk warga Batam,’‘ ujar Din yang agak keberatan untuk mendedahkan pekerjaan beliau di Singapura.
Alasan utama Din untuk berpoligami adalah kerana beliau dan isteri pertamanya tidak mempunyai anak selepas lebih lapan tahun berkahwin di Singapura.
Kini, Din dan isteri di Batam mempunyai seorang anak lelaki berusia empat tahun.
Din mendaftar kelahiran anak tersebut di sana.
Din sedar keputusan untuk berkahwin tanpa mendaftar di Singapura bakal menimbulkan kesukaran dan beliau berusaha untuk mendaftarkan perkahwinannya secara rasmi di Singapura bagi mengelakkan fitnah dan salah faham dalam kalangan keluarganya.
Beliau juga telah membeli rumah di Batam atas nama isterinya dan sering berulang-alik antara Batam dengan Singapura.
Sementara itu, proses perceraian dengan isteri pertama Din kini sedang diuruskan.
Din menegaskan bahawa niatnya bukanlah untuk menipu, tetapi beliau ingin memastikan bahawa urusan pernikahannya diatur dengan jelas bagi mengelakkan masalah di masa hadapan.
Beliau juga masih meneruskan kerja amal di Batam setelah perkahwinannya.
“Kejujuran adalah asas dalam hubungan, dan saya berharap segala-galanya dapat diatur dengan baik demi kebaikan semua pihak yang terlibat,” tambah Din, sambil meluahkan harapannya agar segala permasalahan dapat diselesaikan dengan baik dan adil.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg