Jadikan masa bersama keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.
Sejukkan badan ketika cuaca panas di taman air boleh kembung atau inflatable, Splashtopia, yang berlangsung hingga 31 Mac di Palawan Green di Sentosa.
Kanak-kanak daripada semua peringkat umur boleh bermain di gelongsor air dan laluan berhalangan di taman air seluas 4,600 kaki persegi itu yang menawarkan sembilan zon permainan.
Tarikan ‘pop-up’ itu dikendalikan oleh pasukan yang menawarkan cawangan taman permainan Kiztopia.
Bayaran masuk ialah $38 untuk dua orang atau $66 untuk empat orang.
Kanak-kanak bawah umur dua tahun masuk percuma apabila ditemani oleh orang dewasa yang membeli tiket.
Nikmati masa bermain tanpa had bagi lawatan dari Isnin hingga Khamis, dan hingga tiga jam dari Jumaat hingga Ahad dan pada cuti umum.
Dapatkan tiket di Klook di bit.ly/splashtopia2024.
Menangani perubahan iklim bermula dari usia muda.
Justeru, Festival Waktu Bumi atau Earth Hour, atau Sejam Bersama Bumi, WWF pada 23 Mac menawarkan pelbagai kegiatan untuk kanak-kanak.
Pengalaman ruang dalam dan luar anjuran Dana Kehidupan Liar Sedunia (WWF) Singapura itu berlangsung dari 11 pagi hingga 10 malam di pusat beli-belah Wisma Atria di Orchard Road.
Kanak-kanak boleh berinteraksi dengan Wobi daripada siri animasi Mediacorp, Lil Wild (2020 hingga 2023), dan bertanya soalan tentang alam sekitar.
Mereka juga boleh bergambar dengan maskot Panda WWF, serta Elmo, Abby Cadabby dan Cookie Monster dari Sesame Street.
Rancangan pendidikan (1969 hingga sekarang) itu sering mengingatkan penonton mudanya supaya menjaga bumi.
Kemudian, kanak-kanak boleh meneroka paparan dan idea oleh murid-murid Sekolah Rendah Henry Park tentang mengurangkan sisa plastik.
Murid-murid itu juga akan memberikan cecair pembersih pelbagai guna yang diperoleh daripada sisa organik kepada pengunjung festival itu.
Keluarga kemudian boleh menyaksikan Switch Off pada 8.30 malam, apabila daerah membeli-belah Orchard Road dijadualkan bergelap selama sejam.
Ketahui lebih lanjut di wwf.sg/earthhour.
Tahukah anda bahawa kuda meluahkan perasaan melalui telinga mereka? Bolehkah anda menamakan bahagian badan kuda?
Kanak-kanak boleh mempelajari maklumat menarik tentang haiwan itu daripada buku, A-Neigh-Zing Facts About Horses.
Dihasilkan oleh Singapore Turf Club dengan Isaac Liang, selaku pengilustrasi turut memperkenalkan pembaca kepada tiga kuda di pusat menunggangnya: Chelsea, Donny dan Scooby.
Baca e-buku percuma itu di str.sg/5DPz.
Versi fizikal buku itu bukan untuk dijual. Ia diberikan kepada kanak-kanak yang menyertai pengalaman menunggang kuda di pusat menunggang itu, selagi stok masih ada. Ia juga boleh didapati di perpustakaan awam tertentu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg