Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nisan sebahagian seni pemasangan memorial Pusara Bukit Brown, dibuka Ogos

Jul 8, 2024 | 8:13 PM
Pemasangan memorial luar itu akan menampilkan kira-kira 80 artifak yang tidak dituntut – kebanyakannya  batu nisan yang dikumpul sejak Disember 2013.
Pemasangan memorial luar itu akan menampilkan kira-kira 80 artifak yang tidak dituntut – kebanyakannya batu nisan yang dikumpul sejak Disember 2013. - Foto ST

Menjelang Ogos, puluhan batu nisan Pusara Bukit Brown yang menandakan kubur yang digali semula untuk memberi laluan kepada Lornie Highway akan berdiri semula di tanah perkuburan itu.

Ia akan menjadi sebahagian daripada seni pemasangan yang terletak di tepi lebuh raya itu.

Berjudul ‘Sounds of The Earth’ (Bunyi-Bunyi Bumi), seni pemasangan khusus untuk peringatan di bahagian luar itu memaparkan kira-kira 80 artifak tidak dituntut.

Kebanyakannya adalah batu nisan – yang dikumpul dari Disember 2013 apabila sekitar 4,000 kubur di tanah perkuburan tersebut digali untuk pembinaan lebuh raya.

Seni pemasangan khusus untuk peringatan, yang meraikan warisan tanah perkuburan itu dan warisan mereka yang dikebumi di situ, bertujuan menggalak pengunjung menimbangkan kesan pembangunan di Singapura.

Ia sebahagian daripada projek Suara-Suara Bukit Brown, yang dikelolakan Persatuan Warisan Singapura (SHS) dan kumpulan masyarakat All Things Bukit Brown (atBB).

Projek dua fasa itu – merangkumi seni pemasangan itu pada fasa pertama, serta lebih banyak peluang pendidikan dan usaha sokongan pada fasa kedua – disokong Lembaga Warisan Negara (NHB).

Naib presiden SHS, Dr Natalie Pang, berkata seni pemasangan itu adalah satu peristiwa penting dalam usaha advokasi bagi tanah perkuburan Bukit Brown – sebuah tapak yang diperuntukkan bagi perumahan dalam pelan jangka panjang Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), yang diumumkan pada 2022.

Pada 2011, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan beberapa bahagian kawasan tanah perkuburan itu akan dibangunkan semula – satu keputusan yang mendapat tentangan daripada kumpulan seperti SHS dan atBB.

Mereka menyebut nilai semula jadi dan warisan budaya tanah perkuburan itu sebagai alasan bagi mengekalkannya.

Walaupun lebuh raya itu akhirnya siap pada 2019 – dengan sebanyak 4,153 kubur digali semula dalam proses tersebut – usaha advokasi berterusan sejak pengumuman pada 2011, dengan atBB mengadakan lawatan awam sejak beberapa tahun lalu.

Kubur terjejas juga direkod oleh pasukan yang dipimpin seorang ahli antropologi, Dr Hui Yew-Foong.

Dr Pang berkata sejak kerja merekod dan menggali semula, penyokong tapak itu sentiasa memikirkan langkah seterusnya.

Ini terutamanya berkaitan artifak dari kubur yang tidak dituntut, dan cara artifak itu boleh digunakan untuk berkongsi warisan tanah perkuburan tersebut.

Menerusi tiga bengkel reka bentuk, beberapa pihak berkumpul untuk membincangkan kemungkinan membangunkan sebuah muzium atau taman peringatan.

Mereka adalah saudara individu yang dikebumikan di Bukit Brown, bekas penduduk sebuah kampung di kawasan tersebut, serta pengguna kawasan riadah, penggemar alam semula jadi dan warisan, serta pakar.

Dr Pang berkata walaupun ada yang meluahkan rasa bimbang mengenai penggunaan batu nisan dan bahagian kubur, peserta bengkel akur bahawa barang-barang yang tidak dituntut itu “tetap merupakan objek penting daripada sejarah Singapura” dan boleh memainkan peranan dalam mendidik generasi akan datang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg