Keluarga yang mempunyai anak kecil, termasuk keluarga Melayu, merupakan golongan paling banyak meminjam buku dari perpustakaan awam Singapura.
Remaja dan warga dewasa muda didapati kurang meminjam buku.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) dalam satu taklimat media di bangunan Perpustakaan Negara pada 4 April, Ketua Eksekutif Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), Encik Ng Cher Pong, berkata:
“Terdapat beberapa demografi yang tidak meminjam dengan begitu banyak... contohnya remaja yang lebih berusia.
“Dan anda boleh memahami mengapa ia begitu kerana banyak perkara yang sedang berlaku dalam kehidupan mereka, contohnya peperiksaan besar.
“Serupa dengan itu, golongan dewasa muda pun sedang memulakan kerjaya masing-masing.”
Encik Ng berkata demikian semasa NLB mendedahkan ulasan tahunan jumlah buku yang dipinjamkan dalam setahun oleh perpustakaan awam di Singapura dalam bentuk fizikal atau digital.
Ia bertambah 2.5 juta kepada 38.8 juta pada 2024, daripada 2023.
Bagi buku dalam bahasa ibunda, Timbalan Ketua Eksekutif NLB, Cik Catherine Lau, berkata ia tekal mengikut trend keseluruhan di mana jumlah pinjaman meningkat.
Daripada pinjaman keseluruhan, pinjaman digital menyaksikan kenaikan, manakala pinjaman fizikal menyaksikan kemerosotan pada 2024, daripada 2023 dan 2022.
Ditanya apakah trend itu membimbangkan dan sama ada ia boleh menjejas kunjungan ke perpustakaan, Encik Ng berkata sebagai sebahagian usaha NLB, pihaknya sedang giat berusaha memastikan ruang fizikal perpustakaan lebih daripada tempat meminjam buku sahaja.
“Saya rasa ia agak jelas, apabila kita fikirkan tentang perpustakaan baru, apabila ia menjalani pengubahsuaian, kami memberi lebih tumpuan kepada pengalaman (pengunjung), dan disebabkan itu, anda akan lihat dari segi perancangan perpustakaan, ruang yang kami ketepikan untuk koleksi telah dikurangkan,” ujarnya.
Perpustakaan Daerah Woodlands muncul sebagai perpustakaan paling banyak dikunjungi, menarik 1.39 juta pelawat pada 2024, mengatasi Perpustakaan Daerah Punggol, yang berada di tangga teratas pada 2023.
Secara keseluruhan, kunjungan ke semua 28 perpustakaan awam di Singapura, Arkib Negara dan Kilang Ford Lama, mencecah 20.8 juta, berbanding 19.8 juta pada 2023.
Bagi perpustakaan kecil, atau ‘nodes’, yang ditubuhkan NLB di 134 lokasi serata Singapura, ia mencatat 41.8 juta kunjungan secara keseluruhan.
Ini peningkatan ketara berbanding 16.1 juta di 101 lokasi pada 2023.
Melebihi buku, NLB sedang giat mendekati orang awam menerusi cara lain.
Laporan NLB menambah bahawa pada 2024, aplikasinya mencatat 3.05 juta sesi secara purata setiap bulan.
Sebanyak 19,541 program dan 17 pameran anjuran NLB menarik 2.86 juta peserta, berbanding dua juta pada 2023.
Encik Ng berkata: “Kami berterima kasih ramai warga Singapura melihat NLB sebagai rakan boleh dipercayai dalam membaca, belajar dan menemui perkara baru tentang dunia di sekeliling kita.”
Sementara itu, NLB mengatakan Perpustakaan Daerah Cheng San akan ditutup untuk kerja ubah suai mulai 1 Oktober.
Perpustakaan Daerah Bukit Batok akan dibuka semula pada separuh pertama 2026. Ia ditutup pada 31 Disember 2023 untuk kerja ubah suai.
Sempena ulang tahunnya ke-30 pada 2025, NLB akan mengadakan siri acara mulai Jun. Ia termasuk perpustakaan sementara, atau ‘pop-up’, di daerah bandar untuk mendalami sastera Singapura, siri ceramah oleh pemikir daripada bidang berbeza, serta acara Book Bugs untuk kanak-kanak.
Dilancarkan pada 2016, Book Bugs merupakan program membaca yang menampilkan permainan kad yang boleh dikumpul supaya dapat menggalak kanak-kanak berkunjung ke perpustakaan.
Selain itu, NLB bekerjasama dengan Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura (NUS) untuk menghasilkan pangkalan data dalam talian terdiri daripada tokoh masyarakat Melayu yang telah menyumbang kepada Singapura sepanjang 60 tahun lalu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg