Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerbezaan antara Amaran Risiko Kesihatan (HRW) dengan Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA)
Perbezaan antara Amaran Risiko Kesihatan (HRW) dengan Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA)
Perbezaan antara Amaran Risiko Kesihatan (HRW) dengan Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA)
PEMERINTAH akan memberi Amaran Risiko Kesihatan (HRW) dan Kewaspadaan Risiko Kesihatan (HRA) kepada individu yang dikenal pasti mungkin terdedah pada jangkitan Covid-19, sebahagian langkah dipertingkat untuk mengekang penularan koronavirus dalam masyarakat.
Ini dilakukan selain mengeluarkan arahan kuarantin kepada kontak rapat individu yang dijangkiti virus berkenaan.
Namun apa perbezaan antara HRW, HRA dengan perintah kuarantin?
1. SIAPA YANG BAKAL MENERIMANYA?
Perintah kuarantin diberikan kepada individu yang sudah atau dipercayai telah dijangkiti Covid-19, atau merupakan seorang kontak rapat orang yang dijangkiti Covid-19.
HRW pula diberikan kepada individu - yang berdasarkan maklumat SafeEntry - berada berdekatan dengan salah satu kes Covid-19 bagi tempoh yang agak berpanjangan, atau telah dikenal pasti sebagai kontak rapat kes.
Individu yang dikenakan HRW dianggap menanggung risiko jangkitan Covid-19 lebih rendah berbanding mereka yang dikenakan perintah kuarantin namun risikonya lebih tinggi daripada mereka yang diberi HRA.
HRA pula diberikan kepada individu yang menunjukkan rekod SafeEntry - sepanjang 14 hari sebelumnya - yang bertindan dengan salah satu kes Covid-19.
Golongan ini dianggap sebagai golongan yang menanggung risiko paling rendah berbanding dua kumpulan lain.
Mereka yang menerima HRA mungkin kerana telah pergi ke pusat beli-belah yang turut dikunjungi seseorang pesakit Covid-19 dalam tempoh beliau boleh menjangkiti orang lain.
2. APA YANG PERLU DILAKUKAN SEKIRANYA BILA SESEORANG ITU MENERIMA HRW, HRA ATAU PERINTAH KUARANTIN?
Mereka yang diberikan perintah kuarantin perlu mengikut arahan dan mengasingkan diri di sebuah pusat kuarantin khas, di hospital atau di rumah sendiri, jika ia sesuai untuk berbuat demikian.
Lokasi tetap bagi menjalani kuarantin itu bergantung kepada penilaian Kementerian Kesihatan (MOH) terhadap sejarah kontak mereka, keadaan kesihatan dan betapa sesuainya rumah seseorang itu bagi beliau menjalani kuarantin.
Semasa dikuarantin, seorang individu biasanya menjalani beberapa ujian Covid-19, seperti ujian reaksi rantai polimerase (PCR), pada permulaan dan akhir tempoh kuarantin.
Ujian swab akan diatur menerusi janji temu sahaja, dan ia hanya dilakukan di kemudahan pengujian khusus. Pengangkutan pergi dan pulang dari tempat pengujian itu akan ditawarkan dan Pemerintah akan menanggung kos ujian-ujian yang dijalani mereka yang diberi perintah kuarantin.
Mereka yang menerima HRW pula harus menjalani ujian PCR di sebuah pusat pemeriksaan khas dan mengasingkan diri sehingga mereka mendapat hasil ujian negatif.
Mereka juga perlu melakukan ujian sendiri menggunakan kit Ujian Pantas Antijen (ART) kendiri dalam tempoh tujuh hari dari tarikh mereka terdedah kepada kes positif itu.
Akhirnya, mereka perlu mendapatkan satu lagi ujian PCR di pusat pemeriksaan khas - 14 hari selepas tarikh mereka terdedah kepada kes positif tersebut. Pemerintah menanggung kos ujian yang perlu dilakukan atas sebab HRW.
Mereka yang menerima HRA hanya perlu memantau kesihatan mereka sepanjang 14 hari.
Meskipun tidak perlu menjalani ujian, mereka digalak untuk melakukan pemeriksaan sendiri menggunakan kit ujian kendiri ART.
Mereka yang menerima HRW atau HRA juga digalakkan mengurangkan kegiatan sosial masing-masing.
3. ADAKAH HRW, HRA DAN PERINTAH KUARANTIN TERTAKLUK DI BAWAH UNDANG-UNDANG?
Perintah kuarantin dan HRW tertakluk di bawah Akta Penyakit Berjangkit.