Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nombor NRIC tidak lagi diguna pemerintah sebagai kata laluan, sah identiti

Josephine Teo: Pemerintah percepat usaha didik awam; mohon maaf atas kesilapan Acra
Dec 19, 2024 | 9:05 PM
Sidang media pada 19 Disember dihadiri (dari kiri) Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo; dan Ketua Eksekutif Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), Cik Chia-Tern Huey Min.
Sidang media pada 19 Disember dihadiri (dari kiri) Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah; Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Cik Josephine Teo; dan Ketua Eksekutif Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra), Cik Chia-Tern Huey Min. - Foto ST

Usaha mendidik orang ramai mengenai penggunaan nombor kad pengenalan (NRIC) yang wajar akan dipercepatkan, di tengah-tengah ketidakpastian dan kebimbangan selepas pendedahan nombor pengenalan di portal perniagaan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) minggu lalu.

Rancangan berunding dengan sektor swasta mengenai isu itu juga akan dipantau dengan pantas.

Pada sidang media hampir dua jam di Pusat Media Nasional pada 19 Disember, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah dan Ketua Eksekutif Acra, Cik Chia-Tern Huey Min, memohon maaf berulang kali atas kebimbangan yang tercetus.

Mereka juga memberi jaminan kepada penduduk Singapura bahawa pemerintah memandang serius mengenai kebimbangan dan keprihatinan orang ramai mengenai perkara itu.

Menjawab soalan media, Cik Teo menjelaskan bahawa peralihan daripada penggunaan nombor NRIC yang disamarkan bukanlah dasar kembali semula pada ketetapan asal.

Beliau menambah pemerintah konsisten dalam menetapkan pendirian mengenai cara sewajarnya nombor NRIC harus dikendalikan.

Menurutnya lagi, satu-satunya perubahan ialah pemerintah memutuskan untuk tidak menggunakan nombor NRIC yang disamarkan.

Langkah ini bertujuan melindungi rakyat Singapura daripada kelemahan dan risiko yang berkaitan dengan amalan salah menggunakan nombor NRIC itu sebagai wadah pengesahan seseorang individu dan bukannya sebagai unsur pengecaman unik seseorang individu, katanya lagi.

Beliau juga berkata agensi pemerintah juga tidak akan menggunakan nombor NRIC sebagai kata laluan atau cara mengesahkan seseorang.

Sebaliknya, pemerintah sedang meneroka cara alternatif bagi pengenalpastian seperti alamat emel dan akan berunding dengan sektor swasta serta orang awam mengenai perkara ini secara lanjut dalam masa terdekat, kongsinya.

Cik Teo berkata peralihan ini bertujuan mengubah tanggapan dalam kalangan orang awam bahawa nombor NRIC adalah rahsia, sekali gus mewujudkan satu andaian keselamatan yang palsu.

Tanggapan sedemikian, katanya, menyisihkan tujuan utama NRIC sebagai cara pengenalpastian unik bagi seseorang individu.

“Penggunaan nombor NRIC kian berkembang lebih daripada sekadar (fungsi) pengenalpastian semata-mata.

“Beberapa pertubuhan bergantung pada seseorang memberikan nombor NRIC penuh sebagai bukti individu tersebut wujud… nombor NRIC telah menjadi seperti (wadah) pengesahan.

“Nombor NRIC separa atau dikaburkan juga kini seringkali digunakan. Ramai yang beranggapan bahawa dengan cara ini, nombor NRIC sepenuhnya kekal terlindung.

“Ini mewujudkan satu andaian keselamatan palsu kerana daripada nombor NRIC separa sebenarnya, seseorang dapat meneka nombor NRIC penuh menggunakan algoritma mudah, terutamanya jika anda mengetahui tarikh kelahiran individu tersebut,” ujar Cik Teo.

Nombor NRIC separa atau dikaburkan merujuk kepada perkongsian sebahagian nombor NRIC, misalnya 878X atau XXXX878X.

Beliau memberi perumpamaan nombor NRIC dengan nama seseorang, yang bukanlah satu perkara rahsia.

Tetapi berbeza dengan nama, nombor NRIC haruslah dikongsi secara berpada-pada agar seseorang tidak menjadi mangsa penipuan, tambahnya.

Namun begitu, Cik Teo menekankan bahawa masih terdapat senario di mana nombor NRIC penuh masih akan tetap digunakan sebagai cara mengenal pasti seseorang secara tepat.

Sebagai contoh, apabila doktor atau jururawat perlu mengecam identiti seseorang dengan tepat melalui nombor NRIC penuhnya sebelum prosedur pembedahan.

Ini di samping pengendalian nombor NRIC di bawah kawal selia Garis Panduan Nasihat bagi kegunaan NRIC sedia ada Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC), ujarnya.

Kekeliruan mengenai isu ini bermula pada 9 Disember apabila Acra melancarkan portal Bizfile barunya, yang membenarkan pengguna mencari individu yang dikaitkan kepada entiti perniagaan.

Ia kemudian memberi nombor NRIC penuh, bersama-sama dengan maklumat lain, sebagai sebahagian matlamat menyediakan ketelusan operasi perniagaan.

Ini menyebabkan kebimbangan dan bantahan dalam kalangan rakyat Singapura yang sudah lama menganggap nombor NRIC sebagai maklumat peribadi dan sulit.

Maklum balas Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 13 Disember kemudian mendedahkan langkah itu sebagai satu kesilapan dalam ehwal penyelarasan, di mana Acra telah mendahului keinginan pemerintah menghentikan penggunaan nombor NRIC yang disamarkan secara berperingkat.

Cik Chia pula menjelaskan bahawa pendedahan nombor penuh NRIC di portal Acra berpunca daripada salah faham dan kesilapan penyelarasan antara kakitangan MDDI dengan Acra.

Cik Indranee pula mengulas bahawa pihaknya telah mengemas kini fungsi dalam portal terbabit susulan maklum balas dan kebimbangan yang diutarakan orang ramai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg