Bermula sebagai usaha pasangan suami isteri, Ustaz Noor Mohamad Abdul Rahman dan isteri, Cik Julia Abdul Samad, pada 1998, Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd kini diterajui generasi kedua, Ustazah Juyda Noor Mohamad, dalam meneruskan amanah menguruskan perjalanan haji dan umrah.

Lebih dua dekad pengalaman dalam industri menjadi asas kepada pihak syarikat untuk membantu umat Islam menunaikan ibadah di Tanah Suci dengan ilmu, ketenangan dan keyakinan.

Sebagai generasi kedua, Ustazah Juyda bukan sahaja menguruskan operasi dan logistik perjalanan jemaah, malah memberi penekanan kepada pendidikan dan bimbingan ibadah menerusi kursus serta kelas haji dan umrah.

Menurutnya, perjalanan ke Tanah Suci bukan sekadar perjalanan fizikal, malah memerlukan persediaan ilmu yang mencukupi.

“Jemaah perlu memahami hukum-hakam dan tatacara ibadah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Ini lebih-lebih lagi bagi jemaah wanita kerana terdapat beberapa persoalan khusus berkaitan ibadah haji dan umrah yang perlu difahami dengan baik,” jelasnya.

Sehubungan itu, syarikat memberi perhatian kepada kursus dan bimbingan bagi membantu jemaah membuat persiapan dari segi ilmu, mental dan fizikal.

“Ilmu adalah antara bekalan paling penting sebelum seseorang melangkah ke Tanah Suci.

“Apabila jemaah memahami apa yang perlu dilakukan, mereka akan lebih yakin, tenang dan dapat menumpukan perhatian kepada ibadah,” katanya.

Aspek kebajikan dan keselesaan jemaah turut menjadi keutamaan.

Pakej umrah syarikat dilengkapi perlindungan insurans perubatan menerusi kerjasama dengan ST&T bagi membantu memenuhi keperluan perubatan dan hospital jemaah di Madinah dan Makkah.

Berpegang kepada nilai ‘Jujur, Mesra dan Amanah’, syarikat melihat setiap anggota jemaah sebagai satu amanah yang perlu dijaga sebaik-baiknya.

“Kami melihat diri kami sebagai jambatan yang membantu jemaah menuju ke bumi Rasulullah saw di Madinah dan seterusnya ke Baitullah di Makkah,” ujar Ustazah Juyda.

Syarikat turut bekerjasama dengan Saudia bagi menyediakan penerbangan langsung dari Singapura ke Jeddah, sekali gus menawarkan perjalanan yang lebih lancar dan selesa.

Bagi Noor Mohamad Services & Travel, kejayaan sebenar adalah apabila jemaah pulang dengan pengalaman ibadah yang bermakna, hati yang lebih dekat kepada Allah swt serta kenangan yang terpahat sepanjang hayat.

SEKILAS

Untuk pertanyaan, hubungi talian 6743-5321 atau WhatsApp ke talian 9225-1684.

Noor Mohamad Services & Travel terletak di 810 Geylang Road, #01-88, City Plaza, Singapura 409286.

E-mel: noormst@gmail.com