Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nora Ariffin dakwa dicerai tanpa sebab

Penyanyi lagu ‘Hanya Satu’ enggan dedah individu didakwa paksa bekas suami lepaskannya
Aug 13, 2024 | 3:36 PM
Penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Nora Ariffin, berkata beliau tidak menyalahkan bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli, atas perceraian yang terjadi.
Penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Nora Ariffin, berkata beliau tidak menyalahkan bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli, atas perceraian yang terjadi. - Foto ASTRO AWANI

Penyanyi terkenal Malaysia, Datuk Nora Ariffin, mendakwa bekas suaminya, Dr Rushdi Ramli, melafazkan cerai tanpa kerelaan.

Menurut penyanyi yang terkenal dengan lagu, Dendam Dalam Diam itu, Dr Rushdi dipaksa melafazkan talak dan diminta merakamkan tindakan itu melalui video untuk dijadikan bukti.

“Ustaz (suami) dipaksa ceraikan saya tanpa sebarang sebab dan diminta ambil video sebagai bukti supaya semua orang tahu,” katanya kepada Astro Awani melalui aplikasi WhatsApp.

Nora, 51 tahun, bagaimanapun, memilih berdiam diri ketika ditanya siapakah individu yang didakwa memaksa bekas suaminya itu berbuat demikian.

Dalam masa sama, Nora tidak menyalahkan Dr Rushdi atas perceraian tersebut.

“Ustaz tidak bersalah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya iaitu melepaskan saya tanpa sebab dan merakam video sebagai bukti.

“Saya tergamam tidak terkata. Cukuplah Allah bersamaku,” katanya dalam hantaran InstaStory di akaun Instagram peribadinya.

Pada 12 Ogos, Nora mengejutkan industri hiburan apabila berkongsi video beliau diceraikan oleh Dr Rushdi, yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, di akaun Instagramnya.

Penyanyi itu, bagaimanapun, tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai perceraian tersebut, sebaliknya meluahkan rasa syukur atas apa yang berlaku.

Nora dan Dr Rushdi mendirikan rumah tangga pada 2021 dalam satu majlis tertutup.

Dr Rushdi merupakan sahabat karib arwah suami pertama Nora, Allahyarham Johan Nawawi.

Nora dan Allahyarham Johan mendirikan rumah tangga pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Allahyarham Johan, yang merupakan penggubah muzik terkenal, meninggal dunia pada 2017 ketika berusia 52 tahun akibat serangan jantung.

Antara lagu popular ciptaannya dan dinyanyikan Nora termasuk Hanya Satu, Desa Tercinta dan Samudera.

Pada 2021, nama Nora menjadi sebutan netizen selepas timbul dakwaan beliau dan Dr Rushdi telah berkahwin sejak 2019.

Selain merahsiakan tarikh sebenar perkahwinan, timbul juga dakwaan Nora meminta suaminya itu menceraikan isteri pertamanya.

Nora bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

“Perkahwinan tidak boleh dipaksa-paksa. Begitu juga dengan perceraian. Tidak ada seorang manusia pun yang berhak memaksa orang lain bercerai tanpa sebab. Itu dosa besar,” kata Nora berhubung dakwaan yang mengatakan beliau memaksa Dr Rushdi menceraikan isteri pertama untuk berkahwin dengannya. 

“Ustaz (suami) tidak bersalah. Dia hanya mengikut arahan yang diberikan padanya iaitu melepaskan saya tanpa sebab dan merakam video sebagai bukti. Saya tergamam tidak terkata. Cukuplah Allah bersamaku.”
Nora Ariffin dalam satu hantaran di Instagram.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg