Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nostalgia Lions sebagai ‘Dream Team’ Piala M’sia 1994 diabadi dalam pameran, kad koleksi peminat

Nov 16, 2025 | 8:41 PM
bola sepak, dream team, Singa
Pemain pasukan bola sepak kebangsaan 1994 (barisan depan, dari kiri) Malek Awab; Fandi Ahmad; Abbas Saad; David Lee dan (barisan belakang, dari kiri) Steven Tan; Rafi Ali; Lee Man Hon; Rudy Khairon bertemu seramai 50 peminat dalam satu sesi ramah mesra di *SCAPE pada 16 November. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Peminat bola sepak, Encik Zaid Masagos, masih mengingati detik penuh nostalgia menaiki bas ke Stadium Shah Alam bagi menyaksikan perlawanan peringkat akhir Piala Malaysia, yang cukup nostalgik, antara pasukan Lions dan Pahang pada 17 Disember 1994.

Beliau yang baru berusia 17 tahun ketika itu begitu bersemangat menyaksikan perlawanan tersebut bersama lebih 60,000 penyokong setia pasukan bola Singapura.

“Saya dan peminat lain sedang dalam perjalanan menuju ke Stadium Shah Alam ketika itu apabila kami sedari kami tidak akan dapat tiba tepat pada masanya kerana kesesakan trafik yang dahsyat.

“Jadi separuh jalan, kami berhenti di sebuah kedai kopi tepi jalan untuk menonton perlawanan itu dari kaca televisyen yang kecil.

“Bersama kami, ada beberapa peminat bola Malaysia yang tidak mahu ketinggalan menonton sama. Kami menyokong pasukan negara masing-masing.

“Suasananya begitu meriah sekali apabila Singa menang dan kami ramai-ramai bersorak gembira,” ujar Encik Zaid, 48 tahun, ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 16 November di *SCAPE.

Beliau dan anaknya, Masagos Iman, 11 tahun, merupakan antara 50 peminat bertuah yang dipilih untuk menghadiri sesi ramah mesra bersama lapan pemain pasukan ‘Dream Team’, yang telah menjulang Piala Malaysia dan Liga Malaysia pada 1994, satu kemenangan yang masih dikenang lebih 30 tahun kemudian.

Pemain yang hadir termasuk legenda seperti Fandi Ahmad, Abbas Saad, David Lee, Malek Awab, Lee Man Hon, Rafi Ali, Rudy Khairon, dan Steven Tan.

Peminat dan pemain turut diberi peluang meninjau pameran mini yang memaparkan sejarah bola sepak Singapura dan menampilkan detik penting era kegemilangan bola sepak negara dari 1994 hingga 2015.

“Jika 30 tahun lalu anda katakan saya dapat bertemu dengan peminat sambil melihat pameran yang memaparkan kemenangan pasukan saya, saya tak akan percaya,” seloroh Malek.

Beliau yang kuat berjenaka membuat sesi ramah mesra bersama peminat itu rasa seperti satu perkongsian bersama sahabat-handai.

Fandi begitu seronok melihat peminat yang hadir bersama anak mereka, membuatnya rasa bangga terhadap pasukannya.

“Bukan mudah untuk memenangi sebarang piala, semua orang perlu bersatu, dan itulah perkara yang paling penting. Semangat setiakawan kami sangat hebat.

“Kami sering keluar minum kopi selepas latihan, makan malam bersama. Kami sentiasa bersama. Sebab itulah ikatan dalam pasukan kami begitu kukuh,” kata Fandi.

Dalam pada itu, pameran tersebut merupakan sebahagian acara Card Collectibles Asia 2025 yang berlangsung pada 15 dan 16 November, hasil kerjasama antara Playback Asia, platform yang tertumpu pada kad koleksi, cendera hati dan pengalaman untuk peminat bola sepak, dan akhbar The Straits Times (ST).

Semua hasil jualan The Legacy Collection, satu set kad koleksi sempena sambutan ulang tahun ke-30 kejayaan pasukan Lions, akan disalurkan kepada projek wang saku sekolah, The Straits Times School Pocket Money Fund, bagi menyokong pelajar memerlukan.

Editor ST, Encik Jaime Ho, berkata: “Projek wang saku sekolah ini membolehkan kanak-kanak melakukan perkara asas seperti membeli makanan semasa rehat, atau mendapatkan makan tengah hari.

“Dana ini juga membolehkan kanak-kanak ini menyertai kegiatan kokurikulum (CCA), menampung tambang pengangkutan untuk ke kelas, dan saya berharap bagi sebahagian mereka, ia turut membuka peluang untuk menyertai kegiatan bola sepak, CCA lain, atau apa jua jenis sukan.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg