Sukan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Abbas Saad: Singa yang tak pernah lupakan S’pura

Meskipun sudah lebih tiga dekad lalu sarung jersi skuad Singa, penyokong bola sepak setempat terus bertakhta dalam hatinya
Sep 1, 2025 | 5:30 AM
Abbas Saad, skuad Singa, era Piala Malaysia, nostalgia
Selepas lebih tiga dekad, nama Abbas Saad, kekal bertakhta dalam hati ramai peminat bola sepak setempat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Apabila Abbas Saad menjejakkan kaki ke padang di Stadium Negara lama pada 1994, beliau bukan sekadar pemain import yang mengenakan jersi merah Singapura.

Ketika itu, namanya sudah menjadi sebutan – ikon bola sepak tempatan, wajah era kegemilangan Piala Malaysia, dan idola ribuan peminat yang menghidupkan ‘Sorakan Kallang’.

Hampir tiga dekad kemudian, legenda kelahiran Lebanon yang dibesarkan di Australia itu masih mengingati detik tersebut dengan penuh rasa syukur.

“Stadium sentiasa penuh. Orang sanggup beratur berjam-jam hanya untuk mendapatkan tiket. Bagi saya, ia sesuatu yang amat menyentuh hati.

“Mereka melayan saya seperti orang tempatan, bukan orang asing. Itu sebabnya saya masih di sini, selepas 35 tahun. Singapura sentiasa terasa seperti rumah saya,” kata Abbas.

Abbas menyarung jersi pasukan Singapura dalam pertandingan Liga dan Piala Malaysia pada 1990 sebelum berpindah ke seberang Tambak untuk menyertai pasukan Johor bagi musim 1991 dan 1992.

Pada 1993, beliau kembali menyarung jersi Singa dalam pasukan bergelar, ‘The Dream Team’, yang turut menampilkan Fandi Ahmad, Malek Awab dan V. Sundramoorthy.

Ikon berusia 57 tahun itu baru-baru berkongsi kisah hidup dan perkembangan terkini dalam podcast Kaki Bola, terbitan Berita Harian (BH).

Dari Beirut ke Kallang

Perjalanan hidup Abbas penuh berliku.

Dilahirkan di Lebanon, beliau melalui pengalaman pahit perang saudara yang memaksa beliau berhijrah ke Australia bersama keluarganya.

Tragedi kehilangan abang sulung akibat letupan bom meninggalkan parut emosi yang dalam, tetapi juga membentuk ketabahan dalam dirinya.

“Apabila kita pernah lalui pengalaman sebegitu, kita tidak akan pernah lupa asal usul kita. Kita belajar untuk sentiasa rendah hati,” katanya.

Bola sepak menjadi jalan keluar dan harapan. Pada usia remaja, Abbas sudah bermain di peringkat tinggi di Australia.

Namun, takdir membawanya ke Singapura pada 1990 bersama rakan gandingannya, Alistair Edwards, penyerang warga Australia.

Tanpa disangka, mereka berdua segera menyalakan semula sorakan keramat di Kallang.

Watch on YouTube

Kegemilangan 1994

Bagi peminat bola sepak tanah air, 1994 akan sentiasa diabadikan dalam sanubari.

Pada 1994 itulah Abbas bersama Fandi dan Malek membawa pulang Piala Malaysia ke Singapura.

Jaringan hatrik Abbas dalam pertarungan akhir menentang Pahang masih segar dalam ingatan penyokong.

“Itu final ketiga saya. Dua kali sebelum ini saya gagal bersama Singapura. Malam sebelum perlawanan, saya dan Fandi berjanji... kali ini mesti menjadi.

“Kami perlu menjadi contoh kepada pemain lain dan memimpin pasukan mencapai kejayaan. Dan syukur, tiga peluang yang saya perolehi berkesudahan dengan tiga gol.

“Fandi jaringkan gol keempat. Stadium jadi gegak gempita,” katanya sambil tersenyum lebar, jelas memori itu masih terpahat dalam jiwa Abbas.

Abbas Saad (dua dari kanan) menganggap pemain setempat dalam pasukan Singa seperti Fandi Ahmad (tengah) dan V. Sundramoorthy (kanan) ibarat keluarganya. Bersama mereka ialah dua pemain import lain, Jang Jung (kiri) dan Alistair Edwards (dua dari kiri).
Abbas Saad (dua dari kanan) menganggap pemain setempat dalam pasukan Singa seperti Fandi Ahmad (tengah) dan V. Sundramoorthy (kanan) ibarat keluarganya. Bersama mereka ialah dua pemain import lain, Jang Jung (kiri) dan Alistair Edwards (dua dari kiri). - Foto fail

Hubungan persahabatan beliau dengan Fandi dan Malek melangkaui padang bola sepak.

“Mereka macam abang saya... agama memang membantu, kami bertiga adalah Muslim... tapi lebih penting ialah rasa hormat.

“Pemain Cina, India dalam pasukan pun hingga kini masih sahabat baik saya. David Lee, Steven Tan, Sundram (V. Sundramoorthy)... mereka sudah macam keluarga,” katanya.

Bayangan 1995

Namun, kerjayanya di Singapura diuji.

Pada 1995, Abbas dikaitkan dengan skandal mengatur perlawanan yang melanda rantau ini. Sehingga ke hari ini, beliau menafikan penglibatannya.

“Saya sudah berusia 58 tahun tapi masih tak faham kenapa nama saya terheret. Saya tak pernah khianat kawan sepasukan. Mereka tahu saya beri segala-galanya untuk Singapura. Saya tidur lena sepanjang hidup kerana tahu saya tak buat salah,” tegasnya.

Walaupun Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) ‘membersihkan’ namanya kerana tidak yakin dengan bukti yang dibentangkan, peluang Abbas beraksi di Eropah – termasuk tawaran daripada kelab Perancis, Saint-Etienne – terpadam.

“Itu yang masih saya kesalkan. Tapi 99 peratus kerjaya saya penuh kegembiraan.

“Itulah yang saya mahu diingati dan dikenang... sebagai pemain bola sepak, penghibur dan pemenang,” tambah Abbas.

Seorang penyokong memeluk Abbas Saad setelah beliau dijatuhi hukuman di mahkamah pada 1995.
Seorang penyokong memeluk Abbas Saad setelah beliau dijatuhi hukuman di mahkamah pada 1995. - Foto fail

Pandangan Seorang Jurulatih

Kini Abbas menetap di Sydney, melatih kelab, Ryde Lions, dalam divisyen dua Australia.

Dari jauh, beliau mengikuti rapat perkembangan bola sepak Singapura dan tidak berselindung memberi pandangan.

“Liga kita mesti diperluaskan. Lapan pasukan tidak cukup. Dan tujuh pemain import dalam satu pasukan... bagi saya adalah terlalu ramai.

“Apabila pemain tempatan bermutu macam Gabriel Quak pun tidak ada kelab, itu satu masalah. Pemain import sepatutnya tingkatkan mutu, bukan rampas peluang pemain tempatan.”

Beliau turut memuji tenaga bola sepak negara seperti Hariss Harun atas profesionalisme, dan melihat potensi besar pada anak-anak Fandi, terutama Ilhan.

“Secara teknikal, Ilhan paling hampir dengan bapanya. Tapi terus terang, Fandi (berada dalam) kelas tersendiri... pemain terbaik yang pernah saya bermain bersama.”

Watch on YouTube

Hasrat yang Belum Selesai

Di sebalik semua pencapaiannya, Abbas mengakui masih mempunyai satu impian.

“Saya mahu kembali (ke Singapura) sebagai jurulatih, mungkin dengan kelab baru dalam liga, atau bersama pasukan kebangsaan. Itu cara saya ingin membalas jasa penyokong Singapura.

“Kongsi pengalaman, tunjukkan kasih sayang kepada generasi baru. Sekarang bukan tentang saya lagi, tapi tentang mereka,” katanya.

Dan buat peminat yang pernah menjerit namanya, pesanan Abbas ikhlas dari hati.

“Peminat Singapura akan sentiasa bertakhta dalam hati saya. Di mana saja pasukan Singa bermain, separuh stadium penuh dengan penyokong Singapura. Itu zaman terbaik dalam hidup saya. Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada memori terindah saya,” ujar Abbas.

Lebih Daripada Sekadar ‘Beckham Singapura’

Yang jelas, Abbas mengakui beliau bukanlah sekadar ‘Beckham Singapura’.

Beliau seorang pelarian perang yang menemui keluarga baru di Kallang, penyerang yang menulis sejarah, dan insan yang percaya bola sepak mampu menyatukan manusia.

Abbas Saad menyifatkan penyokong pasukan Singa sebagai yang “terbaik di dunia”.
Abbas Saad menyifatkan penyokong pasukan Singa sebagai yang “terbaik di dunia”. - Foto fail

‘Sorakan Kallang’ mungkin semakin pudar, tetapi bagi mereka yang pernah menikmatinya, gol Abbas masih bergema.

Dan bagi Abbas sendiri, gema itu kekal sebagai seruan – untuk kembali ke pentas bola sepak Singapura.

Pemain Singapura pertama tinggalkan kesan kepada Abbas

“Pastinya Hasnim (Haron). Beliau begitu berbakat dari segi teknikal, selesa dengan kaki kiri dan kanan, boleh merintis peluang jaringan, boleh menjaringkan gol dan orangnya amat rendah hati... beliau sebenarnya boleh beraksi di Eropah. Jadi bagi saya, dari segi pemain setempat paling berbakat, selepas Fandi Ahmad dan V. Sundramoorthy, ia adalah Hasnim.”
Bandingan Fandi Ahmad dengan anak-anaknya

“Saya minta maaf kepada anak-anak Fandi kerana bagi saya, tiada seorang pun di antara mereka yang boleh menandingi bapa mereka dari segi bakat bola sepak. Ilhan, saya rasa, adalah yang paling mirip dengan Fandi dari segi keupayaan teknikal. Irfan ialah gergasi di benteng pertahanan. Saya suka menontonnya kerana beliau bermain dengan sepenuh jiwa dan raga. Ikhsan pula begitu pantas, seorang penyerang berbisa. Tetapi maaf, mereka tidak boleh menandingi Fandi, beliau berada (di) ‘tahap’ yang berbeza.”
Kisah ‘cinta’ dengan penyokong Singapura

“Masa saya di Singapura, bermain di Stadium Negara yang lama, adalah masa-masa terindah dalam hidup saya. Jadi saya amat bersyukur dan berterima kasih dari lubuk hati saya... dan saya akan sentiasa menghargai masa-masa indah yang saya lalui bersama penyokong Singapura. Anda akan sentiasa bertakhta di hati saya.”
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg