Mantan Perdana Menteri, mendiang Lee Kuan Yew, hanya mengetahui hasrat Timbalan Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Dr Goh Keng Swee, untuk berpisah sepenuhnya dari Malaysia pada 1994.
Ini selepas beliau memeriksa transkrip temu bual lisan Dr Goh ketika sedang menyiapkan bukunya, Kisah Singapura, yang diterbitkan pada 1998.
Semasa rundingan antara Malaysia dengan Singapura pada 1965, mendiang Lee mengarahkan Dr Goh, yang merupakan perunding utama, untuk mendapatkan aturan lebih longgar agar Singapura tidak berpisah sepenuhnya dari Malaysia.
Mendiang Lee telah mencatit nota di margin transkrip itu yang pertama kali beliau mengetahuinya.
Transkrip asal dengan nota tulisan mendiang Lee itu merupakan antara artefak yang dipamerkan kepada awam buat kali pertama dalam pameran tetap Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia.
Pameran yang berlangsung di aras 10 Bangunan Perpustakaan Negara, adalah berdasarkan buku Fail Albatross: Di Sebalik Perpisahan setebal 488 halaman dan dirasmikan secara serentak oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 7 Disember.
Majlis itu dihadiri Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; mantan Presiden Halimah Yacob dan beberapa barisan anggota Kabinet semasa dan terdahulu.
Menurut kenyataan bersama Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), buku tersebut mengisahkan sejarah gabungan dan perpisahan Singapura dan Malaysia yang berdasarkan kandungan Fail Albatros milik Dr Goh, yang sebelum ini adalah rahsia negara.
Pameran tersebut turut menampilkan petikan lisan, kertas rahsia Kabinet dari 1964 hingga 1965, nota bertulis dan artifak pemimpin perintis seperti Encik Lee, Dr Goh, dan mantan Menteri Ehwal Sosial, Allahyarham Othman Wok, yang belum pernah didedahkan.
Mereka antara 10 pemimpin perintis yang menandatangani Perjanjian Perpisahan antara Singapura dengan Malaysia – dengan Allahyarham Othman memberikan petikan lisan mengenai kejadian yang membawa kepada keputusan perpisahan Singapura dari Malaysia.
Ketika ditemui selepas majlis pelancaran pameran itu, anak bongsunya, Cik Lily Othman, berkata ayah beliau, bersama-sama pemimpin perintis lain pada waktu itu, mengambil pendekatan berani untuk menandatangani Perjanjian Perpisahan.
Ini meskipun cabaran yang bakal melanda Singapura pasca kemerdekaan adalah benar.
Beliau berkata: “Saya berusia sekitar lapan tahun pada waktu itu jadi idea perpisahan (Singapura dan Malaysia) tidaklah begitu ketara (bagi saya).
“Namun secara peribadi, saya rasa bangga kerana ayah tidak teragak-agak menandatangani Perjanjian Perpisahan.
“Arwah percaya dengan visi mendiang Lee untuk melentur Singapura sebagai negara yang berbilang agama, bangsa dan majmuk, dengan berpaksikan rasa hormat dan meritokrasi.”
Cik Teo berkata pameran tersebut bertujuan menghubungkan pengunjung dengan sejarah kemerdekaan Singapura menerusi perkongsian secara dekat bersama pemimpin pengasas Singapura pada waktu itu.
“Kebanyakan pengunjung ke pameran ini tidak akan mengetahui kisah perpisahan (negara ini) secara mendalam, apatah lagi mengenali pemimpin yang terlibat.
“Harapan kami adalah agar mereka dapat merasai sejarah, sepertimana tokoh-tokoh penting (pada waktu itu) merasakannya – ketegangan rundingan dan beban yang dipikul (mereka) pada Ogos 1965,” ujarnya.
Beliau mendedahkan setakat 7 Disember, lebih 10,000 tiket telah ditempah untuk pameran itu – kemasukan adalah percuma tetapi adalah berdasarkan tempahan tiket bagi tempoh awal pelancaran pameran itu.
NLB dan MDDI berkata pameran itu penutup tirai sambutan kemerdekaan Singapura ke-60 atau SG60, dengan pengunjung dapat menyelami sejarah dan rakaman pemimpin perintis Singapura merentasi empat sudut interaktif.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg