Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NParks siasat 54 kes penjaga haiwan atas dakwaan cederakan haiwan peliharaan

Jan 14, 2026 | 8:42 PM
Parlimen, NParks, kes penjaga haiwan cederakan haiwan peliharaan 
Anjing bernama ‘Buddy’, dihantar ke kedai haiwan Pawsome Singapore di Tanjong Katong pada pagi 30 Oktober dan dilaporkan mati hampir tiga jam kemudian. - Foto INSTAGRAM TANISHDHILLON683

Lembaga Taman Negara (NParks) telah menyiasat 54 kes penjaga haiwan yang didakwa menyebabkan kecederaan kepada haiwan peliharaan sepanjang tempoh tiga tahun lalu, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan.

Encik Tan berkongsi demikian bagi menjawab soalan Anggota Parlimen, Cik Jessica Tan (GRC East Coast), di Parlimen pada 14 Januari.

Soalan Cik Tan timbul susulan satu kes pada Oktober 2025, apabila seekor anjing mati selepas dihantar ke kedai haiwan untuk dijaga, namun, ia dikatakan dibiarkan tanpa pengawasan.

Menurut Encik Tan, Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedang menyemak semula rejim peraturan bagi kegiatan sektor haiwan peliharaan termasuk penjaga haiwan di bawah semakan berterusan bagi Akta Haiwan dan Burung.

Menurut laporan pada awal November 2025, pemilik haiwan itu, Encik Tanish Dhillon, berkata anjingnya, ‘Buddy’, telah diambil oleh perkhidmatan pengangkutan sekitar 8.30 pagi pada 30 Oktober, dan dihantar ke kedai haiwan, Pawsome Singapore, sekitar 9.15 pagi.

Pada 11.45 pagi, Encik Dhillon menerima panggilan daripada Pawsome Singapore memaklumkan ‘Buddy’, seekor anjing poodle berwarna putih, telah mati.

Beliau menambah, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kedai haiwan itu menunjukkan ‘Buddy’, yang hampir berusia empat tahun, dibiar sendirian sebelum kematiannya.

Video selama 12 minit yang dimuat naik dalam talian oleh Encik Dhillon pada 1 November menunjukkan ‘Buddy’ berada dalam sebuah peti di sudut bilik di kedai haiwan tersebut.

Rakaman itu telah diserahkan kepada Encik Dhillon oleh kedai haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Cik Tan bertanya sama ada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) akan mempertimbangkan mewajibkan penjaga haiwan menyediakan rakaman CCTV di kawasan haiwan peliharaan dikendalikan atau ditempatkan.

Encik Tan berkata semakan berterusan Akta Haiwan dan Burung yang sedang dijalankan juga termasuk pertimbangan untuk keperluan rakaman CCTV.

Di samping itu, semakan terhadap hukuman yang sesuai bagi kesalahan berkaitan kebajikan haiwan dan kekejaman terhadap haiwan, termasuk yang melibatkan perniagaan berkaitan haiwan juga sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg