Sebanyak 61 insiden melibatkan kucing dan anjing yang dipercayai terjatuh dari bangunan tinggi telah dilaporkan dalam tahun pertama pelancaran peraturan baru yang bertujuan menjamin keselamatan dan kebajikan haiwan peliharaan.
Bercakap kepada media pada 15 Oktober, Lembaga Taman Negara (NParks) berkata kes tersebut – yang dilaporkan antara 1 September 2024 dengan 31 Ogos 2025 – melibatkan 55 kucing dan enam anjing.
Menurut Pengarah Kumpulan NParks, Cik Jessica Kwok, “kesemua 61 insiden itu, terutamanya yang melibatkan kucing peliharaan, sebenarnya boleh dielakkan”.
Ia melibatkan haiwan peliharaan dan kucing liar, yang lebih terdedah kepada bahaya seperti terjatuh dari bangunan tinggi, kemalangan jalan raya, bergaduh dengan haiwan lain dan penyakit.
Sebanyak 29 kes didapati tidak melanggar Peraturan Akta Haiwan dan Burung (Pelesenan dan Kawalan Kucing dan Anjing) 2024.
Peraturan tersebut, yang dikuat kuasa sejak 1 September 2024, mewajibkan pemilik kucing dan anjing peliharaan mengambil langkah melindungi haiwan peliharaan mereka.
Ini termasuk menghalang haiwan itu daripada memasuki kawasan yang boleh mendedahkannya kepada bahaya terjatuh dari tempat tinggi, sama ada di dalam rumah atau di tempat lain
Sebanyak 29 kes itu melibatkan haiwan liar yang tidak termasuk dalam peraturan tersebut, kucing atau anjing yang cedera atau mati bukan sebab terjatuh dari tempat tinggi dan kucing atau anjing yang pemiliknya tidak dapat dikenal pasti akibat maklumat yang tidak mencukupi.
Setelah membuat siasatan, NParks mengenal pasti 21 kes melibatkan 19 kucing dan dua anjing peliharaan terjatuh dari tempat tinggi.
NParks mengambil tindakan terhadap pemilik haiwan tersebut.
Sebanyak 11 lagi kes masih disiasat.
“Selepas meneliti 21 kes ini, kami mendapati dalam semua kes, tidak ada satu kes pun melibatkan pemilik dengan sengaja mahu kucing atau anjing peliharaan mereka terjatuh. Itu berbeza daripada kes penderaan haiwan,” kata Cik Kwok.
Cik Kwok menjelaskan kepentingan pemilik haiwan peliharaan memahami sindrom jatuh dari bangunan tinggi.
Sindrom itu merujuk kepada kemalangan melibatkan haiwan jatuh dari tempat tinggi dan mengalami kecederaan serius, seperti patah tulang.
“Sering kali, pemilik haiwan peliharaan tak sangka kemalangan seperti itu boleh berlaku,” kata Cik Kwok.
Bergantung pada fakta setiap kes, tindakan yang boleh diambil termasuk surat nasihat, surat amaran, denda atau pendakwaan.
Setakat ini, belum ada pemilik haiwan peliharaan yang didenda atau didakwa.
Cik Kwok mengetengahkan kes yang berlaku pada April 2025, apabila seekor kucing dijumpai di kolong sebuah blok di Yishun Street 11 dalam keadaan cedera. Ia dibawa ke klinik haiwan tetapi mati akibat kecederaannya.
Melalui siasatan, NParks mendapati kucing itu besar kemungkinan terjatuh dari unit rumah di tingkat tujuh.
Kucing itu berkemungkinan terjatuh dari tingkap dapur yang tidak dilengkapi dengan jaringan.
Pemilik itu dikenakan surat amaran.
Cik Kwok mengingatkan bahawa “pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab harus memastikan rumah mereka lengkap dengan ciri keselamatan untuk melindungi haiwan daripada terjatuh dari tempat tinggi”.
“Mereka hendaklah memasang jaring atau jeriji demi keselamatan haiwan peliharaan masing-masing,” pesan beliau.
Cik Kwok menambah, masyarakat umum juga memainkan peranan penting sebagai “mata dan telinga”, dan seharusnya melaporkan keadaan perumahan yang berbahaya untuk haiwan peliharaan, supaya NParks boleh mengambil tindakan yang berkesan.
Orang awam boleh melaporkan kes yang disyaki menganiaya haiwan, termasuk haiwan yang terjatuh dari tempat tinggi, kepada NParks.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg