Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NTUC akan ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik

Langkah ekoran ‘hubungan simbiotik’ dengan Parti Tindakan Rakyat, bagi kurangi risiko NTUC jadi sasaran campur tangan asing
Jul 11, 2024 | 5:00 PM
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) diberi Notis Penetapan Hasrat oleh Pendaftar Pendedahan Luar dan Politik (Pendaftar) untuk ia ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) pada 11 Julai.
Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) diberi Notis Penetapan Hasrat oleh Pendaftar Pendedahan Luar dan Politik (Pendaftar) untuk ia ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) pada 11 Julai. - Foto ZAOBAO

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah diberi Notis Penetapan Hasrat oleh Pendaftar Pendedahan Luar dan Politik (Pendaftar) untuk ia ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP) di bawah seksyen 47(1) Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas), atau Fica.

Dalam satu kenyataan media pada 11 Julai, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) menyatakan notis tersebut diserahkan kepada NTUC pada 11 Julai.

Pendaftar ingin menetapkan NTUC sebagai PSP setelah ia mendapati ada “hubungan simbiotik” antaranya dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Oleh itu, langkah di bawah Fica terhadap NTUC menjadi hal kepentingan awam, jelas MHA.

Pendaftar merupakan badan berkuasa yang dilantik MHA di bawah Fica yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran peruntukan berkaitan PSP, kecuali calon pilihan raya dan ejen pilihan raya.

Jika ditetapkan sebagai PSP, NTUC perlu membuat pengisytiharan tahunan kepada Pendaftar, ujar MHA.

Khususnya, NTUC perlu mengisytiharkan sumbangan politik berjumlah $10,000 ke atas yang ia terima dan pertalian asing yang dijalinnya.

“Keperluan ketelusan sedemikian akan mengurangkan risiko NTUC menjadi sasaran campur tangan (entiti) asing,” kata MHA.

Di bawah Fica, NTUC mempunyai 14 hari dari tarikh notis itu untuk mengemukakan perwakilannya kepada Pendaftar.

NTUC juga boleh membuat rayuan kepada MHA terhadap keputusan Pendaftar sekiranya Pendaftar menetapkannya sebagai PSP.

Dalam satu kenyataan berasingan, MHA berkata langkah menetapkan NTUC sebagai PSP adalah langkah awal bagi menangani sebarang risiko yang mungkin timbul pada masa depan dari sudut campur tangan asing, bergantung pada penilaian Pendaftar tentang pelibatan NTUC dalam politik Singapura.

“Ia bukan kerana NTUC telah berkompromi dengan campur tangan asing, atau melakukan sebarang kesalahan atau menimbulkan sebarang kebimbangan,” jelasnya.

Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, dalam satu kenyataan pada 11 Julai menyatakan NTUC akan menyemak hasrat MHA.

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pula berkata ia akan terus bekerjasama dengan NTUC sebagai salah satu rakan kongsi utama tiga pihak.

Dua badan ditetapkan sebagai PSP pada Disember 2023. Pada 12 Disember 2023, MHA menyatakan Think Centre dan MARUAH Singapore – kedua-duanya pertubuhan bukan pemerintah di Singapura – ditetapkan sebagai PSP bermula 29 Disember 2023.

Dengan itu, tanggungjawab mereka di bawah Akta Derma Politik (PDA) dipindah kepada Fica setelah PDA dimansuhkan pada 29 Disember 2023.

“Alasan penetapan NTUC sebagai PSP berbeza daripada alasan Think Centre dan MARUAH ditetapkan sebagai PSP.

Think Centre dan MARUAH ditetapkan sebagai PSP secara automatik kerana status mereka sebelum ini diwartakan sebagai persatuan politik di bawah Akta Sumbangan Politik (PDA), yang dimansuhkan sejurus Fica berkuat kuasa,” kata MHA.

Ia berkata Fica-PSP berkuat kuasa akhir Disember 2023 dan masa diperlukan bagi menimbang dan menyemak sebarang isu, termasuk penetapan NTUC.

Pada 26 Februari, seorang usahawan warga Singapura, Encik Philip Chan Man Ping, ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai PSP di bawah Fica.

Ini setelah Encik Chan, 59 tahun, didapati memainkan peranan dalam usaha menyatukan orang Cina di luar negara untuk memajukan kepentingan China, menurut kenyataan MHA.

Menurut MHA, Pendaftar menilai bahawa Encik Chan “menunjukkan kecenderungan dipengaruhi oleh faktor asing, dan kesanggupan memajukan kepentingan mereka”.

Diluluskan Parlimen pada Oktober 2021, Fica bertujuan memperkukuh keupayaan pemerintah dalam mengekang, mengesan dan mengganggu percubaan entiti asing campur tangan dalam ehwal politik tempatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg