Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Warga S’pura pertama dikenakan tindakan di bawah undang-undang campur tangan asing

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga S’pura pertama dikenakan tindakan di bawah undang-undang campur tangan asing

Feb 02, 2024 | 06:46 PM



Seorang usahawan warga Singapura, Encik Philip Chan Man Ping, telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa beliau akan ditetapkan sebagai Individu Penting Dari Segi Politik (PSP), di bawah Akta Campur Tangan Asing (Langkah Tindak Balas) atau Fica pada 2 Februari.

Ini kerana Encik Chan, 59 tahun, didapati memainkan peranan dalam usaha untuk menyatukan orang Cina di luar negara untuk memajukan kepentingan China, menurut kenyataan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

“Pendaftar telah menilai bahawa Encik Chan menunjukkan kecenderungan untuk dipengaruhi oleh faktor asing, dan kesanggupan untuk memajukan kepentingan mereka.

“Pendaftar telah menilai aktiviti Encik Chan sebagai mempunyai tujuan politik di Singapura, dan ia adalah demi kepentingan awam untuk Encik Chan dikenakan tindak balas di bawah Fica,” kata MHA.

Encik Chan telah menerima notis berkenaan dari Pendaftar Pendedahan Luar Negeri dan Politik, pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas pentadbiran peruntukan berkaitan PSP kecuali calon pilihan raya dan ejen pilihan raya, kata MHA.

Semasa dihubungi The Straits Times (ST), Encik Chan berkata beliau baru sahaja menerima notis itu pada 2 Februari dan akan memberi jawapannya pada minggu depan.


Berita Harian (BH) difahamkan bahawa notis itu dikeluarkan kerana Encik Chan telah menyeru agar orang Cina bersatu demi untuk kepentingan China.


Semasa wawancaranya bersama media China Huaren Tantiao pada 2023, Encik Chan berkata:


“Adalah menjadi objektif kita sebagai orang Cina di luar negara untuk menceritakan kisah China dengan baik, dan menyebarkan budaya tradisional Cina yang mengagumkan semasa kita berada di luar negara.

“Sebagai ahli masyarakat Cina Singapura, saya telah menerbitkan artikel saya di Lianhe Zaobao, media Cina arus perdana di Singapura. Namun, pengaruh saya terhad. Oleh kerana kita hanya boleh melakukan sedikit sahaja, kita perlu lebih bersatu,” katanya.


Sebagai PSP yang ditetapkan, Encik Chan akan dikehendaki mendedahkan derma politik sebanyak $10,000 atau lebih yang diterima setiap tahun kepada Pendaftar. Beliau juga harus mengisytiharkan hubungan luar negara dan faedah penghijrahan setiap tahun.

MHA berkata pendedahan itu “akan membantu untuk mengesan dan menghalang sebarang campur tangan asing yang menjurus ke arah tujuan politik di Singapura”.

Di bawah Fica, Encik Chan mempunyai 14 hari dari tarikh notis untuk mengemukakan perwakilannya kepada Pendaftar. Beliau juga boleh merayu kepada MHA terhadap keputusan Pendaftar sekiranya Pendaftar menetapkannya sebagai PSP.

Ini adalah kali pertama Fica digunakan sejak undang-undang itu diluluskan. Ia diperkenalkan pada 2021 untuk menangani kepalsuan dalam talian serta campur tangan asing.

Akta tersebut telah diusul dan diluluskan di Parlimen bagi menangani percubaan pihak asing yang mahu mempengaruhi politik domestik dan mengapi-apikan ketegangan sosial Singapura.


Semasa perbahasan akta tersebut pada 2021, Encik Shanmugam berkata bahawa risiko campur tangan asing adalah salah satu ancaman serius yang dihadapi Singapura hari ini.

“Politik kita adalah untuk rakyat Singapura yang menguruskan. Kita boleh berhujah, tidak bersetuju, tetapi akhirnya, kita sendiri yang membuat keputusan.


“Akhirnya, orang ramai yang akan membuat keputusan akhir dalam negara seperti Singapura yang penduduknya berpendidikan tinggi. Keputusan akhir itu akan diluahkan dari segi pandangan awam dan juga menerusi pilihan raya,” kata Encik Shanmugam.


Carian oleh BH menunjukkan bahawa Encik Chan merupakan warga Singapura yang berasal dari Hong Kong. Beliau mendapat kerakyatan Singapura pada 1993.


Sebelum ini, Encik Chan merupakan penaung bagi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kampong Chai Chee dan Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat (CCMC) Bukit Timah.

Menjawab soalan BH, jurucakap Persatuan Rakyat (PA) berkata Encik Chan tidak lagi memegang jawatan-jawatan tersebut dan telah berundur diri dari semua jawatan di pertubuhan akar umbi PA.


Di laman web syarikatnya, Encik Chan merupakan Pengarah Urusan Wey Way Investments Pte Ltd, C&H Properties Pte Ltd dan Mutual Benefits Realty Pte Ltd.

Beliau juga merupakan presiden Kelab Kowloon, salah satu persatuan pendatang terbesar di Singapura yang berkhidmat dan menyokong sekumpulan besar pendatang, terutamanya dari Hong Kong.

Sejak 2018, Encik Chan juga telah memegang peranan sebagai Presiden Persatuan Perniagaan Singapura Hong Kong (HSBA) yang membantu memudahkan rangkaian kejayaan masyarakat perniagaan antara Singapura dan Hong Kong.


Menurut akhbar The Straits Times (ST), Encik Chan telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat parlimen Dua Sesi China pada Mac 2023, sebuah acara politik penting pada tahun tersebut, sebagai “wakil China di luar negara”.


Beliau merupakan salah seorang daripada 30 wakil dari seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Thailand, Malaysia, Brunei, Filipina, Eropah dan Afrika yang dijemput oleh Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC).


Mereka mengambil bahagian dalam perbincangan, dan diberi taklimat oleh pegawai China. Mereka juga bertemu dengan setiausaha agung CPPCC, Wang Dongfeng, salah seorang daripada 23 naib pengerusi badan penasihat politik itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >