Lebih 100 pekerja migran, kebanyakannya dari India dan Bangladesh, hadir di pejabat Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 22 Jun bagi menuntut hak mereka setelah firma tempat mereka bekerja ditutup.

Mereka merupakan kakitangan KPA Engineering, sebuah firma yang berpangkalan di Tagore Lane.

Firma tersebut sebelum ini beroperasi sebagai penyedia perkhidmatan penyelenggaraan penghawa dingin.

Encik Sampath, seorang pekerja dari India, mendedahkan bahawa ramai kakitangan tidak menerima gaji selama dua bulan meskipun isu tersebut telah dibangkitkan kepada pihak pengurusan.

“Tetapi kemudian kami terdengar firma itu telah menutup perniagaannya; kami kecewa kerana sudah lama gaji kami tidak dibayar,” luah beliau.

Beliau menambah dalam nada kesal, “Kami tidak tahu siapa lagi yang perlu dirujuk.”

Kumpulan pekerja migran itu tiba di Pusat Perkhidmatan MOM pada 9 pagi.

Pusat di Bendemeer itu merupakan lokasi bagi pelbagai urusan, termasuk pendaftaran permit kerja.

Sebaik dikenal pasti sebagai kakitangan KPA Engineering, mereka disambut oleh pegawai kementerian dan diiringi masuk ke dalam bangunan.

Sekurang-kurangnya 100 pekerja dilihat memasuki bangunan tersebut.

Empat daripada mereka, yang enggan mendedahkan identiti, berkongsi bahawa mereka direkrut oleh seorang warga India untuk tugasan elektrik serta penyelenggaraan penghawa dingin.

Mereka mendakwa gaji tertunggak selama dua bulan dan ejen pengambilan pekerja gagal dihubungi.

Para pekerja itu berkata bahawa mereka mengetahui kira-kira empat hari lalu bahawa firma tersebut telah ditutup. Apabila melawat pejabat berkenaan mereka mendapati pintu-pintunya berkunci.

Seorang pekerja berkongsi bahawa beliau menerima gaji bulanan sekitar $600, namun firma itu masih berhutang sebanyak $1,400 kepadanya.

Seorang lagi pekerja mendakwa gaji tertunggaknya mencecah $4,000.

Encik Rajenderan Berthap, 36, seorang juruteknik di KPA Engineering, telah melaporkan isu ini kepada pegawai MOM yang berjanji untuk menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, tinjauan oleh akhbar The Straits Times di 42 Tagore Lane mendedahkan alamat tersebut kini diduduki oleh CHL Construction.

Menurut kakitangan di sana, syarikat itu telah berpindah ke premis berkenaan sejak September 2025, selepas KPA Engineering mengosongkan unit itu.

Rekod perniagaan menunjukkan KPA Engineering diterajui oleh dua pengarah warga asing yang berdaftar di Hillview.

Sementara itu dalam satu kenyataan pada 22 Jun, Pusat Pekerja Migran (MWC) berkata pihaknya sedang berhubung dengan para pekerja yang terjejas untuk memahami situasi dan menawarkan sokongan kepada mereka.

“Kami sedang bekerja rapat dengan MOM untuk memberi panduan kepada pekerja yang terjejas berkaitan saluran bantuan yang sedia ada,” kata kenyataan itu.