Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) telah membuka pusat kerjaya Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) baru di AMK Hub pada 20 Mei.

Sebagai titik sentuh fizikal e2i yang ke-28, pusat itu menawarkan perkhidmatan pekerjaan, kebolehpasaran dan sumber kerjaya yang komprehensif bagi pencari kerja di utara Singapura.

Bersempena pelancaran tersebut, pekerja yang ingin mempertingkatkan penguasaan kecerdasan buatan (AI) kini boleh mendaftar untuk siri bengkel kemahiran yang khusus.

Dipanggil AI-Ready SG: Makmal Kemahiran, ia direka untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran AI yang relevan, merangkumi pelbagai tahap kemahiran teknikal.

Merasmikan pusat itu, Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, menegaskan tatkala AI terus merombak landskap pekerjaan, amat penting bagi tenaga kerja untuk memiliki akses kepada sokongan dan bimbingan praktikal yang segera.

“Belajar cara menggunakan AI hanyalah permulaan. Kemahiran ini juga mesti membantu pekerja membina keyakinan, kebolehsuaian dan bersedia untuk masa depan

“Itulah sebenarnya yang disediakan pusat kerjaya baru di AMK Hub ini,” kata Encik Ng, yang juga Anggota Parlimen (AP) Jalan Kayu.

Hab Penemuan Kerjaya e2i, sebuah lobi digital 24 jam yang pertama seumpamanya, kini menjadi nadi sokongan kerjaya.

Ia menawarkan akses tanpa had kepada sumber, peluang pekerjaan dan alat kebolehpasaran, melangkaui kekangan waktu operasi biasa.

Pencari kerja juga boleh memanfaatkan sumber NTUC, termasuk Jurulatih Kerjaya AI NTUC (AICC), yang menawarkan ciri didayakan AI seperti penambahbaikan resume, latihan temu duga, pemprofilan kemahiran dan cadangan pekerjaan.

Melangkah lebih jauh, AI-Ready SG: Makmal Kemahiran yang baru menjadi tunjang kepada rangka kerja pembelajaran AI komprehensif, dibangunkan bersama oleh NTUC LearningHub (NTUC LHUB).

Ia menawarkan laluan berstruktur, bermula daripada latihan asas untuk membina kefahaman dan kelancaran AI, sehingga program lanjutan bagi penggunaan AI secara strategik dalam peranan kerja tertentu, sekali gus memacu integrasi AI dalam organisasi.

Sesi perintis AI-Ready SG: Makmal Kemahiran diadakan pada 14 Mei di e2i Devan Nair, dengan hampir 100 peserta dilatih dalam peringkat Celik AI dan Fasih AI.

Sesi kedua, yang menyaksikan penyertaan 15 peserta, berlangsung pada 20 Mei di pusat baru AMK Hub.

Peserta didedahkan kepada strategi dan alat AI Generatif untuk diguna dalam fungsi kreatif dan pemasaran.

Dalam satu kenyataan, NTUC berkata ia akan mengembangkan siri AI-Ready SG: Makmal Kemahiran secara progresif untuk mencapai asas pekerja yang lebih luas dan pelbagai, termasuk golongan Profesional, Pengurus dan Eksekutif (PME).

Usaha itu melibatkan kerjasama strategik dengan rakan kongsi masyarakat, agensi sektor dan peneraju industri, bertujuan mengenal pasti keperluan latihan khusus dan melancarkan kursus yang membolehkan pekerja menggunakan AI dalam tugas harian mereka.

Sebagai langkah awal, NTUC menjalin kerjasama dengan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) untuk merangka pelan hala tuju latihan AI sektor penerbangan.

Melalui inisiatif itu, lebih 200 pemimpin kesatuan akan menyertai latihan, bengkel dan program pembelajaran AI yang disesuaikan dengan sektor dan peranan kerja mereka.

“Kami akan terus melancarkan lebih banyak Makmal Kemahiran untuk menjangkau pelbagai kumpulan pekerja merentasi sektor, peringkat kerjaya dan tahap kecekapan AI yang berbeza,” ujar Encik Ng.