Income memberi jaminan kepada Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bahawa ia akan terus memastikan premium bagi dua skim insurans kos rendahnya akan kekal dimampui ahli pergerakan itu.
Dalam satu kenyataan bersama pada 5 Ogos, Presiden NTUC, Cik K Thanaletchimi, dan Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng Chee Meng, berkata NTUC akan memastikan Income mengekalkan jaminan untuk menjadikan kedua-dua produk insurans Income boleh dimampui ahli-ahlinya.
“NTUC Enterprise akan terus mengekalkan kepentingan yang besar dalam Income.
“Allianz juga komited untuk menghormati polisi Income sedia ada, menyertai program insurans nasional, dan meneruskan komitmen amalnya, termasuk ikrar $100 juta dalam tempoh 10 tahun mulai 2021 untuk menggalakkan mobiliti sosial dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan menyokong kesejahteraan hidup warga emas,” katanya.
Dua skim insurans kos rendah, yang terbuka khusus buat ahli NTUC, ialah NTUC GIFT dan Income Insurance LUV.
NTUC GIFT ialah polisi insurans kumpulan khusus untuk ahli kesatuan dan persatuan yang bersekutu dengan NTUC, di mana premium insurans dibayar sepenuhnya oleh NTUC, dengan pembayaran bersama daripada kesatuan atau persatuan gabungan.
Insurans hayat Income Insurance LUV adalah polisi insurans hayat berjangka kumpulan yang mampu milik untuk ahli NTUC.
Cik Thanaletchimi dan Encik Ng menambah bahawa walaupun terdapat kebimbangan menyusuli pegangan majoriti Allianz dalam Income, mereka menekankan misi sosial NTUC “tidak akan berubah”.
“Portfolio perusahaan kami, sama ada dalam insurans, penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga emas, pasar raya atau latihan kemahiran, akan terus menyediakan barangan dan perkhidmatan penting yang berpatutan dan berkualiti kepada rakyat Singapura.
“Mereka juga akan terus menyediakan pilihan kepada pelanggan dalam pasaran kompetitif di mana mereka beroperasi,” katanya.
Pada 17 Julai, Allianz telah mengumumkan tawaran umum prasyarat untuk membeli 51 peratus saham Income Insurance pada harga $40.58 sesaham dalam satu perjanjian bernilai $2.2 bilion.
Tawaran tersebut telah mencetuskan sentimen bercampur-campur dalam pasaran, khususnya keprihatinan berhubung tanggungjawab sosialnya.
Beberapa pengamat, termasuk Duta Kelana di Kementerian Ehwal Luar (MFA), Profesor Tommy Koh, dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NTUC Income dan Mantan Kumpulan CEO NTUC Enterprise, Encik Tan Suee Chieh, telah mengkritik langkah tersebut.
Perjanjian tersebut sedang menunggu kelulusan kawal selia.
Menyusuli pengumuman tawaran Allianz, pengerusi NTUC Enterprise, Encik Lim Boon Heng, memberi keyakinan NTUC Enterprise akan terus menyokong Income dan memastikan ia terus mencapai objektif sosialnya walaupun selepas penjualan.
Cik Thanaletchimi dan Encik Ng menambah, kunci kepada kemampanan kewangan untuk Income adalah kecukupan modal dan NTUC Enterprise telah menyuntik jumlah yang besar ke dalam Income.
Mereka berkata Income telah dikorporatkan pada 2022 supaya ia boleh mempunyai lebih banyak pilihan untuk mengakses modal.
“Pascapengkorporatan, Income meneroka pilihan strategik dengan beberapa institusi kewangan dan bukan kewangan, sama ada asing dan tempatan.
“Mengekalkan pegangan saham majoriti dan mengekalkan Income sebagai milik tempatan sememangnya sangat diingini, tetapi malangnya, tiada penjajaran kepentingan. Akhirnya, kelayakan Allianz terbukti paling kukuh, dengan kepentingan kedua-dua pihak sejajar,” tambah mereka.
Cik Thanaletchimi dan Encik Ng berkata NTUC akur keputusan tersebut adalah “satu keputusan yang sukar” untuk dibuat dan menghargai sepenuhnya kebimbangan dan perasaan yang dikongsi oleh ramai orang awam.
Namun mereka menekankan akhirnya, NTUC Enterprise perlu membuat pilihan yang terbaik untuk jangka panjang Income.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg