Sekurang-kurangnya 1,000 pekerja merentasi kira-kira 40 perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam sektor kejuruteraan jitu rangkaian pembekal ST Engineering Land Systems dijangka dapat meningkatkan kemahiran.
Ini dapat dicapai melalui memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), ST Engineering dan SkillsFuture Singapura (SSG) pada 13 Januari.
Di bawah perkongsian tiga pihak selama dua tahun, ST Engineering akan menerajui usaha meningkatkan kemahiran pekerja rantaian nilai pembekal utamanya di semua bidang perniagaannya, bermula dengan pembekal yang bekerja dengan unit Land Systems.
Pemeteraian MOU itu turut menandakan pelantikan ST Engineering Land Systems sebagai SkillsFuture Queen Bee terbaru, dan menyokong sektor kejuruteraan jitu (PE), menurut satu kenyataan bersama antara ST Engineering, NTUC dan SSG.
Queen Bee merujuk kepada syarikat pemimpin industri yang boleh menarik dan mempengaruhi syarikat lain untuk mempertingkat usaha pembangunan kemahiran dan membantu memperluas pendekatan gerakan SkillsFuture.
“Di unit Land Systems, kami bekerjasama dengan lebih 100 pembekal, kebanyakannya adalah SME.
“Dengan kerjasama bersama NTUC dan SSG, kami menggandakan usaha untuk meningkatkan kemahiran pembekal tersebut dan membina ekosistem teguh yang menawarkan keupayaan teknologi dan kejuruteraan yang meluas.
“Ini memastikan pembangunan produk dan penyelesaian berterusan sambil menegakkan piawaian kecemerlangan yang memacu kejayaan bersama,” kata Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan ST Engineering, Encik Cedric Foo.
ST Engineering akan bekerjasama dengan SSG dan NTUC untuk membantu pekerja pembekal SME menguasai kemahiran baru dan kekal berdaya saing dalam landskap industri yang berkembang pesat.
Sebagai permulaan, ia menyasarkan melatih pekerja sekurang-kurangnya 40 pembekal daripada perniagaan Land Systems, sebelum berkembang untuk melibatkan pembekal merentasi kawasan perniagaan kumpulan yang lain.
Selain itu, NTUC juga akan menyokong pembekal ST Engineering melalui Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) dan Geran CTC untuk melaksanakan pelan transformasi perniagaan dan tenaga kerja.
Pembekal yang mengambil bahagian boleh memulakan Pelan Hala Tuju Operasi dan Teknologi (OTR) NTUC untuk mengenal pasti bidang transformasi dan pertumbuhan perniagaan.
Sehingga 31 Disember 2024, lebih 7,400 pekerja merentasi lebih 330 syarikat dengan Geran CTC yang diluluskan boleh mendapat manfaat daripada Pelan Pembangunan Kerjaya (CDP) dan/atau elaun kemahiran.
Pembekal dan pekerja ST Engineering juga akan mendapat manfaat daripada bengkel, analisis latihan keperluan, inisiatif peningkatan kemahiran, serta nasihat dan usaha penyelesaian yang difasilitasi oleh NTUC.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SkillsFuture Singapura, Encik Tan Kok Yam, berkata:
“Ini adalah perkongsian bercita-cita tinggi yang bertujuan membawa bersama transformasi perniagaan, latihan tenaga kerja dan jangkauan SME untuk mencapai jangkauan dan kesan maksimum daripada kededua perusahaan dan pekerja.
“Kami juga berharap dapat bekerjasama rapat dengan NTUC untuk memperluaskan model kerjasama tiga pihak ini kepada lebih banyak rakan Queen Bee SkillsFuture kami.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg