Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Mendaki akan memperluaskan rangkaian penasihat kerjaya melalui Bidang Tumpuan Keempat (FA4) M Kuasa Tiga (M3).
Ini bagi membantu golongan Karyawan, Pengurus dan Eksekutif (PME) Melayu/Islam menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dan membuka laluan ke arah kerjaya kedua yang bermakna, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Beliau berkata langkah tersebut dibuat bagi memastikan golongan ini kekal relevan dan boleh diambil bekerja dalam industri, lebih-lebih lagi dengan kecerdasan buatan (AI) terus mengubah landskap industri dan pekerjaan, katanya.
Semasa membentangkan hujah sulungnya selaku AP Pekerja bagi menyokong usulan Amanat Presiden dalam Sidang Parlimen pada 23 September, beliau berkata:
“Bagi PME matang, sokongan akan memberi tumpuan kepada pemerkasaan kemahiran baru termasuk kemahiran digital dan kepimpinan, supaya mereka dapat terus relevan dan diyakini oleh industri.”
Dari segi ini, beliau menambah FA4 M3 akan memberi perhatian khusus untuk meningkatkan kebolehpasaran pekerja Melayu/Islam, merangkumi golongan PME dan belia.
Mengenai belia, Dr Wan Rizal berkata lebih banyak laluan akan disediakan, meliputi program perantisan dan skim bekerja sambil belajar.
Ini di samping peluang pembangunan dalam bidang baru seperti teknologi hijau, AI dan ekonomi penjagaan.
Beliau memberi contoh bengkel khas untuk belia dan karyawan muda berumur dari 18 hingga 35 tahun, anjuran Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) bersama perusahaan sosial berdasarkan penyelidikan yang bertujuan membangun kesejahteraan hidup, Happiness Initiative.
Bengkel itu bertujuan membina daya tahan minda; membekalkan peserta dengan kemahiran untuk mengurus tekanan dan membina keyakinan ketika mencari pekerjaan atau memulakan kerjaya baru, katanya.
“Apabila setiap masyarakat dapat berkembang maju bersama, Singapura secara keseluruhannya akan menjadi lebih kukuh dan berdaya tahan,” tambah beliau.
Dr Wan Rizal merupakan salah seorang daripada dua AP – selain Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, yang akan menerajui usaha membangun platform masyarakat bagi menyokong pekerja merebut peluang baru dalam landskap ekonomi yang pesat berkembang.
Perkara itu diumumkan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam Sidang Parlimen pada hari yang sama (23 September).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg