Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pupuk asatizah masa depan, rai warisan Melayu antara bidang pertingkat masyarakat

Sep 23, 2025 | 4:38 PM
MUIS, SCIS
Institusi agama mesti membangunkan keupayaan baru untuk membimbing masyarakat dalam isu kontemporari, termasuk yang berkaitan dengan teknologi dan sains baru, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim. Gambar menunjukkan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir berkongsi tentang Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) bersama asatizah di Kampus Bencoolen Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada November 2024. - Foto fail

Dengan dunia kian menghadapi lebih banyak cabaran rumit, generasi pemimpin agama yang seterusnya perlu dipersiapkan bukan hanya untuk membimbing masyarakat dalam ilmu agama, bahkan juga peka tentang perkembangan sejagat sambil menghayati konteks tempatan.

Di samping itu, institusi agama mesti membangunkan keupayaan baru untuk membimbing masyarakat dalam isu kontemporari, termasuk yang berkaitan dengan teknologi dan sains baru, kata Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Bercakap di Parlimen semasa perbahasan Amanat Presiden pada 23 September, Dr Faishal turut berkongsi rancangan yang sedang diusahakan untuk menyediakan lebih banyak ruang solat, terutama di estet perumahan baru.

Ini termasuk meneroka cara mempercepatkan pembinaan masjid baru di Tampines North dan Tengah, menyediakan ruang solat sementara sedang masjid-masjid lama menjalani kerja peningkatan, dan mengadakan sesi kedua bagi solat Jumaat di masjid.

“Iman kita adalah teras kepada watak kita sebagai masyarakat Melayu/Islam.

“Ia membimbing nilai dan cara kita mendekati satu sama lain, sama ada dengan anggota keluarga, jiran atau sesama warganegara.

“Iman kita juga membimbing kita untuk hidup harmoni dengan orang lain dalam masyarakat berbilang budaya dan agama,” kata beliau.

Dalam mempersiapkan generasi pemimpin agama yang seterusnya, Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) – yang bakal menerima kohort pelajar pertamanya pada 2028 – akan melengkapi asatizah dengan ilmu agama dan kemahiran praktikal yang kukuh untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Ini termasuk dalam sektor agama dan sektor lain seperti kaunseling dan kerja sosial.

“... Kerjasama SCIS dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) akan menjadi penting dalam mendedahkan asatizah masa depan kepada pengalaman akademik yang pelbagai dan membangunkan mereka bukan hanya sebagai guru agama yang berkebolehan, malah pemimpin masyarakat yang penuh belas kasihan yang boleh membantu masyarakat mengharungi cabaran sosial kontemporari,” kata beliau.

Sementara itu, dengan pelbagai isu baru yang timbul, Dr Faishal menambah bahawa golongan asatizah juga akan terus diperkasa untuk membimbing masyarakat dalam isu rumit, sekali gus memperdalami kepercayaan dalam institusi agama.

Contohnya, fatwa yang dikeluarkan baru-baru ini telah membantu menjawab kemusykilan masyarakat tentang isu seperti daging dan protein alternatif, dan pemeriksaan bagi penyakit genetik yang teruk dalam perancangan keluarga.

“Keupayaan mengekalkan keyakinan dalam kehidupan agama kita bergantung pada kepercayaan institusi agama dan kerjasama dengan rangkaian badan-badan Islam lebih luas.

“Kami akan memperkukuh rangkaian kepercayaan dan kerjasama ini untuk menangani keperluan agama masyarakat kita,” kata beliau.

Dr Faishal turut membentangkan rancangan dalam usaha melestarikan seni, budaya dan warisan Melayu, meskipun sedang masyarakat terus mengejar pertumbuhan dan kemakmuran ekonomi.

Antaranya, Taman Warisan Melayu – yang akan membuka semula pintunya kepada orang ramai pada April 2026 – akan menjadi wadah baru untuk meraikan kejayaan dan sumbangan masyarakat Melayu, dan mempamerkan kepelbagaian kumpulan etnik Melayu, kata beliau.

Tiga bidang tumpuan untuk masyarakat Melayu/Islam

1. Pertingkat hasil sosial dan ekonomi

– Pupuk perkahwinan dan keluarga lebih kukuh

– Labur dalam pembangunan kanak-kanak dan belia

– Lengkapi pekerja untuk rebut peluang dalam bidang pertumbuhan

– Sokong warga emas meniti usia senja dengan bermaruah

2. Sokong masyarakat amal agama dalam masyarakat berbilang budaya

– Sediakan lebih banyak ruang solat dengan i) percepatkan pembinaan masjid baru di Tampines North dan Tengah; ii) sediakan ruang solat sementara sedang masjid-masjid lama jalani kerja peningkatan; iii) dan adakan sesi kedua solat Jumaat di masjid

– Pupuk generasi asatizah masa depan untuk bimbing masyarakat dalam agama, ikuti perkembangan sejagat sambil hayati konteks tempatan

– Bangunkan keupayaan baru dalam institusi agama untuk tangani isu kontemporari

3. Lestarikan seni, budaya dan warisan Melayu

– Taman Warisan Melayu bakal dibuka semula April 2026, jadi wadah baru raikan sumbangan masyarakat, pamer kepelbagaian kumpulan etnik Melayu yang berbeza dan sumbangan wanita dalam pendidikan, sastera dan seni

– Bangunkan Wisma Geylang Serai sebagai hab sosial, seni dan warisan budaya yang pertama di Singapura

– Perkukuh identiti budaya dan nilai warisan Kampong Gelam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg