Hubungan rapat antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan berterusan meskipun nama ketua gerakan pekerja, Encik Ng Chee Meng, tidak tersenarai dalam badan pembuat keputusan tertinggi terbaru parti itu, kata naib presiden NTUC, Encik Abdul Samad Abdul Wahab.
Pada 24 November, PAP mengumumkan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) terbaru mereka semasa persidangan dwitahunan mereka yang diadakan di Singapore Expo.
CEC ke-38 PAP itu telah memilih 12 anggota dan melantik dua individu lain untuk menganggotai jawatankuasa tersebut, termasuk Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, yang menyertai jawatankuasa itu buat kali pertama selepas dilantik.
Setiausaha Agung NTUC, Encik Ng, duduk sebagai antara anggota dilantik dalam CEC yang lama.
Ditemui media di akhir persidangan itu, Encik Abdul Samad berkata:
“Hubungan (antara PAP dengan NTUC) melebihi sama ada kami diwakili atau tidak. Ia adalah mengenai tindakan yang kami ambil bersama antara PAP dengan NTUC.”
Menurut perlembagaan PAP, CEC hendaklah terdiri daripada tidak lebih daripada 18 anggota. Seramai 12 individu mesti dipilih di persidangan parti, manakala sehingga enam yang lain boleh dilantik ke dalam CEC.
CEC ke-38 yang baru dipilih itu boleh melantik lebih ramai anggota ke dalam jawatankuasanya apabila mereka bermesyuarat, lazimnya dalam masa beberapa minggu selepas persidangan parti. Ini bermakna masih terdapat kemungkinan Encik Ng dilantik ke dalam jawatankuasa itu.
Diminta pandangannya tentang hubungan antara PAP dengan NTUC, terutamanya setelah ia mendapat perhatian dalam beberapa bulan kebelakangan ini menyusuli kes berkaitan perjanjian Allianz-Income, Encik Abdul Samad berkata tidak dapat dinafikan bahawa setiap hubungan ada pasang surutnya.
Namun, beliau menambah bahawa hubungan antara kededua pihak itu tidak harus dinilai hanya berdasarkan isu perjanjian Allianz-Income itu.
Encik Abdul Samad berkata NTUC dan pemerintah akan terus bekerjasama, dengan pemerintah telah melakukan banyak perkara baik untuk pekerja di Singapura.
Pemerintah juga telah mendengar maklum balas dan keprihatinan berhubung golongan itu apabila ia diutarakan gerakan pekerja.
“Saya percaya kita terus muncul lebih kuat. Ia akan memperkukuh dan mengingatkan kita agar tidak mengambil ringan hubungan antara PAP dengan NTUC,” kata beliau.
“Ia tidak akan menjejas hubungan kami kerana kami percaya dengan apa yang kami lakukan bersama dahulu dan sekarang, dan kami juga percaya kami akan terus bekerjasama dengan lebih baik,” tambah beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg