Pilihan raya umum (GE) seterusnya mempunyai kepentingan tinggi dan Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah mengambil langkah untuk memperbaharui parti itu dan mengalu-alukan individu daripada pelbagai latar belakang, pandangan serta idea menyertainya sebagai aktivis dan calon, kata Perdana Menteri Lawrence Wong.
Beliau berkata tiada jaminan bahawa PAP akan memenangi GE itu dan membentuk pemerintah yang mantap, dan parti itu perlu bekerja keras untuk meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat Singapura.
PAP “tidak lagi boleh beroperasi dari belakang tabir” sebaliknya perlu ke hadapan untuk menjelaskan dasar dan isu kepada rakyat, kata Encik Wong semasa berucap di Persidangan PAP di Singapore Expo pada 24 November.
Timbalan setiausaha agung PAP itu menambah bahawa pemerintah akan terus menangani keprihatinan rakyat Singapura berhubung kos sara hidup semakin meningkat, dengan beliau sendiri akan meneliti cara menyediakan sokongan tambahan dalam Belanjawan 2025.
Lebih 3,000 Anggota Parlimen (AP), aktivis, kader dan tetamu menghadiri persidangan dwitahunan itu, di mana Encik Wong turut mengumumkan beliau akan mengambil alih jawatan setiausaha agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) – badan pembuat keputusan tertinggi parti itu – dan akan menerajui parti itu pada GE akan datang.
Pemilihan CEC ke-38 PAP – yang menyambut ulang tahunnya yang ke-70 pada 2024 – turut diumumkan pada persidangan itu, dengan 12 anggota dipilih dan dua dilantik menganggotai badan itu.
“Untuk masa yang lama, apabila landskap politik kurang ditandingi, PAP mampu kekal di belakang tabir. Pemerintahlah yang akan keluar untuk mendekati rakyat, menjelaskan dasar, dan mendapatkan maklum balas dan idea.
“Namun, PAP tidak lagi boleh beroperasi di balik tabir.
“Kita mesti tampil ke hadapan – untuk menjelaskan dasar kita, untuk menggerakkan rakyat bagi tujuan yang kita percayai, untuk mendekati rakyat Singapura mengenai isu yang mereka ambil berat, dan menunjukkan kepada mereka mengapa mereka boleh mempercayai dan bergantung pada PAP untuk menyediakan kepimpinan bagi Singapura,” kata Encik Wong.
Beliau menekankan keperluan menangani keprihatinan segera rakyat dan menyesuaikan diri kepada realiti politik baru, sambil menambah bahawa beliau tahu rakyat Singapura bimbang tentang cabaran kos sara hidup.
Isu kos sara hidup semakin tinggi membayangi isu lain dan menyumbang kepada perasaan antipemerintah semasa di negara lain, yang menjejas keputusan pilihan raya di pelbagai negara seluruh dunia tahun ini, tambah Encik Wong.
Di Singapura, tekanan serupa turut dirasakan dengan parti pembangkang cuba mengeksploitasi isu tersebut bagi mengubah sentimen terhadap PAP, meskipun “mereka sendiri tidak mempunyai jalan penyelesaian yang baik”, ujar beliau.
Sebaliknya, pemerintah telah memperkenalkan beberapa pakej bantuan untuk melindungi rakyat Singapura daripada kesan buruk inflasi global sejak beberapa tahun lalu, termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) terkini, yang akan dilancarkan pada Januari 2025.
“... pemerintah sedang melakukan yang terbaik untuk melindungi anda daripada kesan terburuk inflasi global... Saya sedang menyiapkan Belanjawan 2025, dan saya sedang meneliti cara kami boleh menyediakan sokongan tambahan dalam Belanjawan,” kata Encik Wong.
Meskipun PAP telah menjadi pemerintah selama 65 tahun sejak 1959, Encik Wong berkata ia tidak boleh sekali-kali mengandaikan “kita tidak akan melihat perubahan pemerintah dalam hidup kita”.
Buat masa ini, sebahagian besar rakyat Singapura mahu PAP membentuk pemerintah, kata beliau, namun pada masa sama mereka mahukan lebih banyak suara pembangkang di Parlimen.
Disebabkan keinginanitu, Encik Wong berkata risiko lebih besar yang dihadapi ialah kehilangan pemerintah mantap dan baik.
“Parti pembangkang sendiri mengaku mereka jauh dari bersedia untuk membentuk pemerintah. Mereka katakan itu sebahagiannya kerana mereka tahu rakyat tidak akan menyokong mereka jika mereka secara terbuka mengisytiharkan hasrat memerintah,” kata beliau.
“Namun, jika lebih ramai pengundi dipujuk oleh hujah ini dan mengundi pembangkang, pembangkang yang ada sekarang akan menjadi pemerintah tidak lama lagi,” tambah beliau.
Encik Wong berkata langkah-langkah telah diambil untuk memperbaharui PAP, dengan beberapa perubahan telah dilaksanakan, termasuk pembentukan dua kumpulan baru mengenai tindakan iklim dan kesihatan mental.
Sebuah aplikasi baru PAP turut dilancarkan untuk mendekati anggota parti itu dan memperluaskan rangkaian mereka.
Parti itu turut mengalu-alukan individu dengan latar belakang, pandangan dan idea berbeza menyertainya sebagai aktivis, rakan dan calon berpotensi.
Encik Wong menambah bahawa beliau telah meluangkan masa mendekati calon berpotensi sebagai sebahagian rancangan memperbaharui pasukan PAP bagi GE akan datang.
“Saya telah membuat beberapa kemajuan. Namun, saya masih berharap dapat memujuk beberapa individu lagi untuk menyertai pasukan kita. Saya berharap dapat memperkenalkan calon sedang kempen semakin hampir,” katanya.
Encik Wong berkata tiada siapa tahu berapa lama PAP akan berterusan menjadi parti pemerintah, dengan rakyat Singapura akan menentukannya dan tiada kepastian mahupun aturan yang dijamin kekal selamanya.
Namun, beliau memberi jaminan bahawa beliau akan melakukan segala yang boleh untuk memenangi sokongan dan kepercayaan rakyat Singapura.
“Selagi kita kekal berpegang pada nilai-nilai kita, menepati tujuan kita berkhidmat kepada semua rakyat Singapura, saya yakin kita akan mencapai matlamat kita,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg