KONGRES Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) akan terus memastikan pekerja akan dapat meraih pendapatan lebih tinggi daripada pekerjaan yang lebih baik dan kemahiran yang relevan melalui latihan dan transformasi untuk membantu mereka menangani kos sara hidup yang meningkat, kata setiausaha agung NTUC, Encik Ng Chee Meng.

Ini sedang Singapura beralih hidup dengan Covid-19 sebagai endemik selepas dua tahun memerangi pandemik itu, tambah beliau.

Membentangkan tumpuan dan rancangan NTUC bagi tahun ini dalam satu sidang media semalam, Encik Ng berkata mereka akan terus memperjuangkan kepentingan pekerja dalam segmen yang berbeza.

Ini seperti pekerja bergaji rendah, karyawan, pengurus dan eksekutif (PME), pekerja ekonomi gig, pekerja lanjut usia, belia, dan wanita serta keluarga.

Encik Ng berharap NTUC dapat melakukan lebih banyak usaha sedang ekonomi menjalani transformasi dan lebih mendekati golongan pekerja dalam sektor baru, termasuk pekerja ekonomi gig.

"Khusus bagi tahun ini, bidang tumpuan kami adalah untuk membantu pekerja menerusi peluang peningkatan kemahiran, dengan menjangkakan pemulihan lanjut dalam ekonomi, di mana kita boleh bergerak sepenuhnya dalam penyusunan semula ekonomi, industri 4.0, untuk menyediakan peluang lebih baik bagi perniagaan dan pekerja," kata beliau.

Sebagai sebahagian usaha menyumbang kepada transformasi syarikat dan pekerja selaras dengan industri 4.0, Encik Ng berkata NTUC sedang bekerjasama dengan rakan tiga pihak untuk membentuk akademi dalam sektor-sektor yang memerlukan transformasi.

Antara sektor yang dikenal pasti ialah pelancongan, dengan sebuah hab kerjaya akan dirintis untuk menyediakan kemudahan pekerjaan, latihan kemahiran dan transformasi sektor yang bersepadu.

Sektor berpotensi lain termasuk perkilangan lanjutan, runcit dan keselamatan.

"Akademi tiga pihak akan menjadi bahagian penting bagi kami merealisasikan keupayaan bagi rakan industri, dengan sokongan pemerintah.... Semua ini masih lagi dalam tahap awal kerana kami sedang dalam peralihan menggerakkan pelbagai inovasi ini," kata Encik Ng.

Sementara itu, sebanyak 811 Jawatankuasa Latihan Syarikat (CTC) - dilancarkan pada April 2019 untuk mengenal pasti bidang latihan dan kemahiran diperlukan pekerja untuk mengikuti transformasi industri - telah dibentuk sejauh ini.

Sekitar 266 syarikat, termasuk di peringkat sektor, pula telah selesai melakukan Pelan Operasi & Teknologi (OTR) mereka - salah satu aspek CTC untuk menggalak syarikat menggunakan teknologi.

Berkongsi tentang bidang tumpuan bagi kumpulan pekerja yang berbeza, Encik Ng berkata bagi pekerja bergaji rendah, NTUC akan memastikan pertumbuhan gaji mereka mengikuti perkembangan kos sara hidup, dan akan memperluaskan pelaksanaan Model Gaji Progresif (PWM) kepada lebih banyak sektor.

NTUC juga akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penasihat mengenai Pekerja Platform untuk mempertingkat kebajikan dan perlindungan bagi pekerja platform, seperti dalam isu kecederaan di tempat kerja dan sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi keperluan jangka pendek hingga panjang mereka.

Pekerja platform meliputi pekerja penghantaran, pemandu kereta sewa peribadi dan pemandu teksi.

Bagi membantu para belia, NTUC merancang bekerjasama dengan institut pengajian tinggi untuk menempatkan belia dalam syarikat yang mempunyai peluang kerja bagi lulusan baru menerusi program seperti program bekerja sambil belajar.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti