Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lebih 25,000 warga S’pura guna tokokan $4,000 Kredit SkillsFuture

Jan 8, 2025 | 4:03 PM
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, memberi kemas kini mengenai kadar pengambilan tokokan $4,000 Kredit SkillsFuture dalam jawapan Parlimen pada 8 Januari.
Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, memberi kemas kini mengenai kadar pengambilan tokokan $4,000 Kredit SkillsFuture dalam jawapan Parlimen pada 8 Januari. - Foto ZAOBAO

Lebih 25,000 warga Singapura berusia 40 tahun ke atas telah menggunakan tokokan Kredit SkillsFuture (SFC) sebanyak $4,000, setakat 30 November 2024.

Sejak tokokan tersebut diberikan pada Mei 2024, bidang latihan paling popular yang diikuti pelajar adalah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), yang merangkumi kemahiran seperti pemasaran digital dan visualisasi data.

Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, memberi kemas kini itu dalam jawapan Parlimen pada 8 Januari.

Beliau memberi respons kepada beberapa Anggota Parlimen (AP), seperti Cik Foo Mee Har (GRC West Coast) dan Encik Patrick Tay (Pioneer), yang telah mengemukakan soalan berhubung kadar pengambilan tokokan $4,000 tersebut.

Tokokan SFC untuk rakyat Singapura berusia 40 tahun ke atas itu pertama kali diumumkan dalam Belanjawan 2024 bagi menyokong golongan pertengahan kerjaya.

Langkah itu adalah sebahagian daripada Program Peningkatan SkillsFuture yang baru untuk menggalak pekerja pertengahan kerjaya meningkatkan kemahiran dan mencapai kemajuan dalam kerjaya mereka, lapor The Straits Times (ST).

Menurut Cik Gan, bidang latihan popular lain dalam kalangan pelajar termasuk keselamatan dan penyiasatan, serta perdagangan borong dan runcit.

Kedua-dua institut pengajian tinggi dan penyedia latihan swasta seperti NTUC LearningHub, merupakan penyedia latihan utama.

“Pada hari ini, lebih daripada 7,000 kursus yang menyokong latihan lanjutan layak (dibiayai) Kredit SkillsFuture $4,000 (Pertengahan Kerjaya) itu,” kata Cik Gan.

Beliau menambah, SkillsFuture Singapura (SSG) akan bekerjasama dengan agensi dalam pelbagai sektor, industri dan penyedia latihan untuk mengemas kini kursus yang disediakan dan memastikan ia menyokong keperluan ekonomi serta tenaga kerja Singapura.

Di bawah Program Peningkatan SkillsFuture, mereka yang ingin melanjutkan pengajian diploma sepenuh masa di politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan institusi seni juga akan diberikan subsidi mulai tahun akademik 2025.

Penggunaan tokokan $4,000 yang tiada tarikh luput itu, hanya boleh digunakan untuk membiayai program latihan terpilih yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik. 

Ini termasuk diploma sepenuh masa dan separuh masa, serta program pascadiploma dan sarjana muda.

Rakyat Singapura yang lebih muda akan menerima tokokan $4,000 itu apabila mereka mencapai usia 40 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg