Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Nun jauh di utara tidak lagi ‘ulu’; semakin rancak, bertenaga

Dengan lebih banyak kemudahan sehenti, ruang masyarakat serta riadah, sekolah dan pusat beli-belah, kawasan utara dapat tarik keluarga muda yang idamkan rumah pertama atau pasangan lebih berumur yang mahu bertukar angin
Dec 1, 2024 | 5:30 AM
Sedang lebih ramai orang berpindah ke kawasan utara, permintaan bagi perumahan akan meningkat dan harga hartanah dijangka kekal rancak di kawasan itu, kata penganalisis hartanah.
Sedang lebih ramai orang berpindah ke kawasan utara, permintaan bagi perumahan akan meningkat dan harga hartanah dijangka kekal rancak di kawasan itu, kata penganalisis hartanah. - Foto fail

Setelah sekian lama disifatkan sebagai ‘ulu’, kawasan utara Singapura yang penuh dengan kehijauan alam semula jadi kini sedang menjalani pembangunan pesat.

Pelbagai projek perumahan baru bakal didirikan dan peningkatan berterusan dilakukan pada sistem pengangkutan bagi lebih menghubungkannya bukan sahaja ke bahagian lain negara bahkan ke seberang Tambak.

Dengan lebih banyak kemudahan sehenti, ruang masyarakat dan riadah serta sekolah dan pusat beli-belah, kawasan utara kian rancak dan dijangka dapat menarik perhatian keluarga muda yang mahu membeli rumah pertama mereka atau pasangan lebih berumur yang mahu bertukar angin.

Sedang lebih ramai orang berpindah ke kawasan utara, permintaan bagi perumahan akan meningkat dan harga hartanah dijangka kekal rancak di kawasan itu, kata penganalisis hartanah.

Kenali kawasan utara

Singapura mungkin negara yang kecil tetapi setiap satu daripada lima kawasan utamanya – timur, barat, utara, timur laut dan pusat mempunyai ciri-ciri istimewa tersendiri.

Dalam pelan induk 2019, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menggambarkan utara Singapura sebagai kawasan dengan kehijauan yang luas dan peluang yang banyak.

Ia meliputi kawasan perancangan Sembawang, Woodlands, Yishun, Mandai, Simpang, Sungei Kadut dan Lim Chu Kang yang merangkumi sekitar 600,000 penduduk.

Menurut jurucakap URA, sebelum kemerdekaan Singapura, sebahagian kawasan di utara digunakan sebagai Pangkalan Tentera Laut Sembawang British. Ia kemudian dibangunkan semula secara berperingkat dalam tahun-tahun selepas kemerdekaan untuk menyediakan tempat tinggal kepada penduduk, peluang kerja serta ruang riadah.

Sebagai contoh, bandar perumahan Woodlands dan Sembawang dibina pada 1970-an dan 1990-an untuk memenuhi keperluan perumahan manakala estet perindustrian Senoko dan Woodlands dibina pada 1970-an untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.​

Rancangan bagi Pusat Serantau Woodlands, yang merupakan pusat komersial utama di utara hari ini, diumumkan pada 1991.

“Rancangan itu telah dilaksanakan secara berperingkat dalam tahun-tahun berikutnya untuk menambah baik persekitaran hidup penduduk, meningkatkan pertumbuhan ekonomi Singapura dalam sektor baru dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar dengan mengurangkan perjalanan berulang-alik ke Kawasan Pusat Bandar,” kata jurucakap URA.

Pembangunan di utara

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pembangunan di kawasan utara kian rancak.

Lebih banyak hab sehenti seperti Bukit Canberra dan Kampus Kesihatan Woodlands telah dibangunkan bagi membolehkan penduduk di utara memenuhi keperluan harian dekat dengan tempat tinggal mereka.

Bukit Canberra yang terletak dekat MRT Sembawang adalah sebuah hab masyarakat dan sukan bersepadu yang menawarkan penduduk kemudahan seperti pusat penjaja (yang pertama di Sembawang dalam sekitar 30 tahun), poliklinik, pusat penjagaan warga emas dan pusat tajaka. Ia dibuka secara berperingkat mulai 2022.

Kampus Kesihatan Woodlands pula dibuka pada 2024 dan menempatkan hospital masyarakat dan akut bersepadu, pusat perubatan dan kemudahan penjagaan jangka panjang.

Kawasan utara juga telah menjadi lebih terhubung dengan pembukaan beberapa stesen MRT baru termasuk stesen Canberra di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan stesen Woodlands North, Woodlands, Woodlands South dan Springleaf di Laluan Thomson-East Coast (TEL). Hab Pengangkutan Bersepadu Yishun juga telah dibuka pada 2019.

Penambahbaikan itu dilakukan sebagai persiapan menjelang peningkatan dalam bilangan penduduk di utara yang antara lain akan mempunyai tambahan 14,000 rumah baru pada tahun-tahun mendatang di Woodlands North Coast dan Sembawang North.

Mengumumkan rancangan projek perumahan baru itu pada Oktober, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata penduduk yang tinggal di Woodlands North Coast boleh menantikan Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) Johor Bahru-Singapura yang dijangka siap hujung 2026.

Projek itu adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira empat kilometer yang menghubungkan Malaysia dan Singapura, merangkumi laluan di antara dua stesen, iaitu satu di Bukit Chagar, Johor Bahru, dan satu di Woodlands North, Singapura.

Ia dijangka memberi manfaat kepada penumpang Singapura dan Malaysia, yang kini perlu mengharungi kesesakan trafik di kedua-dua pusat pemeriksaan darat setiap hari.

Kesan ke atas hartanah

Pembangunan prasarana pengangkutan dan pembukaan kemudahan baru dalam kawasan tertentu biasanya mempunyai kesan positif kepada penilaian dan permintaan hartanah kerana ia meningkatkan keterhubungan dan kemudahan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma hartanah PropNex, Encik Ismail Gafoor.

Rumah baru di estet perumahan yang akan datang seperti Springleaf, Chencharu, Woodlands North Coast, Sembawang North dan Kranji pula akan membawa lebih banyak isi rumah ke utara, menambah bilangan penduduk, merancakkan kawasan itu dan menyokong perniagaan, tambahnya.

“Pada masa lalu, sesetengah orang mungkin berasa bahawa bahagian utara Singapura adalah ‘ulu’ dan agak menyusahkan untuk tinggal di sana kerana mereka lebih jauh dari bandar dan memerlukan masa berulang-alik yang panjang untuk sampai ke bandar.

“Bagaimanapun pembukaan TEL dan Laluan Rentas Pulau (CRL) yang akan datang serta langkah memencarkan (decentralise) hab komersial yang membawa pekerjaan lebih dekat ke rumah telah membantu mengubah tanggapan orang ramai,” kata Encik Ismail sambil menambah kawasan utara hari ini jauh daripada ‘ulu’.

Beliau berkata transformasi berterusan di Pusat Serantau Woodlands sebagai hab komersial, serta pembinaan Koridor Utara-Selatan dari Woodlands ke bandar, CRL dan RTS Link, dan pembangunan akan datang di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka akan terus meningkatkan permintaan hartanah di utara dalam masa sedekad akan datang.

Pembangunan semula di Kranji yang diumumkan pemerintah menyusuli penutupan Singapore Turf Club dan tawaran flat baru di Sembawang, Woodlands dan Yishun juga dijangka menyumbang kepada peningkatan itu.

Sementara itu, Ketua Penyelidik dan Strategi dari OrangeTee Group, Cik Christine Sun, berkata RTS Link yang akan datang dijangka meningkatkan kemudahan perjalanan warga Singapura dengan ketara, sekali gus menambah daya tarikan hartanah di utara khususnya di Woodlands North Coast.

“Pada masa akan datang, sekiranya flat itu disewakan, rakyat Malaysia yang mungkin ingin menghantar anak mereka belajar di Singapura akan mendapati lebih mudah untuk mereka sekeluarga pulang ke Malaysia melalui RTS Link pada hujung minggu,” kata Cik Sun.

“RTS Link juga akan menarik minat warga Singapura yang mungkin mempunyai saudara mara yang tinggal di Malaysia. Ia juga akan memberi manfaat kepada mereka yang ingin menyewakan unit mereka kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sini,” tambahnya.

Apa kata penduduk

Bagi Encik Mohammad Raihan Mohamed Ariffin, kawasan utara, khususnya Yishun, sudah menjadi tempat tinggalnya selama 35 tahun dan telah meninggalkan banyak kenangan baginya.

“Semasa saya kecil, saya suka pergi ke Yishun 10, iaitu satu-satunya panggung wayang yang mempunyai 10 panggung. Terdapat juga sebuah gerai sate yang amat popular iaitu Satay Club di pusat beli-belah Sembawang yang lama.

“Nilai nostalgia seperti inilah yang membuat saya ingin kekal tinggal di Yishun. Pergilah ke mana-mana kawasan di Singapura tetapi Yishun tetap di hati saya,” kata pegawai keselamatan dalam bahagian pembinaan itu.

Encik Mohammad Raihan Mohamed Ariffin telah melihat banyak kemudahan dibangunkan di Yishun dalam masa 35 tahun beliau menetap di sana.
Encik Mohammad Raihan Mohamed Ariffin telah melihat banyak kemudahan dibangunkan di Yishun dalam masa 35 tahun beliau menetap di sana. - Foto ihsan MOHAMMAD RAIHAN MOHAMED ARIFFIN

Dalam tempoh beliau tinggal di Yishun, Encik Mohammad Raihan, 49 tahun, berkata beliau telah melihat banyak kemudahan dan tempat makan dibangunkan seperti pusat beli-belah Wisteria, Canberra Plaza dan Junction 9.

Satu hab masyarakat di Chong Pang kini sedang dibina dan kerja pembangunan sedang dijalankan bagi Masjid Darul Makmur, selain kerja peluasan jalan raya di Empangan Yishun dan pembinaan rangkaian penghubung taman di kawasan itu.

Beliau berharap taman bermain basikal dan papan lungsur dapat disediakan bagi peminat sukan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg