Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NUS Enterprise luas program dana modal usaha niaga; jalin kerjasama dengan Stanford

Sep 16, 2025 | 6:20 PM
NUS, inovasi
Bangunan i3 yang telah dinaik taraf oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) Enterprise merupakan pusat inovasi teknologi mendalam, keusahawanan dan kerjasama. - Foto ST

Cabang keusahawanan Universiti Nasional Singapura (NUS), NUS Enterprise, sedang memulakan dua pelaburan bersama baru, serta satu kerjasama bernilai $2 juta dengan Universiti Stanford.

Pengumuman itu dibuat pada 16 September semasa perasmian semula bangunan i3 yang telah dinaik taraf, iaitu sebuah pusat inovasi teknologi mendalam, keusahawanan dan kerjasama di bawah NUS Enterprise, lapor The Business Times (BT).

Selain pembiayaan, kededua perkongsian itu akan menghubungkan syarikat pemula yang berasal dari NUS ke rangkaian modal dan kepakaran global “sambil memastikan keuntungan disalurkan semula ke dalam pendidikan dan keusahawanan,” kata Naib Presiden Kanan NUS (inovasi dan keusahawanan), Dr Tan Sian Wee.

Perkongsian pertama ialah rangka kerja pelaburan bersama dengan SG Growth Capital, wadah pelaburan yang dimiliki Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Singapura dan Enterprise Singapore (EnterpriseSG).

Di bawah rangka kerja itu, pelaburan NUS Enterprise ke dalam dana modal usaha niaga (VC) terpilih akan dipadankan sebahagiannya oleh SG Growth Capital, dengan jumlah padanan ditentukan mengikut budi bicara pihak SG Growth Capital.

Satu perjanjian pelaburan bersama bernilai $20 juta turut ditandatangani antara NUS Enterprise dan Lotus One Investment, yang merupakan sebahagian daripada pejabat keluarga Lotus Singapore Group.

Matlamatnya adalah untuk menyokong bersama spin-off (produk atau khidmat susulan) NUS dan dana VC.

Keuntungan daripada perkongsian itu akan disalurkan semula untuk mengukuhkan program inovasi dan keusahawanan NUS Enterprise.

Kedua-dua perkongsian itu melengkapi Program VC NUS bernilai $150 juta yang dilancarkan pada Julai, yang bertujuan memudahkan pertumbuhan syarikat pemula teknologi mendalam dalam ekosistem universiti tersebut.

Di bawah program itu, NUS Enterprise melabur $50 juta ke dalam firma VC terpilih bagi menyokong syarikat pemula teknologi NUS, dan telah memperuntukkan $100 juta untuk dana pelaburan berautonomi yang memberi fokus kepada syarikat pemula yang berkaitan dengan universiti.

Ini termasuk syarikat pemula dari Program Inovasi Penyelidikan Siswazah (Grip) Kebangsaan, yang membantu mengubah penyelidikan makmal menjadi perniagaan siap pasaran.

Program Kebangsaan Grip menyasarkan untuk melatih 300 pasukan pemula menjelang 2028 dan membimbing lebih daripada 150 syarikat pemula menjelang 2030, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, pada acara tersebut.

Bangunan i3 yang dibuka semula menyokong usaha itu dengan menawarkan sokongan inkubasi dan bimbingan, serta menyediakan ruang untuk kerjasama, tambahnya.

Program VC NUS Enterprise adalah satu “inisiatif yang tepat pada masanya” kerana pembiayaan VC kini semakin berkurangan, jelas beliau.

NUS Enterprise juga memulakan projek perintis bernilai $2 juta dengan Universiti Stanford, yang dapat dijalankan melalui sumbangan dari Khetan Foundation.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg