Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lulusan Duke NUS capai impian jadi doktor melalui laluan khas gabungan kejuruteraan

Jul 14, 2025 | 5:30 AM
Abu Bakar Othman, Othman Mohamed Ali, Cik Suriati Salim
Dr Abu Bakar Othman (tengah) bersama ibu bapanya Encik Othman Mohamed Ali dan Cik Suriati Salim di majlis konvokesyen yang diadakan pada 31 Mei di Universiti Nasional Singapura (NUS). - Foto ihsan DR ABU BAKAR OTHMAN

Minat yang tertanam sejak menjalani Perkhidmatan Negara (NS) kini menjadi kenyataan apabila Dr Abu Bakar Othman menamatkan pelajarannya di Sekolah Perubatan Duke-NUS baru-baru ini.

Dr Abu Bakar, 28 tahun, merupakan satu-satunya lulusan Melayu dalam kohortnya yang lulus pada 2025, namun, perjalanannya ke dunia perubatan bukanlah laluan biasa.

“Saya merupakan antara pelajar program Laluan Khas Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD)-Duke NUS, yang saya sertai selepas peperiksaan GCE peringkat ‘A’ ,” katanya yang sekarang sedang berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Changi (CGH) dalam jabatan Perubatan Am.

Program khas itu menggabungkan ijazah kejuruteraan di SUTD, dengan tumpuan pada penjagaan kesihatan, sebelum menyambung pelajaran ke Fakulti Perubatan di Duke-NUS.

Mereka yang mengikuti laluan berkenaan akan menerima ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan ataupan Sarjana Muda Sains selepas tiga setengah tahun menuntut di SUTD.

Siswazah kemudian harus memenuhi kriteria penerimaan terakhir, termasuk Gred Mata Purata (GPA) sekurang-kurangnya 4.4 mata untuk layak menerima ijazah Doktor Perubatan (MD) di Sekolah Perubatan Duke-NUS.

Laluan bersyarat itu memberikan peluang unik untuk menggabungkan latar belakang teknikal dengan amalan klinikal – kesempatan yang Dr Abu Bakar, bekas pelajar Sekolah Menengah Ngee Ann dan Maktab Rendah Temasek, manfaatkan sepenuhnya.

“Motivasi saya untuk menceburi bidang perubatan berkembang secara beransur-ansur,” jelasnya.

“Pengalaman melihat ahli keluarga saya menghadapi masalah kesihatan yang sukar membuat saya sedar bagaimana seorang doktor mampu memberi impak besar.

“Saya melihat perubatan sebagai gabungan cabaran intelektual, impak sosial, dan peluang untuk membantu orang lain secara langsung,” kata Dr Abu Bakar.

Menurutnya lagi, latar belakang kejuruteraan beliau banyak membentuk cara beliau mendekati pesakit.

“Program Kejuruteraan SUTD menekankan pemikiran analitikal dan kreativiti.

“Kami dilatih untuk memahami keperluan pengguna – sama seperti dalam perubatan, kita mesti memahami dan menghormati nilai serta keperluan pesakit untuk mencapai matlamat bersama,” ujarnya.

Dr Abu Bakar turut menekankan bagaimana pemikiran algoritma yang dipelajari dalam kejuruteraan membantu dalam proses diagnostik.

“Ia membantu saya mengupas aduan pesakit yang kompleks kepada langkah yang lebih sistematik dan mencapai diagnosis dengan lebih yakin supaya rawatan boleh diberikan dengan berkesan,” tambahnya.

Namun, peralihan daripada dunia kejuruteraan ke perubatan bukanlah mudah.

“Memang mencabar apabila beralih daripada membuat pengiraan dan prototaip kepada mendapatkan sejarah perubatan, melakukan pemeriksaan fizikal, dan merancang rawatan.

“Tapi saya dikelilingi oleh rakan-rakan dan senior yang sangat membantu,” katanya.

Untuk kekal seimbang, Dr Abu Bakar aktif bersukan dan bergantung pada sokongan sosialnya.

“Saya berenang, berlari, latihan kekuatan dan tinju untuk mengurangkan tekanan. Saya juga ada rakan-rakan seangkatan yang sentiasa sedia mendengar,” katanya.

Menjadi satu-satunya lulusan Melayu bagi 2025 memberi makna mendalam buat dirinya.

“Peluang ini bukan milik saya seorang. Ia hasil daripada sokongan keluarga dan galakan masyarakat Melayu.

“Saya berharap akan ada lebih ramai doktor Melayu pada masa akan datang.

“Konteks budaya sangat penting dalam perubatan, dan dengan lebih ramai doktor Melayu, rawatan kesihatan boleh jadi lebih peribadi dan mudah difahami masyarakat kita,” tambahnya.

Menyentuh tentang keluarga, Dr Abu Bakar juga beri penghargaan atas sokongan mereka yang tidak putus-putus.

“Merekalah penyokong terbesar saya. Selepas syif yang panjang dan meletihkan, saya tahu mereka sentiasa ada. Harapan mereka adalah harapan saya, dan itu yang memberi saya kekuatan,” katanya penuh rasa syukur.

Bapanya, Encik Othman Mohamed Ali, 69 tahun, yang hadir pada majlis tamat pengajian anaknya itu bersama isteri dan ibu kepada Dr Abu Bakar, Cik Suriati Salim, 64 tahun, berkata:

“Saya gembira dan bangga melihatnya mencapai impiannya. Melihat anak saya yang bongsu menerima sarjana kedoktorannya, adalah saat yang telah kami usahakan dan mendoakan setelah sekian lama,” kata bapa empat orang anak itu.

Melangkah ke depan, selain amalan klinikal, Dr Abu Bakar turut bercita-cita untuk menggabungkan kejuruteraan dengan perubatan pada masa depan.

“Saya harap suatu hari nanti dapat terlibat dalam teknologi perubatan untuk mencipta kaedah rawatan yang lebih baik.

“Latihan kejuruteraan saya memang membantu saya mengenal pasti kekurangan rawatan sedia ada dan mencari penyelesaian,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg