Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

NUS jalan kajian $2.9j mengenai perumahan warga emas masa depan

Jun 4, 2024 | 4:28 PM
Kajian yang bakal dijalankan Universiti Nasional Singapura (NUS) akan mengambil kira keperluan yang pelbagai, pilihan yang berubah-ubah dan perubahan aspirasi warga emas masa depan yang mungkin tinggal bersendirian atau bersama keluarga mereka.
Kajian yang bakal dijalankan Universiti Nasional Singapura (NUS) akan mengambil kira keperluan yang pelbagai, pilihan yang berubah-ubah dan perubahan aspirasi warga emas masa depan yang mungkin tinggal bersendirian atau bersama keluarga mereka. - Foto ST

Satu projek yang bertujuan mereka bentuk rumah masa depan bagi warga emas telah dianugerahkan kepada Universiti Nasional Singapura (NUS).

Projek bernilai $2.9 juta yang telah diberikan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Mac itu bertujuan memahami jenis perumahan berbeza yang mempengaruhi mutu hidup warga emas.

Hasil dapatan itu akan diterapkan ke dalam perancangan dan reka bentuk jenis perumahan warga emas pada masa depan.

Projek itu akan diketuai oleh penyelidik NUS selama tiga tahun, lapor The Straits Times.

Kajian itu akan mengambil kira keperluan yang pelbagai, pilihan yang berubah-ubah dan perubahan aspirasi warga emas masa depan yang mungkin tinggal bersendirian atau bersama keluarga mereka, kata Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara), Cik Sim Ann, pada 4 Jun.

Bercakap di Sidang Puncak Bandar Dunia yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, Cik Sim berkata pihak berkuasa telah memperkenalkan beberapa jenis perumahan baru untuk warga emas sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini termasuk pangsapuri penjagaan masyarakat, yang menggandingkan reka bentuk perumahan mesra warga emas dengan perkhidmatan penjagaan dan projek Kampung Admiralty di Woodlands – projek Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pertama yang menempatkan pusat penjagaan kanak-kanak dan warga emas dalam satu projek pembangunan bersepadu.

“Ketika kita terus meneroka cara baru untuk menyokong warga emas, kita memerlukan penyelidikan berterusan untuk memaklumkan keputusan yang bakal dibuat,” katanya.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) berkata projek itu, yang berada di bawah program Bandar Masa Depan atau Cities of Tomorrow, akan membangunkan rangka kerja untuk menyediakan ukuran asas dan perbandingan mutu hidup warga emas merentas jenis perumahan yang berbeza.

Ia juga akan menganalisis kekuatan dan kelemahan setiap jenis perumahan dan mewujudkan piawaian ‘minimum’.

Program Bandar Masa Depan bertujuan menangani cabaran yang memberi kesan kepada keupayaan Singapura mempunyai persekitaran hidup yang boleh didiami, terangkum dan hijau.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, sebelum ini pernah menyatakan bahawa pemilikan rumah warga Singapura akan kekal dimampui, terangkum dan mencerminkan masyarakat yang sentiasa berkembang.

Bercakap kepada media dalam majlis meraikan 60 tahun Skim Pemilikan Rumah di Hab HDB pada 8 Februari, beliau turut menekankan bahawa keperluan perumahan warga emas juga diutamakan HDB, sedang penduduk Singapura menua. 

Kira-kira 21,400 isi rumah warga emas telah menempah flat fleksi dua bilik sehingga 31 Disember 2023, dengan sekitar 12,100 daripada mereka telah mendapat kunci rumah, kata HDB.

 Flat fleksi dua bilik, yang dihias untuk keselamatan dan keselesaan warga emas, diperkenalkan pada 2015 – menggantikan Apartmen Studio (SA), iaitu flat jenis dua bilik dengan pajakan 30 tahun, yang dilancarkan pada 1998.

Kira-kira 8,400 isi rumah warga tua kini tinggal di SA.

Lagi 300 isi rumah warga tua juga telah menempah unit Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), yang dibina dengan ciri dan kelengkapan mesra warga emas, serta mempunyai perkhidmatan penjagaan bersepadu, ujar HDB.

CCA dilancarkan pada 2021 di Bukit Batok.

Keluarga berpendapatan rendah juga dibantu untuk memiliki flat sendiri, dengan hampir 1,600 isi rumah sewa telah didekati Pasukan Sokongan Pemilikan Rumah (HST) dalam tempoh empat tahun sejak 2019, tambah HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg