Universiti Nasional Singapura (NUS) telah memohon maaf kerana tidak menawarkan buku-buku lebihan dari Perpustakaan Kolej Yale-NUS kepada pelajar sebelum buku-buku tersebut dihantar untuk dilupuskan, dan menyifatkannya sebagai ‘kelemahan operasi’.
Dalam satu kenyataan pada 21 Mei – sehari selepas foto dan video pekerja dari sebuah syarikat kitar semula memuatkan beg berisi buku ke atas lori tersebar – pustakawan universiti NUS, Professor Madya Natalie Pang, berkata bahawa buku-buku lebihan tersebut hanya ditawarkan kepada ahli fakulti, dan bukan kepada pelajar.
Kenyataan itu tidak menyebut sama ada terdapat buku yang diselamatkan daripada usaha pelupusan pada 20 Mei, atau berapa banyak yang telah diselamatkan, lapor The Straits Times (ST).
“Kami kemudian faham bahawa ramai pelajar berminat untuk memiliki buku-buku ini, dan kebiasaannya kami akan memenuhi permintaan mereka,” kata Profesor Pang.
“Kami tidak berbuat demikian kali ini dan kami memohon maaf atas kelemahan operasi tersebut.”
Beliau menambah bahawa majoriti buku dari perpustakaan Kolej Yale-NUS telah dipindahkan ke perpustakaan-perpustakaan lain di NUS.
Profesor Pang berkata bahawa bagi mengekalkan koleksi perpustakaan universiti, buku-buku yang berlebihan “secara rutin dipindahkan” ke perpustakaan lain atau diberikan kepada pensyarah dan pelajar pada masa-masa tertentu.
“Buku-buku yang tidak diambil kemudiannya dihantar untuk dikitar semula, selaras dengan amalan perpustakaan biasa,” katanya.
Akhbar ST melaporkan pada 21 Mei sekitar 8,500 buku duplikasi dari perpustakaan Yale-NUS akan ditawarkan di pameran buku. Dua pameran buku akan diadakan pada Mei dan Jun, dan dibuka kepada pelajar NUS dan orang awam.
Foto dan video pekerja syarikat kitar semula memuatkan buku ke lori pada 20 Mei tular di kalangan alumni Yale-NUS dan media sosial, mencetuskan kritikan dan kebimbangan tentang pembaziran sumber akademik.
Petisyen di Change.org kepada kepimpinan NUS menggesa agar buku yang dilupuskan dapat diselamatkan dan pembaziran serupa dielakkan pada masa hadapan.
Alumni telah meminta penjelasan mengenai jumlah dan nilai kewangan buku yang telah dilupuskan, serta berapa banyak yang berjaya diperoleh semula, dan sama ada kaedah pelupusan alternatif telah dipertimbangkan.
Mereka meminta penjelasan tentang pihak yang dirujuk sebelum keputusan pelupusan dibuat, serta prosedur dan langkah pencegahan.
Petisyen itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap pelupusan bahan akademik yang masih baik dan mempersoalkan penggunaan sumber secara bertanggungjawab serta komitmen NUS terhadap kemampanan.
Sehingga 11 pagi pada 21 Mei, petisyen itu telah mendapat hampir 600 tandatangan.
Seorang alumni Yale-NUS yang enggan dikenali menghubungi Asia Recycling pada 21 Mei dan dimaklumkan bahawa buku-buku itu kemungkinan besar telah dimusnahkan.
Pekerja syarikat itu cuba menyemak dengan Green Orange Enviro selepas menerima pertanyaan daripada pelajar.
Alumni tersebut juga berkata NUS cuba mendapatkan semula buku-buku itu, namun sudah terlambat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg