Dua universiti utama Singapura – Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) – akan melancarkan platform nasional dengan komitmen awal $50 juta untuk melatih sehingga 300 pasukan pemula dalam tempoh empat tahun akan datang.
Platform itu akan dipanggil Program Inovasi Penyelidikan Siswazah (Grip) Nasional dan akan dibuka kepada pemula daripada semua universiti berautonomi dan institut penyelidikan di Singapura, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada 29 Oktober.
“Ini menawarkan peluang menjalinkan kerjasama antara universiti autonomi kita dengan institut penyelidikan A*Star, yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri,” kata beliau, merujuk kepada Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan.
Encik Heng berucap pada Hari Teknologi Mendalam RIE 2024, yang diadakan bersama Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura (Switch) 2024, acara teknologi tahunan yang dianjurkan oleh Enterprise Singapore.
RIE bermaksud penyelidikan, inovasi dan perusahaan.
Grip Nasional adalah hasil penyepaduan dua program inkubator sedia ada iaitu Grip 2.0 oleh NUS dan Lean Launchpad oleh NTU, kata kenyataan bersama NUS, NTU dan Yayasan Penyelidikan Nasional (NRF).
Kededua program itu telah membangunkan lebih 400 pasukan pemula dan hampir 160 pasukan sampingan sejak ia dilancarkan enam hingga tujuh tahun lalu, lapor The Business Times.
Program Grip Nasional selama 12 bulan yang akan dilancarkan pada Januari 2025 itu akan merapatkan jurang antara penyelidikan saintifik dengan penggunaan pasaran, kata Encik Heng.
Menjelang 2030, ia menyasarkan untuk memupuk 150 pasukan sampingan, selain melatih 300 pasukan pemula menjelang 2028.
Program itu diharap dapat menyokong sekitar 100 projek teknologi mendalam setahun, melengkapkan mereka dengan “set kemahiran pengasas” dan memadankan mereka dengan penyedia modal untuk membolehkannya dimanfaatkan secara komersial.
Encik Heng, yang merupakan pengerusi NRF, berkata usaha membangunkan ekosistem yang lebih padat dan membolehkan teknologi mendalam memerlukan hubungan dan perkaitan yang dipertingkatkan dalam kalangan institusi dan sektor serta merentas ekosistem serantau dan sejagat.
Jalinan yang lebih erat antara institusi, katanya, akan membolehkan keupayaan mendalam dan merentas disiplin dapat dibina, dan ini adalah teras Grip Nasional.
Perkongsian rentas sektor – perkaitan yang kedua – kemudian akan membantu mempercepatkan pertumbuhan dan kesan daripada ekosistem teknologi mendalam.
Sedang syarikat pemula menangani cabaran dunia sebenar, perlu dibangunkan penyelesaian yang boleh ditingkatkan melangkaui Singapura dan ke seluruh rantau ini, malah di peringkat sejagat.
Pada peringkat perkaitan ketiga ini, Encik Heng berkata Singapura mesti terus memperdalam hubungannya merentasi ekosistem di seluruh dunia.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg