Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

21 syarikat pemula teknologi S’pura dalam senarai NextGen Tech 30

Sep 25, 2024 | 3:21 PM
Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura telah mencapai kecemerlangan dalam senarai sulung 30 syarikat pemula teknologi terkemuka Asean, NextGen Tech 30.
Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura telah mencapai kecemerlangan dalam senarai sulung 30 syarikat pemula teknologi terkemuka Asean, NextGen Tech 30. - Foto ST

Syarikat-syarikat yang berpangkalan di Singapura telah mencapai kecemerlangan dalam senarai sulung 30 syarikat pemula teknologi terkemuka Asean, dengan 21 berada di dalamnya.

Pangkalan data paten Patsnap, firma teknologi kewangan (fintech) ShopBack dan Aspire, dan firma keselamatan siber Ensign Infosecurity termasuk dalam senarai NextGen Tech 30, yang dikeluarkan pada 24 September oleh firma penyedia modal (VC) teknologi Granite Asia.

Baki sembilan syarikat pemula berpangkalan di lokasi seperti China, Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan Amerika Syarikat, lapor The Straits Times.

Kebanyakan firma yang disenaraikan beroperasi dalam industri seperti kewangan digital, automasi logistik dan tenaga bersih.

Senarai itu, yang disusun Granite Asia, adalah kerjasama yang melibatkan organisasi pemerintah dan swasta, termasuk firma VC yang disokong Temasek, 65 Equity Partners, Bursa Saham Singapura (SGX), dan firma ekuiti swasta KKR dan Northstar.

Rakan kongsi lain termasuk Bank DBS, cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB), Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF).

Syarikat-syarikat tersebut dipilih kerana menggunakan teknologi secara inovatif, seperti kecerdasan buatan (AI).

Ia juga perlu memenuhi kriteria tertentu, termasuk menjana pendapatan minimum AS$20 juta ($25.8 juta) atau mencapai kadar pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 30 peratus atau lebih; beribu pejabat di Asean atau punyai kehadiran yang kukuh di rantau ini; dan mempunyai strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang jelas.

Granite Asia, dahulu dikenali sebagai GGV Capital Asia, adalah platform pelaburan berbilang aset yang berpangkalan di Singapura.

Ia melabur dalam syarikat di rantau Asia Pasifik, termasuk Asia Tenggara, Jepun, China, India dan Australia.

Firma itu mempunyai aset di bawah pengurusan AS$5 bilion, dan telah melabur dalam 48 syarikat bernilai lebih AS$1 bilion dan menyokong 29 tawaran awam awal (IPO).

Senarai NextGen Tech 30 dikeluarkan di tengah-tengah usaha yang lebih giat untuk menghidupkan semula SGX, yang ketinggalan di belakang pesaing serantaunya dari segi penyenaraian dan kecairan baru.

SGX juga antara firma yang tidak mendapat banyak tawaran di dunia pada 2023, dengan hanya tujuh tawaran IPO yang mengumpul AS$30 juta.

Sebagai perbandingan, bursa saham Hong Kong mempunyai 73 tawaran IPO yang meraih AS$5.94 bilion, manakala bursa saham Indonesia menerima 79 tawaran IPO dan meraih AS$3.55 bilion.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg